Rabu, 27 April 2022 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Semak kaedah pengajaran atasi keciciran murid

COVID-19 menyebabkan bukan sahaja keciciran pembelajaran, malah persekolahan secara keseluruhannya. Ia bermaksud ada murid yang masih bersekolah, tetapi tidak dapat menguasai pelajaran, manakala sebahagian yang lain terpaksa berhenti sekolah tanpa mampu membaca atau menguasai kemahiran asas yang lain.

Masalah keciciran ini bakal memberi kesan kepada pembangunan modal insan dalam tempoh jangka panjang. Mereka membentuk generasi yang tidak seiring kepesatan pembangunan negara.

Justeru, kualiti pendidikan perlu ditambah baik. Sebagai contoh, pendekatan pembelajaran perlu dinilai semula berdasarkan jurang kemahiran dan pengetahuan murid.

Kenal pasti kelemahan murid dan wujudkan profil bagi guru menjalankan intervensi yang bersesuaian. Kurikulum pembelajaran yang sedia ada perlu disemak semula dengan mengambil kira aspek penilaian berterusan secara seimbang. Ini kerana prestasi sebenar murid yang tercicir dapat dilihat apabila mereka melalui proses peralihan dari satu tahap ke tahap yang lain.

Guru pula boleh menyelaraskan pembelajaran sejajar dengan keperluan dan kebolehan murid. Kaedah pengajaran sudah pasti berubah berdasarkan persekitaran pembelajaran masa kini jika dibandingkan ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPr). Selain itu penguasaan teknologi dalam kalangan guru perlu diperkasakan bagi membantu mereka menggabungkan teknologi dalam sesi pembelajaran.

Bagaimanapun, satu hal tidak boleh diketepikan adalah aspek sosial dan emosi sama ada guru atau murid. Prinsip pendidikan berkualiti tanpa mengira tahap status sosioekonomi masyarakat perlu dipraktikkan bagi mewujudkan peluang pembelajaran yang seimbang untuk semua murid.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak berada dalam ekosistem pendidikan negara untuk memastikan kualiti pembelajaran murid dapat ditingkatkan. Ia adalah sebahagian jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah keciciran murid. Pembangunan generasi akan datang adalah dipengaruhi oleh apa yang disajikan dalam sistem pendidikan hari ini.

Fakulti Pendidikan, UKM

Berita Harian X