Sabtu, 9 Julai 2022 | 12:15pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Berkorban patuhi SOP, elak subvarian COVID-19 mengganas

Banyak negara sudah membuka pintu sempadan masing-masing kepada pelancong luar selepas hampir dua tahun aktiviti pelancongan terutama antarabangsa tersekat akibat pandemik COVID-19, sekali gus menyaksikan pemulihan kembali sektor berkenaan.

Malah, ibadat haji yang pastinya membabitkan perjalanan merentas sempadan sudah bermula semalam apabila kira-kira sejuta jemaah melaksanakan wukuf di Arafah, diikuti rukun haji lain.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan di kebanyakan negara mula mengeluarkan beberapa nasihat perjalanan dan kewaspadaan terhadap kemunculan beberapa varian baharu selepas Delta dan Omicron yang merebak pada akhir tahun lalu.

Keadaan semasa menunjukkan penularan COVID-19 di kebanyakan negara mengalami pelbagai bentuk perubahan sama ada dari segi jumlah kes positif, pengenalan varian baharu atau subvarian coronavirus, selain wujud kebimbangan terhadap tahap transmisi virus.

Kita menyaksikan subvarian BA.1 adalah paling dominan untuk kes dikaitkan Omicron sebelum ini. Saintis juga mengenal pasti subvarian BA.2 menyumbang kepada pertambahan kes sejak awal tahun ini.

Kebimbangan ini ada asasnya kerana didapati tahap transmisi untuk varian ini lebih cepat merebak dan lebih mudah mengurangkan tahap keberkesanan antibodi badan melawan virus itu nanti.

Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri sejak Mac lalu, menjangkakan subvarian BA.2 daripada Omicron akan menjadi dominan di negara ini. Keadaan ini akibat daripada kadar transmisi virus lebih pantas dalam kalangan pesakit dan komuniti.

Ini berdasarkan laporan kes berkaitan subvarian BA.2 didapati meningkat dengan ketara hingga 27 peratus dalam tempoh 1 hingga 17 Mac lalu, berbanding Januari dan Februari masing-masing hanya 0.9 peratus serta 2.7 peratus sebelum ini.

Trend semasa sebegini turut melanda di beberapa negara termasuk Denmark, India dan Nepal. Justeru, KKM akan terus melakukan kajian dan ujian pengamatan, sebagai kaedah pemantauan keadaan semasa COVID-19 di negara ini.

Terkini, Malaysia mengesan tiga penularan COVID-19 membabitkan dua kes varian BA.5 dan satu jangkitan BA.4. Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, kes pertama membabitkan penularan varian berkenaan disahkan di negara ini. Kedua-duanya, iaitu varian BA.4 dan BA.5 dikategorikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai lineages under monitoring varian membimbangkan (VOC-LUM) di bawah varian Omicron.

Afrika Selatan adalah negara pertama melaporkan kemunculan subvarian Omicron, iaitu BA.4 dan BA.5 pada awal tahun ini sebelum ia merebak ke negara lain. Subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 juga tersebar di banyak negara di seluruh dunia termasuk di negara Asia lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina, India, Australia dan New Zealand.

Malah, negara jiran Singapura juga merekodkan tiga penularan tempatan COVID-19 membabitkan dua kes varian BA.4 dan satu jangkitan varian BA.5 dengan ia adalah kes komuniti pertama disahkan sebagai jangkitan varian berkenaan.

Di Indonesia, pakar kesihatan menyarankan negara itu menguatkuasakan sekatan COVID-19 dengan lebih ketat susulan amaran bakal berlaku gelombang penularan varian Omicron pada minggu kedua atau ketiga Julai ini. Indonesia mencatatkan sekurang-kurangnya 143 kes membabitkan Omicron BA.4 dan BA.5 pada minggu lalu.

Menurut data statistik semasa daripada KKM, secara keseluruhan hingga Jun lalu, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan, iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 10 peratus pada minggu epidemiologi (ME) ke-26 2022 (ME 26/2022) berbanding ME 25/2022.

Jumlah kes positif COVID-19 dipantau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan. Walaupun pertambahan kes positif ini masih terkawal, setiap individu perlu mengambil maklum dan prihatin untuk terus mengambil semua langkah pencegahan seperti disarankan kerajaan.

Hampir semua sektor sosial dan ekonomi di negara ini dibuka sepenuhnya untuk mempercepatkan proses pemulihan serta keperluan kehidupan normal, perlu ditekankan kita belum lagi berada di fasa endemik.

Fasa peralihan ke endemik bermaksud penularan penyakit masih aktif di komuniti dan setiap individu dalam masyarakat tetap berisiko dijangkiti lebih-lebih lagi yang mempunyai komorbid lain.

Kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penyakit perlu terus diamalkan setiap individu sama ada di premis pekerjaan, rumah dan ketika melakukan aktiviti sosial. Selain itu, setiap individu layak sangat digalakkan untuk mengambil dos penggalak COVID-19 kerana dos tambahan ini boleh membantu meningkatkan tahap imuniti badan melawan virus terbabit.

Bagaimanapun, sehingga 6 Julai, hanya 49.5 peratus daripada penduduk di negara ini menerima dos penggalak sedangkan kerajaan mempermudahkan pengambilan dos ini untuk semua.

Senario dan angka ini tentunya membimbangkan kerana berdasarkan pemerhatian penulis selepas kerajaan mengumumkan fasa peralihan ke endemik, ada individu tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam bangunan atau pejabat serta tidak lagi mengamalkan penjarakan fizikal.

Sebenarnya, ini memberi ruang virus yang sedia ada dalam komuniti boleh terus merebak. Ada juga individu tidak sihat, batuk atau selesema masih hadir ke tempat ibadat yang kita maklum menambahkan risiko jangkitan terutama golongan dewasa dan berumur.

Justeru, sempena Aidiladha yang sudah pasti akan berlaku aktiviti kunjung-mengunjung sesama jiran dan sanak-saudara, kita perlu menekankan semula kepatuhan kepada SOP pencegahan untuk dititikberatkan semua pihak.

Realitinya, risiko dijangkiti dan kemudaratan akibat COVID-19 masih serius hingga menuntut setiap individu berperanan dalam membantu pihak berkuasa kesihatan untuk sama-sama mengawal penularan pandemik.

Presiden Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan Timbalan Pengarah Institut Kajian, Pembangunan & Inovasi (IRDI), International Medical University (IMU)

Berita Harian X