Rabu, 30 Jun 2021 | 12:00pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tangani isu kekurangan guru bukti ketelusan KPM

PENGUMUMAN mengenai negara kekurangan lebih 18,000 guru buat masa ini, diikuti perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengatasi masalah ini disambut gembira semua pihak, terutamanya guru dan ibu bapa.

Tahniah dan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, dalam mengemukakan data dan perancangan terperinci bagi menangani masalah ini.

Kekurangan guru memang dijangka banyak pihak. Gabungan Intelektual Pendidikan Guru Se-Malaysia (GENIUS) juga membentangkan jangkaan kekurangan guru akan berlaku berikutan isu kurang pengambilan calon guru dan cadangan penukaran fungsi Institut Pendidikan Guru (IPG) sejak 2016 hingga 2020.

Namun, tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah ini. Justeru, pengumuman KPM itu berserta usaha pengisian lebih 18,000 guru mulai Julai ini amat dinantikan dan tepat pada masanya.

Bagi mengisi kekosongan ramai guru pada masa singkat ini, diharapkan kualiti kelayakan calon dan latihan tetap diutamakan.

Pengalaman pada 2000 dalam mengatasi kekurangan guru yang serius pada waktu itu, harus diambil iktibar. Ketika itu pengambilan besar-besaran guru dan ditempatkan di pelbagai institusi termasuk IPG, universiti awam dan swasta.

Apa yang berlaku, selepas beberapa tahun latihan, terdapat institusi yang tidak memenuhi standard ditetapkan dan pelajar terpaksa ditarik dan ditempatkan semula di IPG. Diharap pengalaman ini tidak berulang kerana ia akan memberi kesan buruk yang terpaksa ditanggung pelajar.

GENIUS juga mengharapkan perancangan pengecilan beberapa IPG untuk dikongsikan dengan Kolej Vokasional turut dikaji semula.

Adalah penting bagi mengembalikan semula keupayaan sebenar IPG sebagai pusat latihan guru yang utama masa kini dan masa hadapan.

Presiden Gabungan Intelektual Pendidikan Guru Se-Malaysia (GENIUS)

Berita Harian X