Isnin, 23 Mei 2022 | 11:24am
Penyakit cacar monyet adalah sejenis jangkitan ‘zoonosis’ disebabkan virus cacar monyet dari kumpulan ‘poxviridae’
Penyakit cacar monyet adalah sejenis jangkitan ‘zoonosis’ disebabkan virus cacar monyet dari kumpulan ‘poxviridae’

Wabak cacar monyet ancaman baharu dunia selepas COVID-19

BERITA antarabangsa sejak beberapa hari lalu melaporkan wabak cacar monyet kini tersebar di beberapa kawasan di Kanada, Amerika Syarikat (AS), beberapa negara Eropah termasuk United Kingdom (UK), Jerman, Perancis dan terkini Australia.

Penyakit cacar monyet adalah sejenis jangkitan 'zoonosis' disebabkan virus cacar monyet dari kumpulan 'poxviridae'. Walaupun ia mengambil nama haiwan monyet, perumah mutlak virus cacar jenis ini sebenarnya masih tidak dapat dipastikan dengan tepat.

Foto hiasan
Foto hiasan

Selain beberapa spesies monyet bertanggungjawab terhadap penularannya, ia juga dikesan dalam haiwan lain seperti tupai tanah dan pokok, tikus Gambia dan tikus belukar (dormice).

Penyakit mula dikesan di Congo

Penyakit cacar monyet mula dikesan di Republik Demokratik Congo pada 1979 selepas seorang kanak-kanak didapati mempunyai gejala menyerupai cacar air (smallpox), namun ujian makmal menunjukkan ia jangkitan disebabkan virus cacar monyet.

Selepas penemuan berkenaan, terdapat kes dikesan, namun terbatas di beberapa negara Afrika sahaja iaitu yang berdekatan seperti Cameroon, Republik Afrika, Gabon, Cote d'Ivoire, Liberia, Nigeria, Sierra Leone dan Sudan.

Wabak dilaporkan di luar Afrika iaitu di benua Amerika dan Eropah baru-baru ini bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku. Ini kerana sepanjang tempoh dari 1990-an dan era 2000 terdapat kes cacar monyet dilaporkan berlaku di luar Afrika.

Namun, apa yang perlu diberikan perhatian untuk wabak terkini yang dilaporkan itu berlaku dalam jumlah atau bilangan agak tinggi daripada yang biasa dilaporkan.

Individu ada kontak dengan monyet

Jangkitan cacar monyet berlaku dalam kalangan individu yang tinggal di persekitaran mempunyai kontak dengan monyet melalui aktiviti domestik, perladangan, pemburuan, deforestasi dan sebagainya, yang mana ia tersebar melalui gigitan haiwan atau sentuhan langsung cecair tubuh dari haiwan atau individu yang dijangkiti.

Bendalir tubuh boleh menular menerusi bendalir daripada lesi kulit berupa ruam 'makulapapular' (vesikel) yang biasanya berisi cecair, atau daripada bahagian lapisan mukosa mulut yang turut mempunyai lesi berkenaan melalui air liur dan kahak.

Tularan juga boleh berlaku melalui darah (melalui gigitan) dan sebarang bendalir tubuh daripada haiwan atau individu dijangkiti. Kumpulan umur terdedah dengan jangkitan ini ialah mereka yang aktif dalam aktiviti harian serta mempunyai potensi kontak rapat dengan haiwan atau dengan kumpulan individu berisiko.

Laporan menyebut mereka dalam kumpulan umur kurang 50 tahun berisiko terhadap jangkitan, manakala sebahagian negara melaporkan terdapat kecenderungan agak tinggi dalam kalangan kanak-kanak berusia 10 tahun.

Jangkitan ditandai demam tinggi, diikuti muncul ruam 'makulapapular' pada kulit, biasanya dalam bentuk vesikel berisi cecair dan majoritinya berlaku pada bahagian muka serta tangan dan kaki.

Penyebaran ruam jarang berada pada bahagian badan. Selain demam dan ruam, individu dijangkiti turut mengalami bengkak bahagian kelenjar limfa, berasa letih, sakit dan kejang otot.

Gejala dimanifestasikan dalam tempoh enam hingga 21 hari selepas mula terdedah pada punca jangkitan. Majoriti dijangkiti mempunyai gejala dan tanda klinikal selama tempoh dua hingga empat minggu.

Kebanyakan mereka pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi melainkan individu tertentu mempunyai masalah sistem pertahanan tubuh lemah.

Kadar kematian akibat jangkitan cacar monyet dicatatkan sekitar tiga hingga enam peratus berbanding cacar air yang merekodkan kadar kematian sehingga 30 peratus.

Kematian akibat cacar monyet biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak, dewasa yang 'terimunokompromi' atau mempunyai masalah komorbid. Ia turut dikaitkan dengan komplikasi organ dalaman iaitu radang di paru-paru dan otak.

Tiada kes dilaporkan di Malaysia

Pada masa ini, tiada kes cacar monyet pernah dilaporkan di Malaysia, oleh itu dalam konteks pencegahan, masyarakat perlu proaktif melaksanakan semua langkah berjaga-jaga, mengelak daripada dijangkiti terutama mereka yang akan membuat perjalanan ke luar negara khasnya ke negara dilaporkan berlakunya wabak.

Dari segi kesihatan awam, rakyat perlu mengelak ke negara berkenaan atau menangguhkan perjalanan yang tidak perlu sehingga keadaan reda.

Vaksin cacar air (smallpox) dilaporkan mempunyai 85 peratus keberkesanan untuk mencegah jangkitan cacar monyet. Bagi perjalanan penting yang tidak dapat ditangguhkan, disyorkan kepada pengembara untuk mendapatkan perlindungan daripada vaksin cacar air berkenaan.

Mereka yang terbabit dalam perjalanan juga perlu mematuhi nasihat menjaga kebersihan tangan dan diri, mengamalkan kebersihan tangan sebelum memegang sebarang permukaan sekitaran serta mengelak daripada individu berkemungkinan berisiko mendapat jangkitan.

Di samping itu, semua garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pengembara yang baru tiba dari negara dilanda wabak cacar monyet perlu dipatuhi. Sebarang gejala perlu dipantau dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

Sebarang isu kesihatan yang mungkin terbabit dengan jangkitan terutama disyaki jangkitan cacar monyet perlu dilaporkan segera supaya tindakan pengasingan dapat dilaksanakan.

Pada masa ini, KKM dilaporkan akan terus melaksanakan pemantauan pintu masuk negara bagi memastikan tiada sebarang ancaman penyakit berkenaan.

Penulis adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam UPM

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X