Selasa, 29 Jun 2021 | 10:46am
Bangunan Parlimen. - Foto hiasan
Bangunan Parlimen. - Foto hiasan

Guna Parlimen jatuhkan kerajaan bukan demokrasi matang

SEJAK Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan berkenaan pembukaan Parlimen secepat mungkin, perdebatan mengenai ruang lingkup kuasa Parlimen, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri menjadi semakin hangat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Rata-rata amat mengalu-alukan keputusan kerajaan menamatkan proklamasi darurat supaya Parlimen dapat bersidang semula bagi membincangkan perkara penting berkaitan rakyat dan negara.

Namun, ada segelintir mencetuskan andaian kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dibahaskan, sekiranya Parlimen bersidang.

Persoalannya, adakah benar pembukaan Parlimen pada masa terdekat akan menyaksikan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti didakwa sesetengah pihak?

Adakah fungsi utama Parlimen sebagai platform penting untuk membincangkan permasalahan rakyat akan digunakan untuk merealisasikan pakatan segelintir Ahli Parlimen, untuk menjatuhkan kerajaan?

Bukankah pilihan raya umum platform yang wajar digunakan untuk memilih kerajaan baharu?

Seperti diketahui umum, kerajaan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi Parlimen dan Raja Berperlembagaan. Perlembagaan Malaysia undang-undang tertinggi, malah asas pembentukan negara berdaulat seperti termaktub dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

Mencontohi model Westminster dari United Kingdom (UK), Perlembagaan Persekutuan menggariskan satu rangkaian prosedur dalam pengurusan Parlimen sebagai sebuah badan legislatif.

Perjalanan Parlimen pula dipandu satu tatacara pentadbiran yang teratur ditentukan Perlembagaan Persekutuan. Secara ringkas boleh dikatakan, perjalanan Kerajaan Malaysia ditunjangi Parlimen, dengan dilengkapi kuasa Parlimen, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, dimaktubkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara dan Parlimen Malaysia pula sebagai badan legislatif negara. Parlimen adalah institusi mewakili kuasa rakyat dan Institusi Raja Berperlembagaan pula mewakili kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Yang di Pertuan Agong.

Menurut Perkara 32(1), Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama negara bagi Persekutuan dan mendapat keutamaan dengan mengatasi segala orang dalam Persekutuan. Dalam pada itu, Perkara 43(2)(a) memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri yang pada pendapat baginda mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat.

Namun, Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong selaku Raja Berperlembagaan menjalankan tugas mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Pada masa sama, Perkara 40(2), memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak menurut budi bicara baginda melaksanakan tugas berkepentingan pentadbiran negara.

Berkenaan undi tidak percaya, sekiranya seseorang Perdana Menteri tidak mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan bersama Jemaah Menteri dan boleh mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Namun, dalam perkara sama, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan mengikut budi bicara, sama ada menerima atau menolak cadangan Perdana Menteri untuk pembubaran Parlimen.

Maka, tidaklah keterlaluan disimpulkan bahawa Parlimen adalah platform untuk membincangkan hal ehwal kebajikan rakyat. Menggunakan Parlimen untuk menjatuhkan sesuatu kerajaan, bukanlah budaya demokrasi matang.

Pilihan raya umum adalah medan terbaik menguji kekuatan parti politik dalam satu sistem politik demokrasi.

Al-Sultan Abdullah adalah seorang Raja yang amat prihatin terhadap kebajikan rakyat. Justeru, rakyat perlu menjunjung titah baginda dan menepati Perlembagaan Persekutuan demi menjaga keamanan dan kestabilan politik negara.

Datuk M Periasamy, Penganalisis politik, ekonomi sosial

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X