Khamis, 28 Januari 2021 | 11:01am
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Penubuhan unit khas pelajar luar kampus tepat

Kebajikan mahasiswa universiti, khususnya dalam mendepani pandemik COVID-19 perlu diambil perhatian serius semua pihak.

Seringkali pelajar menginap dalam kampus menikmati pelbagai kemudahan serta mendapat perhatian sewajarnya daripada pengurusan universiti. Namun, bagi yang menginap luar kampus, aspek kebajikan mereka perlu juga diberi perhatian sewajarnya dan pemantauan khusus serta teratur oleh setiap universiti.

Langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan semua universiti awam (UA) mewujudkan portfolio khas yang menguruskan hal ehwal pelajar luar kampus sangat baik dan tepat pada masanya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata melalui kerjasama antara KPT, UA dan Majlis Perumahan Universiti Malaysia (MAPUM), inisiatif ini dirangka memastikan unit atau portfolio khusus menguruskan isu pengurusan rumah sewa siswa itu ditubuhkan di setiap universiti.

Cadangan itu antara 11 agenda diusulkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun lalu, bertujuan memartabat serta memperkasakan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).

Persetujuan kerajaan perlu direalisasikan segera, namun harus mengambil kira kesesuaian kebolehlaksanaan terhadap cadangan itu. Setiap universiti pastinya mempunyai unit yang memantau pelajar luar kampus masing-masing, namun dengan arahan khusus KPT, pastinya ia menggambarkan keseriusan kerajaan dalam memastikan kebajikan pelajar luar kampus di semua universiti terjamin dan terpelihara.

Aspek pemantauan dan kecekapan pengurusan, khususnya pada peringkat bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di setiap universiti boleh diselaraskan serta dilaporkan secara berkala dan sistematik pada peringkat kementerian.

Melalui sistem pemantauan diselaraskan ini, pelaksanaannya akan menjadi lebih holistik serta mampu mencapai tujuan digariskan.

Sebuah garis panduan komprehensif perlu dirangka bagi memastikan kecekapan tadbir urus hal ehwal pelajar luar kampus dapat ditingkatkan serta pelaksanaannya nanti merangkumi seluruh aspek keperluan pelajar luar kampus seperti kebajikan, kewangan, kemudahan dan akses pengajian, keselamatan dan juga sosial.

Cadangan peringkat kementerian melalui langkah proaktif membangunkan Portal Rumah Siswa juga sangat dialu-alukan. Portal itu bakal menyediakan platform yang menghubungkan pelajar sebagai penyewa bersama pemilik premis, mendapatkan khidmat nasihat serta memudah cara proses pencarian bilik atau rumah sewa.

Ini mampu memastikan wujudnya pangkalan data khusus pada peringkat universiti berkaitan lokasi penginapan, kemudahan yang diperoleh, jarak terhadap akses kemudahan universiti serta paling penting aspek keselamatan pelajar luar kampus.

Dalam aspek kebajikan dan kewangan pula, setiap universiti disaran menggerakkan sepenuhnya unit zakat masing-masing untuk memantau dan mengenal pasti pelajar khususnya dalam kategori B40.

Dana zakat setiap universiti melalui wakalah penolong amil IPT khususnya di Selangor mampu membantu pelajar yang memerlukan. Sinergi antara dana zakat dan dana kebajikan pelajar di setiap universiti kaedah terbaik menjaga aspek kebajikan pelajar, khususnya yang menetap luar kampus.

Inisiatif menjaga kebajikan pelajar luar kampus ini perlu segera disambut dan dilaksanakan. Pihak pengurusan universiti melalui HEP pastinya bersedia menambah baik sistem pemantauan sedia ada dengan menaik taraf pemantauan pelajar secara khusus bagi pelajar luar kampus, selaras hasrat murni pihak kementerian untuk menjamin kesejahteraan pelajar di IPT seluruh negara.

Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Berita Harian X