Khamis, 27 Mei 2021 | 10:30am
UiTM antara universiti awam yang masih kekalkan Fakulti Pendidikan dengan pendekatan open market dan kurangkan ambilan kepada satu atau dua kelas. - Foto hiasan/Rohanis Shukri
UiTM antara universiti awam yang masih kekalkan Fakulti Pendidikan dengan pendekatan open market dan kurangkan ambilan kepada satu atau dua kelas. - Foto hiasan/Rohanis Shukri

Bukan masalah ijazah graduan pendidikan tak laku

Saya terpanggil untuk memberi sedikit pendapat mengenai artikel disiarkan BH kelmarin dengan tajuk utamanya Ramai graduan pendidikan UA hadapi realiti pahit ijazah tak laku di pasaran dan tajuk dalamnya Bakal guru terpaksa jadi jaga sekolah.

Tajuk ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada pandangan positif, ada juga negatif berbaur hasutan serta ada yang saling menasihati. Setiap individu berhak mempunyai pandangan mereka sendiri.

Hakikatnya, bermula 2017 tiada lagi unjuran Kementerian Pendidikan (KPM) kepada semua universiti awam (UA) yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP). KPM mempunyai alasan di mana guru dengan opsyen tertentu dikatakan berlebihan berdasarkan perbandingan keluaran UA dan keperluan KPM.

Sudah pasti KPM mengambil kira beberapa aspek sebelum usul ini dibuat. Susulan itu, UA terbabit mengambil beberapa langkah, antaranya menutup beberapa program dan mengurangkan ambilan.

Namun, ada juga UA yang tidak menutup program ataupun fakulti pendidikan mereka kerana mempunyai visi, misi dan justifikasi tertentu.

Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak ditutup, tetapi mengambil pendekatan open market dan mengurangkan ambilan kepada satu atau dua kelas. Pelajar jelas dengan perkara ini kerana kita memaklumkan lebih awal dalam surat tawaran bahawa tidak dijanjikan penempatan di sekolah kerajaan.

Alhamdulillah, statistik kebolehpasaran graduan melebihi 85 peratus setiap kohot graduan dan masih ramai calon memilih program ISMP UiTM sebagai pilihan pertama dan kedua.

Kenapa pendekatan ini diambil dan kenapa universiti masih memilih untuk mengambil calon? Apakah tujuan universiti diwujudkan?

Secara amnya universiti diwujudkan untuk memberikan pendidikan dari aspek ilmu, kemahiran dan nilai sahsiah bagi melahirkan masyarakat berilmu dalam bidang sains dan teknologi serta sains sosial yang akhirnya dapat memberikan impak positif dengan menaik taraf kehidupan masyarakat.

Jangan salah anggap, bukan maksud saya mereka yang tidak ke pendidikan lebih tinggi tidak berilmu. Tetapi sudah tentulah sepatutnya berbeza dari segi ilmu, kemahiran dan nilai sahsiah bagi mereka yang menyambung pengajian pada peringkat tinggi.

Jawapannya kepada persoalan kenapa program ISMP pendidikan masih diteruskan ialah kerana ingin melahirkan masyarakat berilmu, berkemahiran dalam mendidik generasi akan datang.

Tidak semestinya di sekolah kerajaan atau di sekolah swasta, tetapi di mana sahaja dengan ilmu dan kemahiran, insya-Allah graduan boleh bekerja di mana-mana. Masalah mereka tidak diambil bekerja bukan sebab ijazah tidak laku, tetapi mungkin kerana beberapa sebab lain seperti tiada kekosongan, kemahiran tidak sepadan (generik atau spesifik) dan pelbagai lagi asbab kepada 'belum ada rezeki'.

Tiada satu pun di dunia ini mempunyai kurikulum 'sempurna'. Sebab itulah UA sentiasa menambah baik kurikulum masing-masing dengan mengambil kira pandangan pakar, industri, agensi dan alumni.

Dengan situasi VUCA (volatile, uncertainty, complex dan ambiguity), dunia tanpa sempadan, pasaran industri yang sentiasa berubah menyebabkan landskap pendidikan berubah dengan cepat. Oleh itu, UA sentiasa berusaha melengkapkan pelajar dengan kemahiran tambahan, selain yang diperoleh dalam kurikulum masing-masing.

Hantar pelajar mengikuti sijil untuk upskill (peningkatan kemahiran) dan reskill (pemahiran semula). Pelajar dan graduan juga usah terlalu selesa, sentiasalah belajar memperbaiki kelemahan diri dan cari kemahiran lain kerana dunia semakin mencabar dan tidak semata-mata bergantung kepada universiti.

Mereka yang survive (selamat) adalah yang berdikari, pandai mencari peluang, kreatif pemikirannya, tidak mudah melatah dan sentiasa berfikiran positif. Kemahiran ini sudah UA terapkan sebenarnya dalam kurikulum, namun akhirnya berbalik kepada diri pelajar atau graduan masing-masing untuk mempraktikkannya.

Contohnya; kursus keusahawanan. Ramai melatah mengatakan "alahhh…. berapa ramai je nanti nak jadi usahawan… buang masa kursus ini".

Namun hakikatnya, kursus ini bukan semata-mata memberi ilmu dan kemahiran keusahawanan, tetapi lebih kepada minda keusahawanan yang bertujuan antaranya membentuk pelajar pandai mencari peluang, kreatif dan inovatif serta berfikiran positif dan mempunyai ciri peribadi yang kuat dan tahan kepada cabaran.

Begitu juga beberapa kursus lain. Namun ramai berpandangan remeh tujuan dan hasrat universiti.

Saya kurang setuju apabila disebut 'ijazah tidak laku'. Apakah maksud ini? Mungkin maksud penulis disebabkan pelajar diterima bekerja. Saya harap bukan maksud penulis, ijazah tidak berkualiti.

Semua program dan kurikulum sama ada di UA atau universiti swasta diiktiraf dan diakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan merujuk kepada ASEAN Qualifications Reference Framework (AQRF). Beberapa program turut mendapat pengiktirafan dan akreditasi antarabangsa. Tiada isu ijazah tidak laku atau tiada kualiti. Mungkin keadaan sekarang kurang menyebelahi graduan.

Namun, ini tidak bermakna graduan perlu melatah dan duduk diam dan menyalahkan orang lain. Jangan sesekali menganggap usaha atau empat tahun di universiti hanya sia-sia. Salah sekali tanggapan itu.

Berbanggalah dengan ilmu dan kemahiran yang anda peroleh, yang ramai antara rakan anda tidak dapat menikmatinya. Gunakanlah ilmu dan kemahiran ini untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif mendepani kehidupan lebih mencabar.

Jadilah job creator (pencipta kerjaya) bukan sekadar job seeker (pencari kerja). Seperti perumpamaan Melayu, 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan'. Teruskan mencari ilmu dan kemahiran, kerana ilmu diperoleh hanya setitik dari selautan.

Pandangan saya juga, sudah sampai masanya untuk kita mengkaji nisbah pelajar dan guru di Malaysia dengan opsyen yang betul dan dengan hasrat menjadi negara membangun dengan menguatkan asas sains dan teknologi masyarakatnya.

Berdasarkan kajian OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development, Education at a Glance, 2019), menunjukkan nisbah kecil guru dan pelajar memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti dan ilmu kemahiran yang ingin disampaikan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Guru lebih fokus dan tertumpu kepada kumpulan kecil kerana pada peringkat usia ini amat penting dan lebih mudah menerapkan ilmu, nilai dan kemahiran.

Daripada 29 negara membangun, sedang membangun (tidak termasuk Malaysia) dan kurang membangun yang dikaji, purata antara 14 hingga 25 pelajar dalam satu kelas untuk sekolah rendah dan menengah. Di mana kedudukan kita?

Pandangan saya, untuk berusaha menjadi negara membangun, perkara ini perlu dilihat lebih serius. Sudah tentu perubahan ini membabitkan implikasi kewangan, fizikal dan sumber lain.

Namun, untuk masa hadapan generasi, perkara ini perlu untuk memastikan kelestarian pendidikan berkualiti bagi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan beradab.

Pandangan saya, KPM perlu utamakan graduan terlatih di UA untuk mengajar di sekolah menengah jika ada kekosongan berbanding guru interim. Sudah tentu ada perbezaan antara bakal guru terlatih empat tahun di universiti berbanding tiga hingga empat bulan. Pandangan dan cadangan di atas adalah pandangan peribadi berasaskan pengalaman, pembacaan dan keprihatinan berkenaan isu semasa pendidikan negara.

Banyak lagi isu pendidikan negara boleh dibincangkan dengan adab dan penuh profesionalisme. Semua rakyat berhak mengutarakan pandangan, tetapi utarakanlah pandangan bernas, disusuli fakta dan data, bukan mengikut hati dan perasaan serta bukan juga hasutan.

Jadilah rakyat celik ilmu, celik akal serta celik hati dan jiwa.

Sharipah Ruzaina Syed Aris,
Dekan Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X