Rabu, 11 November 2020 | 11:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Lindungi rantaian makanan jamin kelangsungan bekalan

MAKANAN ialah keperluan asasi setiap kejadian. Akses makanan mencukupi, dari sudut kuantiti dan kualiti membolehkan individu menjalankan fungsi dalam kehidupannya secara optimum.

Kegagalan memenuhi keperluan ini, boleh memberi kesan negatif terhadap individu, masyarakat dan negara.

Sekitar 2018, saya menjalankan kajian mengenai sekuriti makanan di Kedah dan Perlis. Saya cuba memahami apa yang dilakukan sekiranya berlaku sesuatu menyebabkan bekalan makanan putus, terutama bagi keluarga berpendapatan rendah.

Ia hanya kajian kecil yang saya menemu bual beberapa pekerja rencam, pelajar sekolah, pekerja pembersihan, peniaga kedai runcit, suri rumah dan pegawai keselamatan. Setiap mereka mempunyai cerita mengenai makanan.

Ada yang pernah kurangkan makan apabila ketua keluarga hilang punca pendapatan. Ada mempunyai beberapa ayam untuk membekalkan mereka dengan telur dan menanam jagung untuk dijual.

Ada memilih untuk membuat pembelian barang dapur pada hari tertentu sahaja apabila ada tawaran diskaun. Ada yang makan mi segera.

Bagi pelajar keluarga berpendapatan rendah, makanan asrama lazat dan cukup lengkap, diberikan mengikut jadual tetap. Enam kali sehari itu adalah nikmat tidak dapat dirasai di rumah.

Di utara, kami menggunakan terma 'perkin' yang bermaksud sedaya-upaya mencuba untuk berjimat. Di tali air, sekiranya keadaan cuaca mengizinkan, ramai mengail ikan.

Sebahagian penduduk luar bandar, meskipun berpendapatan rendah, mempunyai sumber seperti tanah untuk diusahakan, juga ulam berdekatan. Ini mekanisma daya tindak (coping mechanism) mereka untuk menghadapi kekangan untuk mendapatkan makanan diperlukan.

Mekanisma daya tindak ini bergantung kepada sumber tersedia kepada isi rumah. Sekiranya ketidakjaminan makanan semakin genting tanpa sumber alternatif untuk memperoleh akses makanan, mereka akan beralih kepada pilihan lain seperti mengurangkan kekerapan makan, saiz hidangan dan mengutamakan makanan lebih murah.

2018 ialah zaman sebelum pandemik COVID-19 melanda. Tahun getir dan menjadi saksi pertukaran kerajaan. Tahun sama, laporan Kanak-Kanak Pinggiran dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengenai kanak-kanak di Projek Perumahan Rakyat mengalami kekurangan zat dan terbantut.

Satu keadaan sungguh ironi bagi negara yang sudah berusia lebih 60 tahun. Saya belum berpeluang melakukan kajian berkenaan mekanisma daya tindak di kawasan bandar, tetapi realiti mereka sudah cukup menekan.

Di bandar tiada tali air untuk mengail dan tiada tanah untuk membela ayam atau menanam sayur. Sekiranya mereka mempunyai dua pekerjaan, bilakah masa sesuai untuk bercucuk tanam? Dan tidakkah sepatutnya mata pencarian pekerjaan mereka itu membolehkan mereka mendapatkan makanan mencukupi?

Tahun ini, ramai terpaksa berkurung di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Adalah satu kelebihan sekiranya kita dapat bekerja dari rumah (BDR) tanpa memikirkan persoalan kelangsungan mata pencarian.

Ramai juga menjadi pekerja ekonomi gig sebagai penghantar barang dan pesanan. Laporan Families on the Edge oleh UNICEF sejurus berakhirnya PKP pada Jun lalu menunjukkan golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar menerima kesan langsung PKP, sekali gus ketidakjaminan makanan semakin meruncing.

Kajian ini mendapati ada informan kajian terpaksa menggantikan hidangan makanan utama dengan mi segera.

Tidak dinafikan, kesan ekonomi daripada pendemik ini adalah tidak mengira sesiapa, sama ada rakyat berpendapatan sederhana, peniaga atau sesiapa saja menghadapi boleh risiko seperti kehilangan pekerjaan ketika PKP.

Malah, mereka juga berdepan risiko sekiranya kesihatan mental terjejas.

Sekiranya isi rumah mempunyai akses terhadap sumber tanah misalannya, mekanisme tindak balas boleh menjadi pilihan yang dapat membina ketahanan berdepan ketidakjaminan makanan.

Namun, ini bukanlah sumber tersedia bagi sebahagian isi rumah di negara ini. Di sini pentingnya inisiatif seperti kebun komuniti di kawasan PPR.

Inisiatif individu untuk bercucuk tanam di kawasan tanah terbiar atau guerilla gardening perlu diberikan kelonggaran oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Begitu juga inisiatif pertubuhan masyarakat madani seperti Dapur Jalanan yang memberi tumpuan kepada gelandangan. Bantuan kewangan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan zakat juga berperanan untuk merancakkan ekonomi peringkat bawah.

Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X