Selasa, 6 Julai 2021 | 10:45am
Penerima bantuan membawa pulang sumbangan bakul makanan yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid di Kampung Merbau Pulas, Ajil, baru-baru ini. - NSTP/Ghazali Kori
Penerima bantuan membawa pulang sumbangan bakul makanan yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid di Kampung Merbau Pulas, Ajil, baru-baru ini. - NSTP/Ghazali Kori

Pastikan bakul makanan penuhi keperluan nutrisi keluarga

MALAYSIA dikejutkan dengan kes bunuh diri amat membimbangkan. Sebanyak 631 kes bunuh diri dilaporkan tahun lalu, manakala statistik setakat Mei lalu, 468 kes direkodkan. Secara purata, dua kes bunuh diri sehari dilaporkan sejak 2019 hingga Mei 2021.

Antara punca utama ialah beban kewangan dan tekanan perasaan. Ramai kehilangan sumber pendapatan, malah ada dalam kalangan golongan T20, jatuh tertiarap menjadi B40.

Justeru, pelbagai inisiatif diambil masyarakat untuk membantu golongan terkesan khususnya memberi sumbangan makanan dan peralatan.

Oleh itu, usaha memberikan bantuan kepada golongan terkesan termasuk mereka terpaksa mengangkat bendera putih, perlulah diberikan secara bijaksana. Ini termasuk sumbangan berbentuk makanan berkhasiat dan bernutrisi.

Makanan keperluan asas manusia. Ia seharusnya membekalkan nutrisi atau zat diperlukan badan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ini termasuk proses perkembangan sel dalam badan dan memperbaiki sel rosak serta nutrisi untuk pertumbuhan terutama kanak-kanak.

Secara asas, makanan sihat seharusnya daripada pelbagai sumber merangkumi kumpulan karbohidrat, protein dan lemak. Makanan segar seperti buah, sayuran berdaun hijau, ayam, ikan dan daging menjadi pilihan utama.

Namun bagi tujuan bantuan bakul makanan, jenis makanan kering, tidak mudah rosak dan lebih tahan lama boleh diberikan.

Contohnya beras, mihun, mi, kentang, keledek dan tepung gandum bagi membekalkan tenaga. Makanan seperti ikan bilis, sardin dalam tin, kacang kuda, kacang dal atau ikan kering menjadi kumpulan protein terutama telur sebagai sumber protein lengkap.

Susu tepung juga antara keperluan terutama jika keluarga itu mempunyai anak sedang membesar.

Sayur dan buah sangat penting sebagai sumber mineral, vitamin dan serat.

Sayuran berdaun dan lembut mungkin cepat rosak. Namun, terdapat pelbagai pilihan seperti labu, lobak merah, petola serta jambu batu lebih mudah diagihkan.

Minyak masak, bawang putih, bawang merah, cili kering, garam, gula dan rempah-ratus juga diperlukan sebagai bahan asas memasak di dapur. Seringkali juga kita terlupa alatan memasak terutama gas juga adalah keperluan.

Amalan menanam sendiri sumber makanan mudah seperti pegaga, ulam raja, sawi, kunyit, halia dan pelbagai jenis ulaman perlu dipupuk. Ia bukan sahaja mengurangkan kos perbelanjaan, malah membekalkan sumber sayuran berkhasiat.

Pemberian makanan seimbang dan bernutrisi kepada golongan terkesan amat penting bagi memastikan mereka mempunyai sistem pertahanan badan kuat bagi melawan COVID-19 yang kini mencatat lebih 700,000 kes.

Makanan mengandungi serat seperti buah mampu mengaktifkan probiotik baik dalam perut. Natijahnya, imuniti badan dapat ditingkatkan seterusnya menghalang jangkitan kuman berbahaya.

Bahkan, kajian juga menunjukkan keseimbangan probiotik boleh mengurangkan depresi bagi mereka terkesan. Dengan pemberian makanan baik kepada golongan terkesan, ia juga mampu memberikan sinar untuk terus hidup dan tabah menghadapi ujian.

Tidak dilupakan, tahniah diucapkan kepada rakyat cakna dengan kesusahan jiran tetangganya.

Penulis adalah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X