Jumaat, 14 Januari 2022 | 10:30am
Secara semula jadinya harimau adalah haiwan yang hidup bersendirian. - Foto hiasan
Secara semula jadinya harimau adalah haiwan yang hidup bersendirian. - Foto hiasan

Penyelesaian holistik tangani konflik manusia-harimau

Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia berasa amat sedih dan dukacita dengan kejadian yang berlaku di Kampung Sau, Gua Musang, baru-baru apabila seorang penduduk kampung Orang Asli berusia 59 tahun, Anek Along, maut dibaham harimau. Takziah dan simpati yang mendalam kami hulurkan kepada keluarga mangsa.

Bagaimanapun, kami juga menzahirkan rasa kecewa kerana harimau berkenaan terpaksa ditembak mati, walaupun ia adalah spesies yang sangat terancam. Tindakan itu bercanggah dengan komitmen yang diberi oleh Malaysia untuk melindungi spesies ini dengan apa cara sekali pun. Kami amat prihatin terhadap keselamatan penduduk kampung namun dalam masa sama berharap langkah amalan terbaik diambil segera bagi mengelakkan kejadian kehilangan nyawa serta impak buruk lain, sama ada kepada manusia mahu pun harimau.

Malangnya, kejadian konflik manusia-harimau bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi negara yang merekodkan kewujudan haiwan itu. Konflik begini tidak dapat dielak apabila harimau liar bertembung dengan manusia atau haiwan ternakan penduduk yang boleh mendatangkan rasa ketakutan, kecederaan atau kematian.

Namun dalam kes tertentu, konflik ini berjaya ditangani dengan baik misalnya, di Russia, dua harimau liar yang membunuh tiga ekor anjing di pinggiran bandar Vyazemskoye, dibius dan dipindahkan ke Pusat Pemulihan Utyos dengan sokongan WWF-Russia dan ANO Amur Tiger.

Di Bhutan, konflik manusia-harimau juga antara isu kritikal kerana terdapatnya komuniti petani yang tinggal berdekatan dengan kawasan perlindungan atau hutan simpanan. Selain daripada langkah-langkah seperti menggunakan bunyi dan cahaya serta pagar elektrik, kaedah sistem keselamatan lain juga diguna pakai untuk menangani isu konflik manusia-harimau secara holistik dengan mengambil kira keselamatan manusia dan juga hidupan liar.

Untuk rekod, bilangan harimau di hutan Semenanjung kini kurang daripada 150 ekor. Namun, sejak kebelakangan ini, beberapa insiden berlaku yang menyaksikan harimau mula keluar dari habitatnya dan mendekati kawasan penempatan manusia. Berikutan peningkatan kejadian sebegini, adalah sangat penting untuk kita mencari jalan penyelesaian secara holistik.

Untuk berbuat demikian, kita haruslah memahami sifat semula jadi harimau, punca yang boleh menyebabkan berlakunya konflik dan mengambil tindakan penyelesaian dengan segera. Harimau memerlukan kawasan rayau yang luas, dan keluasan ini biasanya ditentukan oleh populasi mangsa yang terdapat di kawasan berkenaan. Di Malaysia dan juga negara lain yang masih lagi merekodkan kewujudan haiwan itu, spesies ini menghadapi tekanan berterusan daripada pemburuan haram, dibunuh disebabkan konflik dan kehilangan habitat. Di samping itu, harimau terpaksa bersaing untuk mendapatkan ruang dengan populasi manusia yang kian meningkat dan semakin padat.

Secara semula jadinya harimau adalah haiwan yang hidup bersendirian, melainkan ia adalah harimau betina yang beranak, ataupun sedang mencari pasangan. Namun, secara umum, harimau lebih suka menjauhkan diri daripada manusia dan memburu secara bersendirian dengan menunggu mangsanya sebelum melakukan serang hendap apabila keadaan sesuai. Namun ia boleh menjadi lebih agresif apabila diancam atau sudah cedera, kerana reaksi semula jadinya adalah untuk mempertahankan diri.

Kewujudan bersama antara manusia dan hidupan liar akan dapat diurus dengan lebih baik apabila kita berhenti mengancam ekosistem. Pada masa sama, perlu ada keseimbangan antara keduanya bagi memastikan ekosistem terus berfungsi.

Dalam usaha untuk meningkatkan populasi harimau liar, kita juga perlu mencari jalan untuk menyelesaikan konflik manusia-harimau dengan lebih berkesan, bagi menjamin keselamatan komuniti yang tinggal berdekatan dengan hutan serta kejayaan usaha pemuliharaan harimau Malaya.

Tahun 2021 sudah berakhir dengan penuh harapan berikutan pengumuman penubuhan Unit Jenayah Hidupan Liar oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Harimau Kebangsaan dan Kumpulan Kerja Harimau Malaya (TWG) untuk mencari solusi bagi meningkatkan populasi harimau di habitat semula jadi. Bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain, WWF-Malaysia juga sudah melobi selama beberapa tahun untuk memastikan matlamat ini tercapai. Kini, kita harus terus bergerak ke hadapan dan melaksanakan fasa seterusnya, iaitu sembilan tindakan strategik untuk pemuliharaan harimau yang sudah diluluskan oleh kabinet pada Jun 2021.

Harimau Malaya kini berada di ambang kepupusan. Kita mungkin akan kehilangannya pada kadar yang lebih cepat daripada kemampuannya untuk berkembang biak. Dengan populasi harimau semakin berkurangan, peluang untuk spesies ini membiak turut berkurangan. Oleh itu, sangat kritikal untuk kita melindungi setiap ekor harimau yang terdapat di hutan negara kita.

Dalam beberapa minggu lagi, kita akan menyambut Tahun Harimau. Harapan saya adalah supaya setiap rakyat Malaysia berusaha untuk memahami sifat dan pentingnya kewujudan harimau, yang juga ikon negara. Apatah lagi, kewujudan spesies ini berkait rapat dengan kelangsungan hidup kita sendiri.

Sophia Lim
Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia

Berita Harian X