Khamis, 5 Januari 2023 | 12:00pm
Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

Perbaiki tekad, pilih untuk jalani kehidupan lebih baik

Sudah lima hari kita dalam tahun baharu. Setelah melalui pelbagai pengalaman suka duka sepanjang 2022, apakah azam dan resolusi kita pada tahun ini. Adakah sekadar mahu kurus atau menyimpan duit untuk belanja perkahwinan? Atau ingin mencari pekerjaan yang lebih baik.

Apapun azam kita, tahun 2023 dijangka menunggu dengan pelbagai cabaran terutama dari segi ekonomi. Kita dimomokkan dengan kemelesetan ekonomi dunia apabila tiga pasaran utama iaitu China, Eropah dan Amerika Syarikat dijangka berhadapan dengan kelembapan untuk tempoh 2023 dan 2024.

Sebelum ini Bloomberg juga sudah melaporkan Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (CEBR) menyebut, ekonomi global melepasi RM440 trilion buat kali pertama pada 2022 tetapi dijangka terhenti pada 2023.

Semua itu tentu sahaja membuat sebahagian kita gentar. Kelihatannya, cabaran yang menanti pada tahun ini bukan sedikit. Namun kita juga perlu memberi ruang kepada kerajaan bekerja menstabilkan dan memulihkan jangkaan semasa.

Sebagai individu, peranan kita tentulah menjalani kehidupan dengan amalan berjimat. Misalnya jika gaji RM2,000 sebulan janganlah berbelanja seperti bergaji RM10,000. Elakkan berhutang, malah dalam berbelanja cukuplah membeli hal keperluan yang memadai. Misalnya, apa salahnya jika tidak membeli pakaian baharu jika yang di dalam almari masih elok dan boleh digayakan?

Urus pendapatan dengan betul, berjimat dan menabung. Hidup dengan gaya sederhana memberi manfaat yang lebih baik berbanding perlu berhutang. Semua ini mungkin nampak kecil, tetapi ia memberi impak kepada pengurusan kewangan jika krisis ekonomi melanda.

Pada masa sama, dalam kita berperanan mengurus ekonomi dan kewangan sendiri, tidak perlu pula hingga menekan diri sendiri memikir hal di luar kawalan. Sebaliknya kita perlu kekal menjalani hidup dengan baik. Kehidupan yang baik memerlukan adanya keseimbangan perkembangan diri iaitu jasmani. Ini kerana kesihatan jasmani yang baik akan memberi impak kepada emosi, rohani dan intelektual kita.

Amatlah tipikal apabila kita menceritakan mengenai jasmani itu hanya perihal 'nak kurus' sahaja. Sedangkan kita tahu kurus juga tidak semestinya sihat sekiranya pengambilan makanan yang tidak seimbang itu gagal dikawal.

Justeru, apa kata kita boleh ubah ialah kepada ingin kehidupan yang lebih sihat dan bermakna. Antara kaedah terbaik adalah menjalani gaya hidup sihat, pendekatan atau amalan sama ada secara fizikal ataupun spiritual. Ia membantu merangsang diri secara fizikal ataupun secara kerohanian sekali gus menyumbang kepada kestabilan fizikal dan mental.

Gaya hidup sihat

Sebagai contohnya, dengan bangun seawal pagi, mengerjakan ibadah, menyediakan sarapan yang bersih dan sihat di rumah, bersiap dan mulakan perjalanan rutin harian bekerja serta beriadah adalah sebahagian gaya hidup sihat dan bermakna untuk diri kita.

Sebelum ini, Presiden Elect, Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Profesor Dr Shukran Abd Rahman, dilaporkan berkata masalah peribadi boleh menjadi punca berlaku masalah mental.

Jadi menjalani kehidupan dengan baik seperti menghindari tekanan adalah antara kaedah yang baik. Pengurusan masa juga membantu mengelak tekanan dan melancarkan kehidupan.

Seterusnya, misi terakhir yang kita perlu ada pada tahun baharu ini ialah menjadi insan periang. Ciptalah pelbagai kenangan pahit manis bersama insan tersayang, keluarga, kawan-kawan dan sesiapa sahaja selagi mereka masih ada. Kehidupan bahagia apabila kita mampu mengawal emosi dan membuang ego dalam diri supaya keriangan, ketenangan, hubungan silaturahim yang akrab, harmoni itu dikecapi.

Bersama-samalah kita menentukan misi yang terbaik untuk diri kita sendiri pada tahun baharu ini. Pilihlah azam yang membangunkan dan meletakkan diri kita ke satu tahap pencapaian baharu dan terbaik. Misi mengubah dunia itu sukar, oleh itu pilihlah misi untuk membentuk kemenjadian diri kita sendiri kerana masa depan yang panjang dan luas itu lebih signifikan.

Nazathul Shafiqah Mohd Zaidi,

Tanjung Malim

Berita Harian X