Sabtu, 30 Julai 2022 | 12:01pm
Didik gaya hidup sihat sejak awal usia kanak-kanak. - Foto hiasan
Didik gaya hidup sihat sejak awal usia kanak-kanak. - Foto hiasan

Segera tambah baik kualiti RMT atasi murid kurang nutrisi

SECARA umum anak-anak menghabiskan purata enam hingga tujuh jam atau 50 peratus waktu mereka di sekolah setiap hari. Justeru, seharusnya sekolah dijadikan sebagai lapangan yang ideal untuk menerapkan tabiat pemakanan yang sihat.

Sebagaimana frasa yang sinonim dikaitkan iaitu, badan yang sihat dapat membina minda yang sihat. Melalui kata-kata ini, dapat dihuraikan bahawa makanan yang sihat akan mendorong kepada hasil baik dalam pencapaian pendidikan, kerana ia membantu tubuh melaksanakan fungsinya secara bersepadu dan menyeluruh.

Di kebanyakan negara, makanan di sekolah adalah sebahagian besar daripada diet terpenting harian kanak-kanak. Oleh itu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Program Makanan Sedunia melancarkan projek untuk menambah baik pemakanan murid sekolah dengan sokongan kementerian berkaitan makanan dan pertanian di beberapa negara.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyokong rancangan untuk memastikan setiap kanak-kanak yang memerlukan mendapat makanan sihat secara tetap di sekolah menjelang 2030.

Dalam pengisytiharan itu, lima agensi PBB komited untuk menyokong program makanan bersepadu di sekolah yang disertai lebih daripada 60 negara dengan diketuai Perancis dan Finland. Program itu berhasrat memberi peluang kepada setiap kanak-kanak yang memerlukan mendapat hidangan berkhasiat di sekolah menjelang 2030.

Selain itu PBB melalui FAO, Program Makanan Sedunia, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (UNESCO) turut mengumumkan sokongan meningkatkan program berkaitan pemakanan, kesihatan dan pendidikan dengan selayaknya untuk anak-anak di sekolah.

Hal ini berdasarkan fakta seluruh dunia lebih 150 juta kanak-kanak tidak mendapat makanan, kesihatan dan keperluan asas

Hakikatnya, program pemakanan sekolah adalah intervensi yang berkesan untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Malah program sebegini boleh membantu memerangi kelaparan juga kekurangan zat makanan dalam kalangan kelompok itu.

Pemakanan sihat adalah kemestian bagi setiap manusia khususnya kanak-kanak kerana ia adalah punca penting untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik mereka.

Dari sudut pandangan inilah, beberapa negara berminat untuk memperkenalkan sistem pemakanan yang berbeza kepada sekolah. Sistem ini bagaimanapun mesti tertakluk kepada kajian dan piawaian.

Makanan seimbang beri tenaga

Sebenarnya, makanan berkhasiat di sekolah adalah penting untuk kesihatan pelajar, apalagi untuk mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Berdasarkan penyelidikan, situasi ini menunjukkan bahawa di sesetengah negara menerima makanan di sekolah secara percuma atau dengan harga yang lebih rendah mengurangkan masalah seperti obesiti dan kesihatan yang tidak baik.

Faedah makanan sekolah berbeza-beza di setiap negara, sebagai contoh di negara maju, hidangan pelajar adalah daripada sumber makanan berkhasiat. Bagi negara berpendapatan tinggi, makanan percuma biasanya hanya tersedia untuk kanak-kanak yang memenuhi kriteria berasaskan pendapatan keluarga.

Namun, hidangan sekolah juga harus mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran serta karbohidrat untuk memastikan anak mendapat makanan yang seimbang dan memberinya tenaga. Ia juga mendorong kanak-kanak ke sekolah dan menyokong pembelajaran serta kesihatan juga kesejahteraan jangka panjang mereka.

Di Malaysia, sepatutnya pada 2020 Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan program sarapan percuma untuk anak-anak di sekolah rendah di seluruh negara. Program Sarapan Percuma (PSP) yang dirancang itu dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah seluruh negara dan mengguna pakai dua mekanisme bagi menjayakannya.

Namun, pertukaran kepimpinan negara menyebabkan rancangan yang sangat menarik dan rasional itu tidak diteruskan.

Justeru, adalah sangat penting bagi pengusaha kantin di sekolah untuk menyediakan makanan sihat bagi membantu kanak-kanak membuat pilihan yang baik. Hal ini juga berupaya membawa kepada pembentukan tabiat pemakanan baik pada awal usia serta menjadi gaya hidup sihat untuk mereka.

Selain itu kerajaan sewajarnya memandang serius berkaitan pemakanan murid-murid di sekolah, sebagaimana sejak kebelakangan ini, timbul isu makanan yang kurang berkhasiat melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT) berikutan harga kos keperluan makanan meningkat.

Tentunya penambahbaikan kualiti makanan di sekolah adalah satu kemestian untuk menyumbang kepada memenuhi keperluan pemakanan murid. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak pengurusan sekolah perlulah mengambil bahagian bagi memastikan penyediaan makanan kepada murid menepati kualiti diperlukan.

Pertubuhan IKRAM Malaysia


Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X