Isnin, 25 Januari 2021 | 10:30am
PKP secara tidak langsung eratkan hubungan kekeluargaan. - Foto hiasan)
PKP secara tidak langsung eratkan hubungan kekeluargaan. - Foto hiasan)

Ambil iktibar setahun COVID-19 menular di Malaysia

Kita kehilangan kebebasan dalam sekelip mata. Mengenang keperitan semasa, ramai menarik nafas panjang dan bertanya, "Bilakah segala kesukaran ini berakhir?" Sinaran dinantikan belum jelas bilakah akan menjelma.

Pada 25 Januari 2020, negara merekodkan kes COVID-19 pertama, ketika itu masih dikenali 2019-nCoV. Kes itu dikaitkan kehadiran warga China memasuki negara melalui Tambak Johor.

Sementara bersimpati krisis kesihatan terburuk dialami rakyat negara itu, berdasarkan pengalaman lalu, ramai beranggapan Malaysia bebas wabak ini.

Tanggapan itu meleset tidak sampai dua bulan. Kes jangkitan meningkat ketara daripada satu angka mencecah dua, tiga dan kini, empat angka dalam tempoh tidak sampai setahun.

Hari ini, kita berhadapan norma baharu yang menjadi indikator kemajuan negara yang sehingga awal tahun lalu, tidak disangkakan sama sekali. Ia kini dihayati, dilalui dan dialami dalam setiap peringkat kehidupan tidak kira sektor dan status sosioekonomi.

Ia memberi impak dahsyat terhadap individu, keluarga, institusi, sektor dan kerajaan. Sudah pasti impaknya akan berterusan beberapa tahun lagi.

Banyak pengajaran dan pengalaman sepanjang 365 hari lalu. Pandemik paling buruk membawa kepada kepentingan menitikberatkan gaya hidup sihat dan kebersihan sepanjang masa.

Kementerian Kesihatan (KKM) menekankan kepentingan aspek ini sejak beberapa tahun sebelum COVID-19 menjelma, tetapi tidak mendapat sambutan pematuhan menyeluruh.

Wabak ini menyegarkan semula kepentingan mengamalkan kebersihan sepanjang masa.

Badainya turut menggugat punca pendapatan rakyat. Ada hilang pekerjaan dan terpaksa bercuti tanpa gaji. Ada syarikat gulung tikar dan berada di ambang muflis.

Ramai menjadi miskin dalam era moden. Ada berhadapan kemerosotan simpanan, hanya tinggal harapan - sinaran akan tiba dalam waktu terdekat.

Siri bantuan kerajaan menerusi pakej rangsangan, selain sokongan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedikit sebanyak mengubati detik sukar.

Jika COVID-19 membawa 70 peratus impak negatif, pandemik ini juga mewujudkan peluang baharu menjana rezeki.

Beberapa tahun sebelum berhadapan COVID-19, dunia dikejutkan impak disruptif teknologi yang seumpama syiling dua wajah - positif dan negatif.

Jumlah rakyat berhadapan masalah emosi dan psikologi tidak harus dipandang remeh. Kehadiran COVID-19 menggugat keharmonian hidup. Sebahagian tidak dapat berhadapan tekanan hidup akibat COVID-19.

Satu aspek positif, COVID-19 membawa kepada kesatuan rakyat menangani bersama cabaran terbaru ini. Kita tidak menghadapi krisis besar selepas 13 Mei 1969 dan keganasan komunis.

Meskipun wujud perbezaan politik, rakyat terus memperlihatkan komitmen dan iltizam. Namun, tidak dapat dinafikan masih banyak perlu dilakukan. Rakyat perlu mempertimbangkan tahap pematuhan tinggi dan saling bantu-membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang bukan sahaja harus diutamakan dalam memerangi COVID-19, bahkan setiap aspek kehidupan lain.

Krisis boleh datang dalam apa jua bentuk. Setiap warga perlu bertekad mematuhi setiap perundangan bagi melahirkan negara maju dalam semua segi termasuk memiliki disiplin, etika dan integriti tinggi.

COVID-19 juga membawa kepada keperluan bersiap sedia menghadapi krisis besar pada masa akan datang, di samping memperkasakan strategi kemudahan awam khususnya dalam sektor kesihatan di seluruh negara, terutama di pedalaman.

Kini masa untuk melihat semula kerangka strategi keseluruhan infrastruktur, dasar dan program sebagai kesiapsiagaan memperkasakan norma baharu kehidupan.

Hikmah di sebalik COVID-19 ramai mengakui mereka mula menghargai erti kehidupan berkualiti. Hidup ini satu ekosistem. Kita tidak hidup tanpa hubungan dan tidak boleh mengetepikan kepentingan kebergantungan dan perkongsian bermakna.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang boleh dilihat sebagai bentuk 'berkurung di rumah' bersifat sementara, mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ramai mula sedar nilai ini meskipun penjarakan fizikal memisahkan kita.

Sekiranya pandemik selesema 1918 atau Spanish Flu mengubah wajah kehidupan dunia lebih seabad lalu, COVID-19 juga membawa perubahan ketara. Semoga pengalaman dan pengajaran membawa kepada kehidupan lebih baik.

Ketika kita melampaui batasan jarak sosial dan memasuki dunia pasca COVID-19, diharap setiap individu akan mengambil pengajaran baharu.

Kita akan kembali merasai kebebasan normal dalam waktu terdekat jika semua sanggup berkorban, iaitu mematuhi SOP dengan ketat, penuh berdisiplin dan komitmen.

G Manimaran,
Kuala Lumpur

Berita Harian X