Khamis, 12 Mei 2022 | 10:30am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Syor KPKT tubuh jawatankuasa pantau kualiti perumahan

Keperluan untuk mempunyai kediaman antara aspek terpenting dalam kehidupan manusia. Justeru, memiliki rumah pertama adalah pelaburan terbesar yang perlu dilakukan bagi meningkatkan kualiti hidup.

Hal ini kerana pada kebiasaannya pembelian sebuah rumah idaman memerlukan komitmen kewangan yang besar dan membabitkan tempoh masa cukup panjang.

Umumnya, pembeli rumah perlu mengeluarkan bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus daripada harga jualan, manakala baki harga kediaman itu pula dibiayai melalui kaedah pinjaman bank.

Sudah pasti, pembelian rumah kali pertama ini adalah hasil tabungan yang dibuat selama beberapa tahun. Dalam merealisasikannya, banyak perkara terpaksa dikorbankan. Justeru, amat malang jika pembeli perlu berhadapan dengan sikap tidak bertanggungjawab pemaju misalnya rumah yang dibeli tidak menepati spesifikasi seperti ditetapkan. Sudahlah harga rumah yang dibeli mahal, ia tidak pula dibina dengan baik malah kurang berkualiti.

Ada kes, pembeli rumah di sebuah kondominium bertaraf mewah membuat bayaran hampir mencecah RM1 juta untuk sebuah unit kediaman dengan harapan ia memiliki kemudahan dan fasiliti setaraf harganya.

Malangnya, mereka perlu berhadapan dengan masalah membabitkan kelengkapan dan kemudahan awam misalnya lif, lobi dan tempat letak kereta yang indah khabar dari rupa. Malah mereka turut berhadapan masalah kawasan kegunaan umum yang sentiasa digenangi air disebabkan siling bocor.

Itu belum lagi masalah lebihan air yang tidak dapat disalurkan secara sempurna kerana paip tersumbat disebabkan reka bentuk saluran air tidak dibina dengan baik.

Persoalannya, bagaimana aspek kualiti pembinaan rumah ini sering terjejas? Bukan itu sahaja, perumahan mampu milik dan perumahan penjawat awam juga turut menghadapi dilema yang sama.

Terdapat banyak kajian dilakukan dan antara faktor yang dikenal pasti adalah reka bentuk kediaman itu sendiri menjadi punca, sekali gus menjadi sebab pembinaan rumah tidak berkualiti. Ini bermakna, pemantauan kualiti pembinaan rumah perlu diperhalusi dan diperketatkan serta dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh selain perlu membabitkan pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun swasta sejak daripada peringkat reka bentuk bangunan.

Justeru, pada 2018, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melaksanakan pemantauan terhadap kualiti perumahan.

Tindakan diambil oleh KPKT adalah dengan menyenarai hitamkan pemaju yang gagal menyiapkan rumah mengikut spesifikasi dipersetujui. Walau bagaimanapun, masih berlaku kelompongan kerana ada pemaju yang disenarai hitamkan kembali semula dengan menggunakan nama syarikat lain.

Sebagai langkah mengekang masalah ini berlarutan, KPKT dicadangkan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menangani isu berkenaan dengan lebih serius. Jawatankuasa itu perlu bertindak dalam mengkaji mekanisma terbaik menangani permasalahan ini. Hal sebegini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan pelbagai isu keselamatan lain.

Justeru, banyak perkara perlu dilihat dan dinilai merangkumi pelbagai aspek dalam usaha menyediakan mekanisma pemantauan kualiti perumahan. Usaha ini sangat penting demi menjaga hak pembeli rumah.

Bagi pembeli rumah pula gunakanlah hak mereka sebaik dan sepenuhnya. Mereka juga perlu berpengetahuan mengenai kaedah jual beli rumah dan hak pengguna. Gunakanlah platform tribunal perumahan yang disediakan KPKT bagi menjamin hak mereka. Selain itu, tingkatkanlah pengetahuan mereka sebagai pengguna sebelum memutuskan untuk membeli kediaman.

Farhan Md Dahlan
Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM Cawangan Perak

Berita Harian X