Selasa, 3 Januari 2023 | 11:00am

Pemilihan UMNO penentu sokongan kepada presiden

MENJELANG pemilihan UMNO yang perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ada cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan atas alasan untuk menjamin kestabilan parti.

Dari perspektif berbeza, UMNO pernah mempertandingkan dua kerusi terbabit selepas PRU14 dan perwakilan begitu profesional membuat pilihan serta saf kepemimpinan parti kukuh semula selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan memenangi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Bermakna, pemilihan UMNO akan datang menjadi medan bukan sahaja kepada setiap kepemimpinan bahagian memperkukuhkan sokongan akar umbi, tetapi juga untuk memperkukuhkan kesepaduan ahli parti. Ia penting bagi menjawab dakwaan segelintir ahli mengatakan Ahmad Zahid tidak lagi mendapat kepercayaan akar umbi UMNO.

Rekod boleh dibanggakan

Beliau memiliki rekod boleh dibanggakan untuk menyelamatkan UMNO daripada 'serangan' musuh politik parti selepas PRU14, menjadi kerajaan semula, walaupun tidak sampai tiga tahun menjadi pembangkang.

Bahkan Ahmad Zahid juga membawa UMNO menjadi kerajaan pada hari ini menerusi kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta parti dari Sabah dan Sarawak. Sudah pasti penerimaan strategi politik beliau oleh ahli parti boleh diterjemahkan menerusi pemilihan jawatan presiden nanti.

Pemilihan ini terutama pertandingan jawatan nombor satu dan dua penting kerana UMNO perlu dilihat lebih demokratik dan menunjukkan kepada rakyat ia parti sentiasa meraikan demokrasi.

UMNO juga paling konsisten menggesa peranan institusi Parlimen kembali berfungsi selepas darurat berpanjangan akibat pelaksanaan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara dilanda COVID-19. Maka pemilihan UMNO menjadi satu cara memperkukuhkan kembali imej UMNO.

Dengan sokongan kuat daripada ahli parti dan imej UMNO semakin kukuh, saya percaya UMNO akan mendapat tempat semula di hati pengundi bukan sahaja ketika PRU16 nanti, tetapi seawal PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Pembuktian sokongan ahli parti terhadap Ahmad Zahid akan menghentikan segala perbalahan sesama ahli dan membolehkan parti menjadi lebih stabil selepas ini.

Yusof Tashfin
Graduan Sains Politik universiti awam


Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X