Khamis, 22 Julai 2021 | 11:00am

Jadikan pandemik asas keutamaan baharu belanjawan

Pandemik COVID-19 mentransformasi senario global dan membuktikan kesihatan tonggak kehidupan. Ia melumpuhkan ekonomi dan sosial pada skala tidak pernah dijangka.

Tidak diketahui bila pandemik ini akan berakhir. Belum ada ukuran dapat disediakan untuk menilai kesan sebenar COVID-19.

Namun, program vaksinasi digerakkan seluruh dunia, seakan-akan menjanjikan harapan kepada pemulihan global. Cuma persoalan penting apakah akan muncul pandemik seumpama COVID-19 atau lebih dahsyat pada masa akan datang?

Oleh itu, COVID-19 sewajarnya mendorong semua pihak berfikir dan merancang sesuatu lebih penting dan besar di luar jangka serta kebiasaan sekarang. Contoh, beberapa bulan selepas dilanda COVID-19 pada 2020, Kerajaan Singapura serta-merta meluluskan bajet SGD25 bilion untuk penyelidikan, termasuk pencarian berkaitan vaksin.

Kerajaan Jepun pula menubuhkan bank data penyakit berjangkit khususnya COVID-19. Inisiatif ini dilakukan 50 institusi penyelidikan perubatan di negara Matahari Terbit itu yang membabitkan kutipan statistik 10,000 pesakit COVID-19. Ia dimulakan dengan pengambilan sampel darah dan air liur pesakit.

Dalam negara, kita memerlukan satu pelan induk mengenai hala tuju Malaysia selepas pandemik. Memandangkan COVID-19 menukar trend dan landskap kehidupan, maka kehidupan era pasca pandemik mesti disusun supaya perjalanan negara, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat lebih teratur menuju matlamatnya.

Ia boleh dimulakan menerusi Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan November akan datang.

Melihat kesan dan pengaruh COVID-19, maka keutamaan bajet tahun depan mesti diberi kepada sektor kesihatan tanpa menjejaskan bajet pendidikan, pertahanan serta sektor ekonomi dan pembangunan.

Maknanya, bajet sektor kesihatan tidak akan 'meragut' bahagian sektor lain, tetapi sejumlah peruntukan baharu lebih besar perlu ditokok untuk sektor itu. Hala tuju menerusi dasar dan pembangunan baharu dalam sektor kesihatan mesti disediakan mulai bajet ini.

Melihat sejarah, hasil kajian saintis serta pemikiran yang waras, dunia global memang terdedah ancaman pandemik maut pada masa akan datang. Oleh itu, negara wajar melakukan persiapan untuk melalui kesukaran itu yang boleh muncul bila-bila masa.

Ketika ini, COVID-19 'menelan' banyak fasiliti awam yang bukan berorientasikan perubatan atau perawatan. Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang dan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) antara contoh. Begitu juga tempat letak kereta turut dijadikan hospital medan.

Tenaga kerja perkhidmatan awam dan pekerja tambahan juga terpaksa dilencongkan ke arah keperluan pengurusan COVID-19. Wad di hospital awam juga 'ditelan' pandemik ini. Maknanya, banyak perkara perlu disusun semula mengikut keutamaan dan keperluan asalnya.

Pada masa sama, kita perlu mewujudkan fasiliti baharu dengan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran baharu. Jadi, perlukah dalam Belanjawan 2022 diperuntukkan bajet untuk menyediakan fasiliti dan keperluan baharu, termasuk membina pusat rawatan khas pesakit COVID-19 di seluruh negara?

Tujuan idea ini, supaya fasiliti awam yang sedia 'ditelan' itu dapat digunakan semula seperti biasa mengikut skopnya.

Pengkhususan rawatan pesakit COVID-19 secara logiknya lebih praktikal di hospital baharu yang khas dibina. Ia membabitkan jumlah katil yang wajar dan pembinaan ruang kosong yang boleh diubah suai menjadi wad jika wad sedia ada penuh.

Hospital baharu ini juga menyediakan tenaga kerja khas yang mampu memenuhi keperluan jika berlaku pandemik seumpamanya pada masa depan. Pengasingan pesakit ini di hospital khas tidak bertujuan mewujudkan diskriminasi, tetapi dengan tujuan memberi rawatan secara fokus dan khusus tanpa dicampur aduk kes penyakit lain.

Contoh, kita pernah ada hospital khas pesakit kusta di Sungai Buloh dan sekian lama wujud hospital khas untuk rawatan pesakit mental di Tanjung Rambutan di Perak dan Tampoi di Johor.

Mungkin kita boleh memantau kesan strategi Kerajaan Singapura yang memberi persepsi dan melakukan pendekatan baharu terhadap COVID-19, iaitu menganggap virus itu sebagai virus biasa.

Secara logik, jika imunisasi kelompok sudah dicapai dan menghampiri angka majoriti penduduk, maka skala imunisasi individu lebih tinggi. Akhirnya, graf kes penyakit itu boleh didatarkan dan sebarang kes boleh dirujuk ke hospital khas.

Dengan senario ini, kita boleh menjalani semula kehidupan seperti asal, tetapi tetap berorientasikan norma baharu. Antaranya, serba-serbi menuju digital dan dalam talian, manakala realiti berkomunikasi secara fizikal menjadi tidak begitu perlu.

Ternyata, COVID-19 menjejaskan guna tenaga kerja, menggugat keutuhan kewangan dan perbankan, menuntut penyusunan semula sistem perkhidmatan awam serta impak bekerja dari rumah.

Selain itu, pelarasan semula semua cukai Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilaksanakan kerana rata-rata perniagaan serta perusahaan sudah lumpuh.

Ringkasnya, terlalu banyak perkara terjejas dek COVID-19 dan perlu disusun serta disesuaikan semula. Jadi, transformasi negara pasca COVID-19 memerlukan satu pelan induk dengan pembabitan semua pihak.

Ketika mana semua pihak masih berhempas-pulas mendepani COVID-19 dan cuba menamatkan penularannya, kerajaan pada masa sama, mesti menggubal segera pelan induk jangka panjang pasca COVID-19 yang merangkumi semua sektor.

Cadangan dan pandangan semua pihak mesti digembleng untuk mendapatkan inti pati daripada semua input dikumpulkan, bagi menggubal pelan baharu itu. Ini termasuk membabitkan kepakaran dan memanfaatkan bajet pelbagai institusi antarabangsa.

Malah, ada cadangan supaya Suruhanjaya Diraja Mengenai Kesihatan di Malaysia ditubuhkan untuk mencari solusi holistik mengenai masa depan kesihatan rakyat dan hala tuju negara mulai sekarang kerana negara lain sedang giat melakukannya.

Bidang suruhanjaya ini juga boleh diperluas, termasuk meneliti semula rancangan lima tahun Malaysia, dasar pembangunan ekonomi Bumiputera serta pelan lain yang kritikal.

Sebagai satu hak asasi, rakyat mendambakan sistem kesihatan yang adil, berkesan dan penuh prihatin. Rakyat perlu menjalani kehidupan pasca COVID-19 berteraskan dasar baharu yang mampu mensejahterakan mereka, memakmurkan ekonomi serta mempertahankan keselamatan negara.

Mohd Kamal Ahmad

Johor Bahru

Berita Harian X