Sabtu, 19 Februari 2022 | 10:30am
Guru mencurahkan ilmu secukupnya dalam menongkah arus pendidikan semakin mencabar.
Guru mencurahkan ilmu secukupnya dalam menongkah arus pendidikan semakin mencabar.

Pelantikan guru baharu pastikan proses PdP lancar

Penempatan sejumlah 8,120 guru baharu secara one-off mulai Mac ini diharap dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan guru dihadapi sekolah sebelum ini.

Negeri mengalami kadar kekurangan guru yang tinggi seperti Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor diberikan keutamaan bagi penempatan guru terbabit bermula pada bulan depan.

Antara subjek mengalami masalah kekurangan guru ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi di sekolah rendah, manakala Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi di sekolah menengah.

Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) ini satu usaha harus dipuji kerana ia adalah antara cara terbaik memperkasakan sistem pendidikan negara. Sudah tentu, setiap calon yang memohon dalam pengambilan ini memiliki minat dan dorongan tinggi menjadi pendidik cemerlang.

Dengan pelantikan sebagai guru baharu, pasti mereka akan mencurahkan tenaga dan usaha bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan dengan baik, sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Murid pula tidak akan ketinggalan dalam mendapat ilmu pengetahuan yang secukupnya dalam menongkah arus pendidikan yang semakin mencabar.

Tahniah diucapkan kepada bakal pendidik. Curahkan tenaga anda untuk mendidik bakal pemimpin negara kita.

Dr M Jayakumary,
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman Kedah

Berita Harian X