Sabtu, 23 Julai 2022 | 12:35pm
Bebas bersuara bukan bermakna boleh bercakap apa sahaja yang disukai. Orang bersuara mungkin menimbulkan kesan ke atas orang lain dari sudut maruah, kehormatan dan harga diri. - Foto hiasan
Bebas bersuara bukan bermakna boleh bercakap apa sahaja yang disukai. Orang bersuara mungkin menimbulkan kesan ke atas orang lain dari sudut maruah, kehormatan dan harga diri. - Foto hiasan

Perluas skop Akta Hasutan hukum penghina agama cetuskan konflik

PERBUATAN menghina agama adalah tindakan keji dan boleh menjejaskan ketenteraman hidup bermasyarakat. Akhir-akhir ini kita didedahkan banyak kes penghinaan agama disebarkan melalui media sosial. Sebahagiannya dikenakan tindakan dan melalui proses siasatan dan pendakwaan.

Soalnya, mengapakah perbuatan sangat buruk itu kini berleluasa? Mengapakah pelaku tergamak melakukan perbuatan terkutuk seperti ini? Adakah masyarakat kita sudah hilang rasa hormat antara satu sama lain? Apakah undang-undang dan penguatkuasaan sedia ada tidak cukup berkesan cetuskan ketakutan kepada mereka?

Menghina agama adalah bentuk penghinaan paling dahsyat. Agama ialah paksi kehidupan manusia dan mengajar keyakinan, kecintaan, kepatuhan serta kesetiaan kepada Tuhan.

Agama memberikan kedamaian kepada jiwa dan keamanan kepada masyarakat. Hubungan agama amat dekat kepada manusia kerana ia berkaitan tujuan kewujudan dan matlamat hidup di dunia ini. Atas sebab itulah, perbuatan menghina agama adalah tindakan tidak boleh diterima masyarakat.

Kesalahan menghina agama lebih berat berbanding menghina manusia atau kaum dan negara. Kecintaan manusia kepada Maha Pencipta kebiasaannya lebih dekat berbanding kecintaan kepada negara, kaum atau bangsa.

Sanggup berkorban demi agama

Bahkan, perasaan kasih kepada Tuhan lebih tinggi berbanding cinta kepada diri sendiri atau manusia lain. Ramai sanggup berkorban apa sahaja demi agama. Oleh itu, amat tidak wajar penghinaan agama dianggap perkara kecil dan dipandang ringan.

Apabila seseorang penganut agama menghina agama orang lain, ia perbuatan jahat yang mencemarkan kesucian agama lain dan boleh mendedahkan agamanya menjadi bahan penghinaan balas.

Atas sebab itulah menghina agama lain adalah salah. Walaupun sesuatu agama kelihatan amat berbeza, pelik dan tidak rasional menurut kaca mata penganut agama lain, ia bukan alasan membuat kenyataan mengherdik, menyindir, mengkritik atau menghina agama lain secara terbuka.

Menghina Tuhan diyakini agama orang lain, ibarat menghina Tuhan sendiri kerana perbuatan menghina itu membuka jalan kepada penghinaan balas. Prinsip ini amat penting untuk memastikan keharmonian bermasyarakat.

Bagi penghinaan agama sendiri, ia tindakan menjadi tamparan hebat kepada penganut agama sama. Ia dianggap bentuk pengkhianatan yang boleh menimbulkan kemarahan dan kebencian.

Di Eropah, undang-undang melarang tindakan menghina agama atau disebut anti-blasphemy laws pernah berkuat kuasa di beberapa negara. Mutakhir ini, undang-undang begini mula dihapuskan kononnya atas dasar kebebasan bersuara.

Sebenarnya, kebebasan atau hak asasi bukan alasan untuk menghina agama. Dalam konteks Malaysia, memang Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat Malaysia, namun ia tertakluk kepada batas ditentukan undang-undang bagi menjamin ketenteraman awam, moral dan kepentingan umum.

Bebas bersuara bukan bermakna boleh bercakap apa sahaja yang disukai. Orang bersuara mungkin menimbulkan kesan ke atas orang lain dari sudut maruah, kehormatan dan harga diri.

Disebabkan terlalu dekat dengan manusia, perbuatan menghina agama adalah bentuk pencerobohan terhadap agama, akal dan maruah diri manusia. Dari sudut ketenteraman awam pula, tindakan menghina agama boleh mendorong kepada pergaduhan dalam masyarakat.

Bagi penghinaan terhadap agama dianuti penganut agama berbeza, ia boleh menimbulkan tindakan balas boleh membawa kepada kesan berantai, seterusnya mencetuskan konflik agama.

Undang-undang melarang penghinaan agama penting bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Buat masa ini perbuatan menghina agama tertakluk kepada beberapa kawalan undang-undang di Malaysia. Pertama, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan menyebut perkataan atau melakukan perbuatan melukakan perasaan agama seseorang tertakluk hukuman penjara setahun dan denda.

Hukuman lebih berat di bawah Kanun Keseksaan adalah di bawah Seksyen 298A, iaitu bagi perbuatan menghina yang boleh mendatang kebencian, menjejaskan keharmonian dan kemudaratan. Ia membawa hukuman penjara dua hingga lima tahun dan denda.

Selain itu, bagi kesalahan dilakukan menggunakan media sosial dan internet, pendakwaan juga boleh dilakukan melalui Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan dalam kalangan orang Islam pula, terdapat undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Enakmen Negeri memperuntukkan hukuman tidak lebih tiga tahun penjara dan denda RM5,000.

Boleh dianggap kesalahan menghasut

Sebenarnya kesalahan menghina agama boleh juga dianggap kesalahan menghasut kerana tindakan itu boleh menjejaskan ketenteraman awam. Dalam Akta Hasutan 1948 (Akta 15) terdapat enam kategori 'kecenderungan menghasut' dan antaranya kecenderungan 'bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk berlainan di Malaysia.'

Skop kecenderungan menghasut ini, termasuk tindakan menghina agama. Undang-undang hasutan dapat memberi kesan menakutkan kepada mereka ingin menimbulkan kegemparan awam melalui penghinaan agama.

Namun, penguatkuasaan Akta Hasutan 1948 kini terhad berikutan moratorium sejak 2018 sesuai dengan Manifesto Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berbalik kepada persoalan awal tadi, adakah undang-undang sedia ada tidak mampu menangani gejala penghinaan terhadap agama? Pada dasarnya peraturan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan ini.

Bagaimanapun, bagi kesalahan serius sehingga berpotensi mencetuskan konflik agama atau kaum, Akta Hasutan 1948 lebih sesuai, manakala tindakan melalui undang-undang jenayah syariah juga sesuai bagi kesalahan kecil membabitkan penganut Islam.

Cabaran utama kini bukanlah dari sudut undang-undang, tetapi dari sudut kecenderungan beberapa pihak bersikap longgar terhadap penghinaan agama, kononnya bagi memberikan kebebasan dan menghormati hak bersuara rakyat.

Kita berharap pentadbiran hari ini memandang serius gejala penghinaan agama dan mengambil tindakan proaktif bagi menghalangnya berleluasa. Proses pendidikan dan kesedaran awam juga penting bagi memastikan masyarakat saling menghormati sensitiviti agama.

Budaya kita bukan seperti elemen liberal Barat memandang enteng kesucian agama. Oleh itu, prinsip kebebasan ala Barat tidak sepatutnya menjadi rujukan dalam menentukan pendekatan keharmonian kaum dan kesejahteraan beragama dalam negara.

Penulis adalah Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM)


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X