Isnin, 3 Mei 2021 | 11:00am

Guna dana KWAN beli vaksin langkah tepat, wajar

Tindakan kerajaan membuat pindaan undang-undang ke atas Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988 menerusi Ordinan Darurat baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi.

Pindaan itu membolehkan pengeluaran dana RM5 bilion atau 25.6 peratus daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM19.5 bilion.

Namun, pengeluaran ini bukan sekadar suka-suka. Ia bertujuan mempercepatkan perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Justeru, tindakan kerajaan dilihat tepat dan wajar berdasarkan beberapa faktor. Pertama, pasti ramai masih ingat krisis ekonomi pada 1998 dan 2008. Namun, apa yang kita hadapi sekarang jauh berbeza kerana ia gabungan krisis kesihatan dan ekonomi secara serentak.

Jelas, kerajaan perlu bertindak tangkas dan cekap menangani pandemik COVID-19, pada masa sama, memastikan ekonomi negara terjaga.

Kedua, vaksinasi dilihat jalan keluar untuk ekonomi kembali pulih. Tidak hairanlah kenapa kerajaan sangat menitikberatkan program vaksinasi agar rakyat dapat dilindungi, imunisasi kelompok dicipta dan ekonomi negara dirancakkan semula.

Ketiga, selari objektif KWAN apabila ditubuhkan pada 1988, iaitu untuk melindungi generasi masa depan. Kitalah masa depan itu. Kita jugalah memerlukan bantuan dalam menghadapi cabaran pandemik. Jelas, kita perlukan program vaksinasi berkesan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Keempat, ruang fiskal negara terhad kerana mewarisi keberhutangan tinggi hanya memburukkan keadaan. Umum perlu mengetahui kerajaan sedang mewarisi hutang pinjaman dan liabiliti kerajaan melebihi RM1 trilion, termasuk jaminan pinjaman tanpa sumber pembayaran balik seperti hutang 1MDB, 1MDB Energy dan SRC International.

Komitmen pembayaran balik liabiliti itu dianggarkan lebih RM20 bilion setahun untuk lima tahun akan datang atau sekurang-kurangnya RM100 bilion, sekali gus jumlah sangat besar.

Tanpa dana KWAN, kadar defisit negara dikhuatiri boleh melebihi 6 peratus, akhir tahun ini. Ini hanya menambah keberhutangan untuk anak dan cucu kita pada masa hadapan. Adakah ini adil dan wajar?

Sebagai rekod, dana KWAN berjumlah RM19.5 billion setakat 31 Disember 2020. Ia juga pernah digunakan sebelum ini pada 1998 untuk pembangunan Projek Paya lndah Wetlands. Adakah program vaksinasi negara yang menjadi kunci pemulihan ekonomi tidak sepenting Paya Indah Wetlands?

Apa yang pasti, keputusan kerajaan menggunakan dana KWAN dilihat sebagai langkah tepat kerana ia bukan sahaja dapat mempercepatkan perolehan vaksin untuk manfaat bersama.

Jefri Salleh

Kuala Lumpur

Berita Harian X