Sabtu, 12 March 2022 | 10:15am
Gambar fail, Pengguna jalan raya melepasi air banjir ketika tinjauan banjir kilat di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Gambar fail, Pengguna jalan raya melepasi air banjir ketika tinjauan banjir kilat di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

Tingkat kesedaran pembangunan lestari atasi banjir kilat

Kebelakangan ini isu banjir kilat kerap dibincangkan, apatah lagi ia semakin sering terjadi, malah lebih berbahaya disebabkan berlaku perubahan iklim dan cuaca yang melampau.

Sebenarnya, dasar yang menyokong pembangunan terancang dan lestari memang sudah sekian lama wujud misalnya menerusi Dasar Alam Sekitar Negara, Dasar Rancangan Fizikal Negara, Dasar Perbandaran Negara dan lain-lain lagi.

Namun, apa yang penting ialah setiap dasar ini perlu disokong dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dengan berkesan.

Ini termasuk projek kerajaan negeri yang membabitkan penebangan hutan dan pembangunan perumahan bersaiz besar serta berkepadatan tinggi yang lazimnya menukar ciri permukaan tanah selain kapasitinya untuk menyerap air.

Satu daripada punca banjir kilat terjadi khususnya pada kali ini ialah kerana pembangunan yang dijalankan secara besar-besaran tanpa mengikut garis panduan berkaitan pembangunan lestari juga pelan pengurusan alam sekitar.

Apa yang berlaku di bukit dan hulu sungai akan mengalir ke laut dan jika proses dari hulu sungai ke hilir sungai ini diganggu dan tidak lagi di dalam kapasiti semula jadi, banjir kilat akan berlaku.

Penebangan hutan di hulu sungai, kedudukan taman perumahan di kawasan rendah atau mudah banjir, mengalihkan aliran sungai, sistem saliran yang tidak sistematik, pemendapan dan longkang tersumbat akan mewujudkan kesan yang lebih mencabar apabila perubahan iklim semakin meruncing.

Penilaian kesan alam sekitar dan impak sosial sepatutnya boleh menapis projek pembangunan yang tidak mesra alam sekitar dan berpotensi menjejaskan keselamatan masyarakat.

Oleh kerana itu, perhatian serius patut diberikan untuk memastikan projek pembangunan yang berisiko menjejaskan alam sekitar dan keselamatan masyarakat tidak dijalankan atau saiznya diperkecilkan.

Pembangunan hartanah sungguh pun menjana ekonomi untuk pihak pemaju dan kerajaan, sewajarnya dijalankan dengan lestari iaitu lebih berhati-hati dan tidak terlalu pesat sehingga merosakkan kapasiti semula jadi tanah yang dibangunkan.

Seperti semua maklum, perkara berkaitan penggubalan dasar dijalankan khusus oleh kerajaan, bagaimanapun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan yang penting semasa dasar dasar ini digubal.

Malah ia boleh dikaji semula dengan mengambil bahagian dan memberi input secara aktif di sebagai penyertaan awam atau stakeholder engagements seperti yang dijalankan oleh agensi kerajaan.

NGO juga boleh memainkan peranan penting untuk mewujudkan kesedaran awam terhadap impak perubahan iklim dan dasar sedia ada dan bagaimana masyarakat boleh menyokong tindakan yang telah dikenal pasti dalam dasar berkenaan.

Dalam hal ini juga, NGO boleh membantu masyarakat untuk memahami dan menterjemahkan dasar, menyemak senarai tindakan dalam kawasan masing-masing sama ada sudah dilaksanakan langkah berkaitan pembangunan lestari.

Sebagai contoh dalam Dasar Rancangan Fizikal Negara ada menyatakan bahawa 'infrastruktur saliran hendaklah disediakan di semua penempatan untuk mengelakkan kejadian banjir'.

Langkah adaptasi untuk mengelak atau meminimumkan impak kejadian banjir adalah jauh lebih baik daripada projek mitigasi banjir dan pemulihan yang menelan lebih banyak perbelanjaan negara.

Tan Sri Lee Lam Thye,
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat

Berita Harian X