Rabu, 10 Februari 2021 | 11:00am
Zii Jia
Zii Jia

Zii Jia perlu segera bangkit perbaiki pencapaian

Prestasi buruk jaguh badminton negara, Lee Zii Jia, yang tewas dalam tiga kejohanan berturut-turut di Thailand baru-baru ini menimbulkan tanda tanya mengenai masa depan dan hala tuju pemain itu.

Kegagalan itu memberi tamparan hebat buat Malaysia memandangkan tiada wakil dari China atau Jepun beraksi di Thailand.

Ramai terkejut dan kecewa. Beberapa bekas pemain badminton negara serta penggiat sukan itu juga menyifatkan kegagalan mungkin disebabkan Zii Jia sudah tidak lagi serasi berlatih di bawah bimbingan Hendrawan.

Pada Terbuka Thailand Yonex bulan lalu, Zii Jia tersingkir dalam aksi suku akhir sebelum terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Thailand Toyota. Zii Jia turut tewas dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2020.

Paling mengecewakan, ketika beraksi di perlawanan kedua, Zii Jia tewas mudah 15-21, 4-21 kepada pemain Demark, Viktor Axelsen.

Dapat diperhatikan pemain ini seperti kehilangan kesungguhan ketika berdepan lawan. Kepantasannya menurun berbanding sebelumnya. Zii Jia juga kelihatan seperti mengambil sikap tidak acuh dalam perlawanan itu.

Apakah yang mengganggu pemain ini sebenarnya? Perlukah Datuk Misbun Sidek kembali membimbingnya seperti disuarakan banyak pihak?

Ini antara beberapa persoalan yang kini bermain di fikiran peminat badminton tanah air.

Justeru, tidak hairanlah jika Misbun yang sedang mengikat kontrak selama dua tahun sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan sejak Februari 2020, disebut-sebut paling layak untuk melonjak kembali prestasi Zii Jia ke tahap sebenar.

Hakikatnya, tiada siapa dapat menafikan kebolehan dan kredibiliti Misbun dalam membentuk dan melahirkan pemain berkelas dunia.

Bekas jurulatih perseorangan lelaki negara itu watak penting di sebalik kejayaan Datuk Lee Chong Wei, pemain adik-beradik Muhammad Roslin dan Muhammad Hafiz Hashim, Datuk Rashid Sidek serta Zii Jia sendiri.

Rashid menjadi pemain perseorangan lelaki pertama negara yang memenangi pingat pada Sukan Olimpik apabila meraih gangsa pada edisi 1996 di Atlanta, manakala Chong Wei memenangi perak di Sukan Olimpik edisi 2008 di Beijing.

Roslin menjadi pemain nombor satu dunia pada Mei 2001 selepas memintas dua pemain perseorangan lelaki iaitu pemain Denmark, Peter Gade-Christensen dan Taufik Hidayat dari Indonesia selama dua minggu sebelum dipintas kembali Peter Gade.

Hafiz pula muncul Juara Kejohanan Seluruh England 2003 yang menamatkan penantian negara selama 37 tahun.

Demikian antara catatan kegemilangan Misbun selaku jurulatih perseorangan lelaki negara yang sukar ditandingi mana-mana jurulatih negara hingga kini.

Secara imbas, kemunculan semula Misbun sebagai jurulatih perseorangan lelaki pada 2017 selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada hujung 2010 kerana perbezaan pendapat, sememangnya memberi impak besar kepada arena badminton negara.

Dalam tempoh kurang dua tahun, Misbun membuktikan magisnya apabila berhasil melonjak prestasi Zii Jia ke tahap tertinggi apabila pemain muda itu berjaya merangkul gelaran pertamanya pada peringkat senior dengan menjuarai Terbuka Taiwan.

Justeru, persoalannya kini adakah Zii Jia memerlukan kembali sentuhan Misbun untuk memulihkan prestasinya?

Apa juga alasan, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-10 dunia sudah seharusnya tahu apa yang dimahukannya dalam kerjaya sebagai pemain dan perlu berusaha lebih untuk merealisasikan impiannya.

Tidak keterlaluan dikatakan Zii Jia seperti tidak mempunyai asas kuat dalam sudut fizikal dan mental untuk bertahan lama beraksi di gelanggang, sedangkan dia mempunyai pakej yang baik sebagai pemain badminton terutama dari segi ketinggian fizikalnya.

Zii Jia dilihat hilang keyakinan diri. Permainannya mudah dibaca lawan.

Ketika ini, kekuatan perseorangan lelaki dari setiap negara boleh dikatakan seimbang kerana semuanya berdepan kesukaran menjalani latihan sepanjang penularan pandemik COVID-19.

Justeru, Zii Jia harus segera bangkit mengambil peluang ini dan tidak boleh lagi cepat berpuas hati dengan pencapaiannya sebelum ini.

Ketika di bawah kendalian Misbun yang terkenal dengan ketegasannya, Zii Jia diterapkan segala modul latihan, falsafah, nasihat berkaitan disiplin, tunjuk ajar serta kepayahan untuk menjadi jaguh.

Apabila sampai ke peringkat dunia, pemikiran seharusnya untuk menang sepanjang masa dan tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Lupakan segala yang boleh mengganggu konsentrasi di gelanggang.

Ubah cara pemikiran kerana pemikiran mampu mempengaruhi persiapan, prestasi serta corak permainan.

Apa pun, hanya BAM lebih arif dalam menentukan hala tuju Zii Jia dalam misi kembali meningkatkan reputasinya di pentas kompetitif.

BAM menerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan tentunya mempunyai rumusan sama ada jurulatih perlu ditukar ataupun tidak.

Reaksi Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, yang enggan menekan butang panik sebaliknya meminta diberikan sedikit ruang kepada Zii Jia membetulkan keadaan dan menganggap semua pemain handalan dunia juga pernah melalui proses itu dalam karier mereka perlu dihormati.

Pada masa sama, peminat sukan badminton tanah air tidak seharusnya meletakkan Zii Jia sebagai sandaran menggantikan Chong Wei yang sudah menjadi ikon yang tiada siapapun boleh menggantikan tempatnya.

Berdasarkan pencapaian semasa, peminat diharap tidak terlalu meletakkan harapan tinggi untuk Zii Jia mencipta kejutan luar biasa dalam tempoh terdekat, apatah lagi meletakkan harapan menggunung bagi merangkul pingat emas pertama negara pada temasya berprestij dunia iaitu Sukan Olimpik Tokyo yang dijangka berlangsung Julai nanti.

Mohd Salleh Osman

Putrajaya

Berita Harian X