Selasa, 21 Disember 2021 | 10:18am
Kesedaran penjagaan kesihatan dan pengambilan makanan yang berkualiti mampu mengelak kes penyakit dikaitkan makanan tidak berkhasiat. - Foto hiasan
Kesedaran penjagaan kesihatan dan pengambilan makanan yang berkualiti mampu mengelak kes penyakit dikaitkan makanan tidak berkhasiat. - Foto hiasan

Pengambilan makanan berkualiti tunjang penjagaan kesihatan

KESIHATAN aspek amat penting dalam kehidupan manusia. Justeru penjagaannya harus mengambil kira apa yang kita makan kerana tanpa kawalan betul, ia boleh menjadi penyumbang masalah diri.

Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya, setiap daripada kita mempunyai makanan tradisi masing-masing yang mewarnakan lagi kepelbagaian rasa dan keunikan setiap hidangan.

Namun, pengambilannya jika tidak dikawal dengan baik mampu mengundang pelbagai masalah kesihatan, apatah lagi bagi individu yang tidak gemar melakukan senaman.

Dalam keadaan penularan COVID-19, kebanyakan kita masih bekerja dari rumah, manakala terdapat banyak prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi jika mahu beriadah di taman awam.

Ia bagaimanapun seharusnya tidak menjadi penghalang untuk melakukan senaman atau sebarang aktiviti fizikal. Gaya hidup kurang sihat dengan pengambilan makanan tanpa kawalan antara penyumbang penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan risiko kolesterol yang membawa kepada masalah jantung.

Di Malaysia, kira-kira 1.7 juta penduduk berhadapan dengan penyakit tiga serangkai. Berdasarkan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, sejumlah 3.4 juta penduduk di negara ini mempunyai sekurang-kurangnya dua faktor risiko utama penyakit itu, yang mana 4.1 peratus menghidapi diabetes, 9.3 peratus darah tinggi dan 16.6 peratus kolesterol yang tinggi.

Didapati juga tiga daripada 10 penduduk Malaysia atau bersamaan 6.4 juta orang menghidapi tekanan darah tinggi. Empat daripada 10 orang atau lapan juta orang dewasa di negara ini dikategorikan mempunyai tahap kolesterol tinggi. Wanita mempunyai tahap kolesterol lebih tinggi berbanding lelaki, dengan satu daripada empat orang tidak mengetahui mereka berhadapan dengannya.

Berdasarkan Kementerian Kesihatan (KKM), penyakit jantung atau kardiovaskular adalah penyebab kematian paling tinggi dilaporkan di hospital kerajaan. Sekiranya penyakit jantung tidak dikesan awal dan dirawat dengan segera, jantung tidak dapat menjalankan fungsi mengepam darah ke seluruh badan, terutama organ kritikal seperti otak, yang mana akhirnya akan menyebabkan kematian.

Dalam hal ini, pengambilan makanan berkarbohidrat dalam jumlah banyak dan masa makan yang tidak menentu boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak teratur, seterusnya mengakibatkan pesakit boleh mendapat pelbagai komplikasi.

Juadah seperti kuah kacang, sambal nasi lemak, kuah kari dan lontong mengandungi kandungan garam, lemak tepu dan gula yang tinggi, apatah lagi dengan sikap sesetengah kita yang suka mencampurkan gula dalam masakan.

Jika dilihat corak pemakanan sedemikian, tidak hairanlah berlaku peningkatan kes diabetes dalam kalangan orang muda di negara ini.

Malaysia mempunyai jumlah penghidap penyakit diabetes tertinggi di Asia dan antara tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.

Penyakit kencing manis berlaku apabila paras gula dalam darah menjadi tinggi yang disebabkan oleh badan tidak dapat menghasilkan insulin mencukupi atau tidak menggunakan insulin dengan betul.

Pesakit yang mempunyai masalah darah tinggi perlu mengawal pengambilan garam berlebihan dan mengutamakan pengambilan makanan yang mempunyai khasiat yang tinggi dan seimbang, iaitu terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh serta makanan yang tinggi dengan tahap protein dalam kuantiti kalori yang berpatutan.

Justeru, kita seharusnya mempunyai kesedaran mengenai penjagaan kesihatan dan pengambilan makanan yang berkualiti. Hal ini disebabkan kes penyakit yang dikaitkan dengan pengambilan makanan tidak berkhasiat semakin meningkat bilangannya saban tahun.

Kita boleh mengawal statistik ini dengan merancang pemakanan. Mulakan dengan amalkan gaya hidup sihat, lakukan perubahan dalam menikmati hidangan selain kekalkan berat badan seimbang. Turunkan berat badan sekurang-kurangnya lima hingga 10 peratus, serta tingkatkan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga jam seminggu. Ia dipercayai dapat menghalang dan mengurangkan kesan penyakit.

Pada masa sama, individu yang menghidap penyakit tiga serangkai perlu dan disaran melakukan pemeriksaan berkala, saringan dan rawatan untuk risiko kardiovaskular seperti tekanan darah, tahap kolesterol dan kencing manis.

Di samping itu, mendapatkan rawatan daripada doktor juga penting kerana setiap individu memiliki tahap imunisasi penyakit yang berbeza.

Fakhrul Haziq Kamarulzaman
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X