Khamis, 14 Oktober 2021 | 10:31am
- Gambar hiasan/BERNAMA
- Gambar hiasan/BERNAMA

Bijak manfaat rentas negeri elak kembali 'terkurung'

Pengumuman kerajaan membenarkan rentas negeri bermula Isnin lalu melegakan semua lapisan masyarakat yang menjalani kehidupan hampir dua tahun di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keputusan dibuat selepas kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencapai 90 peratus.

Dijangkakan kes penularan COVID-19 di Malaysia berkurangan sedikit masa lagi berdasarkan trend penurunan terkini. Perkembangan ini mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, sekali gus mencapai sasaran 3 hingga 4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Selain itu, kadar pengangguran dijangka dapat dipulih memandangkan peluang pekerjaan kembali dibuka bagi sektor yang memerlukan tenaga kerja baharu, terutama pelancongan, perhotelan serta beberapa sektor dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam pada itu, wujud kebimbangan masyarakat mengenai penularan kes selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan. Andaian ini tidak dapat dinafikan, namun dengan disiplin kendiri yang baik sudah pasti bilangan peningkatan kes dapat dikawal.

Walau apa pun, usaha berterusan kerajaan menangani pandemik wajar dihargai dan diberi pujian. Perkembangan semasa menunjukkan kedudukan Malaysia dalam carta Indeks Pemulihan COID-19 melonjak ke tangga 102 berbanding 115 sebelum ini seperti dilaporkan Nikkei Asia.

Indeks itu menilai kaedah pengurusan jangkitan wabak di 121 negara, kadar vaksinasi dan pergerakan sosial.

Jelas sekali, strategi dan pelan pemulihan dilaksana negara ketika ini membuahkan hasil dengan bilangan kes semakin menurun dan program vaksinasi berjalan pantas seperti dirancang.

Kini terserah kepada rakyat memanfaatkan peluang diberikan sebaik mungkin serta tidak mengambil mudah dan sambil lewa kelonggaran diberikan.

Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mereka yang ingin memulakan perjalanan pulang ke kampung mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti melakukan ujian RT-PCR atau Ujian Pantas (RTK) Antigen sewajarnya diikuti sebagai langkah berjaga-jaga dan demi melindungi keluarga masing-masing.

Bagaimana pula nasib golongan antivaksin yang menempuh kehidupan akan datang dipenuhi SOP dan sekatan terhadap mereka. Apakah mereka akan mengubah pendirian?

Sikap dan pendirian mereka yang enggan mengambil sebarang dos tanpa sebarang alasan munasabah hanya merugikan diri sendiri dan menyebabkan mereka tersisih dari masyarakat.

Justeru, usah salahkan orang lain atas kedegilan sendiri. Sememangnya pengambilan vaksin bukan kewajipan, namun ia tanggungjawab dalam membantu kerajaan dan barisan hadapan mengekang penularan COVID-19 daripada terus menghantui kehidupan.

Terimalah hakikat bahawa memakai pelitup muka, memeriksa suhu badan, menggunakan cecair sanitasi tangan dan mengimbas kod QR MySejahtera adalah perkara wajib yang perlu dipatuhi setiap kali berada di tempat awam buat masa ini.

Ia tidak akan selamanya begitu sekiranya semua golongan memberikan kerjasama sehingga keadaan kembali normal beberapa tahun akan datang.

Mohd Salleh Osman,
Putrajaya

Berita Harian X