Selasa, 9 Jun 2020 | 11:46am
Pendapat peluang pekerjaan graduan STEM adalah banyak di dalam negara ialah satu mitos. - Foto hiasan
Pendapat peluang pekerjaan graduan STEM adalah banyak di dalam negara ialah satu mitos. - Foto hiasan

Perbetul mitos kerjaya pelajar STEM lebih terjamin

PENULIS tertarik dengan berita pendidikan diterbitkan oleh BH Online pada 29 Mei lalu bertajuk 'Hanya 19 peratus pilihan aliran sains.' Berita ini secara umum melaporkan kehilangan minat generasi muda memilih subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan menyeru supaya pelbagai pihak menggalakkan anak muda meminati bidang itu.

Pada pendapat penulis, program galakan sebegini harus tidak melampaui batas dan tidak berlebihan, terutama memberi gambaran waktu pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) dan masa depan STEM yang terlalu positif.

Pertama, pendapat peluang pekerjaan graduan STEM adalah banyak di dalam negara ialah satu mitos. Graduan STEM yang tidak berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang STEM juga ramai.

Walaupun pelajar STEM sering dilihat lebih pintar daripada pelajar sastera, tidak kurang juga pendapat menyatakan graduan sastera mempunyai peluang lebih tinggi memegang jawatan pengurusan atasan dalam realiti sebenar dunia pekerjaan.

Kedua, kos pengajian lebih tinggi dengan skim gaji kurang menarik bagi kebanyakan graduan STEM. Rata-rata ibu bapa ditemui masih berpendapat skim gaji graduan aliran sastera seperti akauntan, pengurus perniagaan, pegawai bank, pemasaran dan peguam lebih lumayan daripada graduan aliran STEM, walaupun pendapat ini mungkin tidak berapa tepat.

Jadi, pendapat sebegini akan menyebabkan ibu bapa berasa lebih berbaloi untuk menggalakkan anak mereka menceburi bidang sastera. Lebih-lebih lagi graduan STEM acap kali perlu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi memahirkan diri dalam bidang berkenaan.

Sesetengah kerjaya STEM sebenarnya tidak setimpal dengan usaha, masa dan kos yang dicurahkan. Dengan ini, bagaimanakah kita hendak mengharapkan ibu bapa boleh menggalakkan anak mereka meminati STEM?

Seterusnya, isu ketampakan potensi kerjaya aliran STEM yang kurang baik. Sebilangan besar kerjaya graduan aliran STEM pertama adalah menjadi penolong pegawai penyelidik di bawah pembiayaan dana pembangunan dan penyelidikan.

Namun, peruntukan pembangunan modal insan sebilangan dana penyelidikan pada masa kini sudah menguncup. Umpamanya, peruntukan Dana Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) memberi peruntukan pembangunan modal insan dengan bayaran RM1800 sebulan pada 2004.

Sebaliknya, kini peruntukan modal insan bagi Dana Rangkaian Penyelidikan Awam Swasta (PPRN) RM1500 sebulan dan Dana FRGS-RACER (RM1,000/bulan) jauh lebih rendah, walaupun kos sara hidup semakin meningkat.

Bagaimanakah peruntukan pembangunan modal insan sebegini boleh memberi ketampakan potensi kerjaya aliran STEM? Bagaimanakah pensyarah STEM di IPT hendak menyaran pelajar untuk menceburi bidang STEM yang dikatakan akan berkembang pesat dan mempunyai peluang kerjaya pada masa hadapan cerah?

Menyedar hakikat terbabit, galakan supaya lebih ramai pelajar meminati STEM wajar dilakukan secara berpada-pada, walaupun dalam proses mempromosi bidang STEM yang mempunyai kebolehpasaran tinggi. Pemberian harapan seperti pelajar STEM akan mempunyai masa depan cerah, mempunyai peluang kerjaya dan pulangan pendapatan yang tinggi perlu dikurangkan.

Apatah lagi apabila graduan tidak mempunyai rezeki bekerja dalam bidang STEM yang 'dipilihkan' ketika menuntut ilmu di IPT.

Dr Eddie Tan Ti Tjih,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah

Berita Harian X