Selasa, 22 November 2022 | 12:05pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Penjajaran baharu buka potensi dominasi politik malar segar

Senario Parlimen Tergantung atau Hung Parliament menyusul Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hingga membawa kepada penjajaran baharu politik Malaysia sebenarnya tidak boleh dipisahkan dengan konteks peristiwa dalam tempoh lima tahun tahun pasca-PRU14. Ini kerana negara berdepan dua kali fenomena penjajaran politik dan berdepan pertukaran tiga Perdana Menteri.

Bermula Langkah Sheraton menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8, kemudian pertukaran pucuk pimpinan pada Ogos 2021 membawa perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.

Pelbagai situasi dan drama politik berlangsung dengan ketidaksepaduan ideologi dalaman Pakatan Harapan (PH), kebangkitan Muafakat Nasional (MN) dan pembentukan Perikatan Nasional (PN) membabitkan UMNO, BERSATU serta PAS.

Namun, UMNO keluar daripada PN menyebabkan MN terkubur meskipun dalam tempoh kewujudannya, ia dilihat sebagai lambang kesatuan masyarakat Melayu-Islam pasca-PRU14.

Latar belakang politik ini perlu diambil kira untuk melihat sejauh mana pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas PRU15 yang menyaksikan empat gabungan parti besar bertanding, iaitu PH, PN, BN dan Gabungan Tanah Air (GTA) dengan empat calon Perdana Menteri dikemukakan.

PRU15 menyaksikan tokoh besar politik kalah mengejut seperti Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Langkawi; Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) dan Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu), memperlihatkan 'swing' corak undi Melayu apabila PN mendominasi kerusi di beberapa negeri dan Parlimen yang dahulunya dikuasai BN serta PH.

Kesannya, usaha pembentukan kerajaan terbantut apabila tiada gabungan politik mendapat majoriti mudah, 112 kerusi di Dewan Rakyat hingga membawa dua naratif penggabungan besar. Pertama, gabungan antara PH-BN, manakala kedua, lebih cenderung ke arah perpaduan Melayu-Islam, yakni PN-BN yang apapun keputusannya, BN dilihat sebagai king maker.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), gabungan PH-BN di Perak sudah mendapat perkenan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sekali gus berkenan melantik Datuk Seri Saarani Mohamad kembali menjadi Menteri Besar.

Perak mendahului keputusan nasional apabila kedua-dua parti mencapai konsensus membentuk gabungan agar struktur kerajaan negeri dapat dibentuk dalam kadar segera dan bakal diikuti Pahang. Bagaimanapun timbul persoalan, apakah gabungan ini dibentuk atas dasar survival UMNO atau Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu sendiri?

Beberapa perkara kritikal perlu dilihat sekiranya kerjasama di peringkat nasional antara PH-BN terjadi. Pertama, dari sudut survival atau kelangsungan UMNO, gabungan dengan PH adalah paling kurang tekanan dan mudarat untuk UMNO/BN.

Ada beberapa sebab, antaranya proses pembentukan kuasa lebih mudah memandangkan tidak banyak parti terbabit. Jajaran kuasa antara PH-BN sebenarnya tidak begitu kuat bertembung berbanding penyertaan BN ke dalam PN. Ini kerana kewujudan parti politik dalam gabungan PN lebih banyak menyebabkan pertembungan hebat berlaku di dalamnya.

Penimbang tara kepelbagaian 

Dari sudut lain, kesediaan UMNO/BN membentuk penjajaran baharu mungkin dicetuskan dengan perkembangan politik Malaysia yang menyaksikan tsunami pengundi Melayu-Islam termasuk pengundi muda dalam PRU15.

Penolakan terhadap UMNO/BN adalah petanda mereka perlu bersedia melakukan penjajaran baharu yang boleh dilihat menerusi penggabungan bakal berlaku. Pada masa sama, kekalahan UMNO/BN juga dilihat sebagai protes pengundi Melayu-Islam terhadap tindakan Ahmad Zahid menimbulkan naratif survival politik beliau.

Dari sudut jangka panjang, ia sebenarnya menguntungkan UMNO/BN memandangkan mereka boleh berperanan sebagai penimbang tara kepelbagaian dalam PH yang sinonim sebelum ini dengan dominasi DAP. Bagaimanapun DAP yang kini di bawah kelolaan baharu dilihat lebih bersifat moderat namun masih mengundang 'dilema keselamatan etnik' terutama selepas apa terjadi sewaktu 22 bulan pemerintahan PH pasca-PRU14.

Timbul juga persoalan, bagaimana dengan kedudukan parti komponen BN seperti MCA memandangkan DAP didominasi Cina sudah lama di dalamnya. Bagaimanapun, PH menafikan dakwaan itu dan kekal dengan fokus yakni untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersifat terangkum, stabil dan mengutamakan pembangunan negara serta masyarakat.

Kedua, sekiranya gabungan PH-BN direalisasikan, antara perkara mustahak perlu ditumpukan ialah prestasi enam bulan pertama kerajaan di bawah gabungan ini. Sudah semestinya, pelaksanaan manifesto kedua-dua gabungan parti akan dijadikan sandaran utama kritikan oleh kumpulan pembangkang dan paling utama rakyat sebagai 'pemerhati dan penilai' (watchdog). Janji dibentangkan dalam kedua-kedua manifesto boleh dilaksanakan dan dicapai dengan segera wajib dilakukan.

Manifesto seperti pemotongan gaji Perdana Menteri dan menteri pastinya akan menjadi tumpuan. Pembentukan saiz Kabinet lebih kecil juga akan dinilai - lantikan Jemaah Menteri berteraskan prinsip 'technocratic government' perlu dilaksanakan bagi memelihara prinsip ketelusan dan integriti dalam dasar pembangunan negara.

Cabaran memulihkan ekonomi negara dan pelan mendepani 'ribut ekonomi' tahun depan juga akan menjadi kayu ukur buat gabungan ini memandangkan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengemudi negara sebagai Perdana Menteri masih belum teruji. Jika gagal dalam menguruskan hal sedemikian, mungkin penggal ini sahaja mandat akan diberikan dan berpotensi tidak akan dipilih dalam PRU akan datang.

Sekiranya gabungan ini dibentuk, Malaysia berkemungkinan akan mengalami transisi baik dari sudut latar politik negara. Antaranya, kita bakal menuju dominasi baharu politik baharu lebih malar dan segar, tidak didominasi politik perkauman, menjunjung tinggi prinsip ketertinggian undang-undang dalam demokrasi, memacu kepada amalan ketelusan, akauntabiliti dan integriti serta pembangunan bersifat inklusif mengambil kira peranan semua kaum, segmentasi umur dan kelas sosial.

Dalam erti kata lain, potensi pembinaan naratif baharu politik Malaysia bakal membawa Malaysia terkehadapan sekiranya berjaya, tetapi harus diingat, ia akan memberikan mimpi ngeri seandainya gagal.

Paling diimpikan, pastinya soal merealisasikan kembali konsep bangsa Malaysia seperti tenggelam disebabkan politik perkauman begitu mencengkam masyarakat di negara ini. Walaupun Malaysia terkenal dengan prinsip politik perkauman bersifat ketegangan stabil (stable tension), dalam usaha merealisasikan integrasi nasional dan membina bangsa idaman yakni 'bangsa Malaysia' kita harus berani meletakkan diri dalam kesediaan untuk mencapai matlamat ini.

Melalui penjajaran baharu ini, kita berpotensi untuk mencapainya.

Pujangga Rom terkenal, Cicero pernah berkata, 'tiada kawan dan musuh sebenar dalam politik,' justeru, dalam situasi negara kita sekarang, semacam ada kebenaran di dalam kata-katanya bahkan kemungkinan juga penggabungan PH-BN mampu untuk tidak berlaku. Ini kerana dalam politik lebih-lebih lagi di Malaysia, apa-apa sahaja boleh terjadi.

Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub dan Felo Penyelidik Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF)

Berita Harian X