Jumaat, 30 April 2021 | 11:47am
Warga emas menunggu giliran sebelum menerima suntikan vaksin dos pertama pada Program Vaksinasi imunisasi negeri bagi fasa kedua membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta yang berpenyakit kronik. Program vaksinasi fasa kedua ini dijangka selesai sebelum Aidilfitri. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Warga emas menunggu giliran sebelum menerima suntikan vaksin dos pertama pada Program Vaksinasi imunisasi negeri bagi fasa kedua membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta yang berpenyakit kronik. Program vaksinasi fasa kedua ini dijangka selesai sebelum Aidilfitri. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Tak salah guna dana KWAN untuk jaga rakyat, negara

AKHIR-AKHIR ini, topik mengenai Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) menjadi isu hangat. Puncanya, kerajaan menggunakan dana daripada tabung itu untuk tujuan melawan COVID-19 yang kini kembali mengancam selepas agak reda buat seketika.

Ramai juga mempersoal kenapa kerajaan menggunakan dana itu yang diperuntukkan untuk kegunaan generasi masa depan.

Pada pandangan saya, dalam keadaan krisis kesihatan luar biasa dan global sebegini, apa-apa juga sumber kewangan yang sah patut digunakan kerajaan untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

KWAN adalah dana sah di sisi undang-undang dan ia simpanan wang tersedia untuk digunakan pada masa kritikal. Jadi, tidak perlu isu ini dipolitikkan sementara rakyat resah mahu diselamatkan.

Malah, ada pula pengkritik menyarankan kerajaan meminjam daripada sumber lain selain menggunakan KWAN. Bukankah ini akan mengakibatkan hutang negara lebih tinggi?

Seharusnya, kita mahu kerajaan bertindak segera memastikan program vaksinasi berjaya dan ribuan nyawa diselamatkan.

Hakikatnya, KWAN ialah satu kumpulan wang amanah yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 untuk mengumpulkan hasil daripada pengeluaran komoditi negara seperti petroleum yang dijangka susut suatu hari nanti.

Dana dikumpul dalam tabung ini bukannya hasil cukai dikenakan terhadap rakyat, sebaliknya penyumbang terbesarnya adalah PETRONAS. Malah, syarikat atau orang perseorangan juga boleh membuat sumbangan.

Diurus dan dikawal selia Bank Negara Malaysia (BNM), tujuan KWAN ditubuhkan untuk memastikan generasi akan datang terus terpelihara dan mendapat manfaat apabila sumber hasil bumi negara berkurangan.

Itu matlamat KWAN ketika ia ditubuhkan 33 tahun lalu. Kini, nampaknya kitalah generasi 'masa depan' yang disebut-sebutkan dalam akta penubuhan KWAN itu.

Adakah menjadi kesalahan besar untuk menggunakan dana itu bagi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat hari ini?

Kerajaan menghabiskan ratusan bilion dalam menangani wabak COVID-19 sejak tahun lalu.

Maka, kita perlu kerajaan bertindak pantas dan mengguna apa saja kemampuan kewangan yang ada untuk memastikan kesan wabak ini dikawal, sebelum sistem kesihatan negara menjadi kritikal seperti di negara lain, contohnya India dan Brazil.

Malah, kerajaan Jepun pun terpaksa mengisytiharkan darurat di Tokyo.

Mengikut laporan Kementerian Kewangan minggu ini, negara masih dibelenggu legasi hutang tidak produktif lebih RM1 trilion. Ia termasuk menjamin pinjaman tanpa sumber pembayaran balik seperti hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembiayaan secara luar bajet (PFI) untuk perbelanjaan off balance sheet.

Pada pandangan saya, negara tidak harus terus meminjam lagi jika ada tabung simpanan sedia ada seperti KWAN. Malah, segerakan supaya rakyat semua dapat diselamatkan!

Dari segi memastikan wang KWAN tidak disalah guna untuk tujuan lain, jelas subseksyen dalam Seksyen 6 Ordinan Darurat (KWAN) (Pindaan) 2021 memperuntukkan dana itu hanya untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Laporan tahunan KWAN pada 2016 menyebut bahawa wang KWAN sebelum ini pernah digunakan bagi memulihara tanah paya di Putrajaya.

Jika begitu, adakah salah untuk membeli vaksin bagi melindungi negara dan rakyat pula?

Jika krisis pandemik masih belum 'cukup syarat' untuk dana KWAN digunakan, agaknya sampai bila-bila pun generasi akan datang tidak boleh menggunakannya.

Ketika negara dilanda krisis pandemik COVID-19 dan tamparan ekonomi yang hebat masa paling sesuai untuk dana KWAN diguna pakai.

Mohd Azmi Adnan,
Salak Tinggi

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X