Rabu, 15 September 2021 | 11:30am
Budaya pembelajaran yang wujud di rumah ketika PdPR harus diteruskan dan dijana secara bijaksana. - Foto hiasan.
Budaya pembelajaran yang wujud di rumah ketika PdPR harus diteruskan dan dijana secara bijaksana. - Foto hiasan.

Budaya belajar di rumah wajar dikekalkan

PENGUMUMAN Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, Ahad lalu berhubung pengoperasian sekolah secara berperingkat mengikut fasa memberi nafas lega kepada sebilangan besar ibu bapa.

Pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka lebih dominan keberkesanannya dalam penyampaian dan penerimaan ilmu untuk pelajar.

Isu kesediaan dan persiapan PdP bersemuka bukan hanya kepada kementerian, bahkan guru, pensyarah, pelajar dan ibu bapa.

Lanjutan sesi persekolahan 2021 sehingga akhir Februari 2022 dilihat langkah bijak memandangkan tidak semua pelajar mampu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akibat pelbagai kekangan. Ia bagi memastikan tiada pelajar ketinggalan dalam menguasai silibus dan subjek tahunan.

Bagi mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT), terutama semester pertama dan kedua, mereka belum merasai keseronokan dan kehidupan alam kampus kerana pengajian bermula dengan pembelajaran secara dalam talian.

Oleh itu, pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memuktamadkan kerangka pelan merangkumi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelajar IPT semalam, memberi berita gembira kepada mahasiswa.

Justeru, ibu bapa perlu membimbing serta sentiasa mengingatkan anak dalam mematuhi SOP dan peraturan sekolah. Bahkan bagi ibu bapa, mengembalikan anak ke sekolah bukanlah bermaksud menyerahkan kembali semua tugas pengajaran kepada guru semata-mata.

Walaupun, pelaksanaan PdP bersemuka sepenuhnya akan berlaku, budaya pembelajaran yang wujud di rumah ketika PdPR harus diteruskan dan dijana secara bijaksana.

Pelajar terdedah dengan kemudahan akses terhadap bahan pelajaran melalui internet. Kepelbagaian saluran pembelajaran tambahan dapat dimanfaatkan pelajar dan masyarakat awam melalui saluran YouTube contohnya oleh Ustaznikazizan (tarannum al-Quran), Cikgu Rachael (bahasa Inggeris), Khalil Channel (bahasa Mandarin) dan Shafiq Educations (bahasa Tamil).

Kekerapan pemantauan pelajar oleh ibu bapa ketika PdPR perlu diteruskan supaya kelangsungan pendidikan pelajar lebih berkesan. Jadual pembelajaran mingguan yang disusun boleh diaplikasikan sepanjang pelajar di rumah.

Justeru, disiplin dan pengurusan masa dalam mengimbangi akademik dan aktiviti tambahan di rumah penting dalam menjana kreativiti dan kecemerlangan pelajar.

Ini termasuk ruang pembelajaran kondusif yang disediakan ibu bapa sebelum ini di rumah, hendaklah dikekalkan agar pelajar selesa untuk mengulangkaji pelajaran.

Adab juga perlu dipupuk kepada diri pelajar dalam melahirkan generasi berilmu dan beradab. Adab dipelajari secara langsung menerusi persekitaran pelajar di rumah melalui didikan dan pengaruh ibu bapa.

Hal ini perlu ditekankan, terutama sekali kebanyakan masyarakat hari ini lebih cenderung menghukum dan mengeluarkan keluhan, tanpa timbangan akal dan ilmu sehingga memberi kebejatan dan membantutkan proses penerangan daripada pihak berwajib.

Keseluruhannya, pelaksanaan PdPR dan PdP bersemuka akan berjaya sepenuhnya jika semua pihak bertanggungjawab secara kolektif.

Masyarakat perlu sentiasa bermotivasi untuk bersemangat, berilmu, beradab, cakna dan tangkas dalam mengadaptasi segala kemungkinan dan terus mengekalkan budaya pembelajaran di rumah.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Berita Harian X