Selasa, 22 March 2022 | 10:00am
Universiti Putra Malaysia (UPM).
Universiti Putra Malaysia (UPM).

UPM rangka pelbagai inisiatif pastikan warga kampus sejahtera

Fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini sememangnya ditunggu-tunggu banyak pihak selepas dua tahun negara berada dalam fasa pandemik dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Fasa peralihan ini dijangka membolehkan rakyat menjalani kehidupan normal melalui fasa baharu ini.

Sejajar perkembangan ini, kerajaan memutuskan hanya satu SOP kekal dikuatkuasakan dalam fasa peralihan ke endemik berbanding 181 SOP ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebelum ini.

Bagaimanapun, fasa baharu bermula 1 April ini masih dianggap sebagai fasa sementara sebelum negara ke fasa endemik sepenuhnya, tertakluk kepada pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pemakaian pelitup muka misalnya masih diwajibkan di tempat awam. Ini bermakna, kesiapsiagaan rakyat mendepani impak COVID-19 mesti sentiasa pada tahap tinggi kerana aspek kesihatan awam dan keselamatan insan wajib kekal terpelihara.

Tidak dinafikan COVID-19 memberi impak ketara kepada tahap kesejahteraan masyarakat. Hal ini berpunca daripada ketidaksamaan dalam aspek ekonomi dan sosial.

Dalam hal ini, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) bagi 2020 mencatat kemerosotan sebanyak 2.1 peratus kepada 118.3 mata berbanding 120.8 mata pada 2019, berpunca daripada pandemik COVID-19.

Institusi pendidikan tinggi (IPT) khususnya universiti sentiasa dituntut memacu kecemerlangan supaya terus relevan dalam konteks kesohoran institusi dan pembangunan negara.

Namun, ramai kurang menyedari kecemerlangan ini sebenarnya bertitik tolak daripada tahap kesejahteraan warga IPT, sama ada ahli akademik, pentadbir mahu pun pelajar.

Ketika mahu mengejar kecemerlangan organisasi dan memenuhi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) saban tahun, kadang-kadang kita terlupa yang bekerja bagi memastikan kehebatan sesebuah institusi adalah manusia bukannya robot.

Kudrat manusia ada batasnya dan kekuatan emosi mereka boleh terganggu jika persekitaran kerja tidak kondusif. Ada dalam kalangan mereka berjaya mengatasi cabaran bekerja, namun ada yang tidak berjaya mengawalnya sehingga memberi kesan kepada kesejahteraan diri.

Dalam konteks di universiti, warga IPT dituntut bekerja dan memberi perkhidmatan terbaik bersandarkan konsep amanah dan tanggungjawab. Prestasi kerja mereka dinilai dan diukur setiap tahun sama ada cemerlang atau sebaliknya.

Namun, keupayaan mereka sama ada kekuatan fizikal atau kesihatan mental terdedah kepada pelbagai risiko seperti potensi berpenyakit kronik akibat tekanan bekerja berlebihan, gangguan kesihatan mental akibat suasana kerja tidak harmoni dan ekosistem tidak kondusif.

Semua faktor ini boleh menjejaskan prestasi dan kualiti kerja seseorang untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Pada peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Pelan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi diperkenalkan sebagai garis panduan IPT memperkukuhkan aspek kesejahteraan di kampus masing-masing.

Universiti Putra Malaysia (UPM) turut sama prihatin dalam aspek kesejahteraan warganya. Dalam hal ini, UPM memperkenalkan Indeks Kesejahteraan UPM 2021 bagi tujuan mengukur kesejahteraan warga UPM dalam merencanakan program dan inisiatif yang mampu mewujudkan persekitaran kerja lebih kondusif di kampus Serdang dan Bintulu, Sarawak.

Domain penyumbang utama kepada kesejahteraan staf UPM merujuk kepada kecaknaan UPM mengutamakan etika kerja dalam sistem operasi seharian universiti, kebanggaan staf terhadap imej dan reputasi UPM sebagai universiti tersohor dalam dan luar negara.

Ia termasuk keprihatinan pengurusan UPM terhadap kepentingan mewujudkan keseimbangan antara kehidupan keluarga dengan kerja (work-life balance) dalam ekosistem sumber manusia UPM.

Domain yang memerlukan penambahbaikan untuk meningkatkan kesejahteraan warga UPM ialah penambahbaikan ekosistem kerja, peluang pembangunan kerjaya lebih jelas dan meluas serta pengurusan beban kerja secara tersusun dan terancang.

Bagi melonjakkan lagi tahap kesejahteraan warga universiti, beberapa langkah dicadang untuk dilaksanakan. Pertama, bagi peningkatan suasana kerja ahli akademik lebih sejahtera, peraturan kehadiran di universiti boleh ditambah baik.

Dalam hal ini, mereka dibenarkan untuk remote working seperti merakam kehadiran dari luar kampus untuk dua hari dalam seminggu, manakala tiga hari selebihnya perlu hadir bekerja dan merekodkan dalam sistem perakam di universiti.

Kedua, untuk meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan pentadbir dan kumpulan pelaksana, aspek seperti beban tugas, sistem kenaikan pangkat dan kemudahan perumahan untuk kakitangan perlu dilihat semula.

Ketiga, selain memberi penekanan kepada KPI, aspek Petunjuk Amal Utama atau Key Intangible Index (KII) boleh diperkasakan dengan penekanan kepada soal kualiti.

Aspek kualiti seperti nilai integriti, ketekunan dan komitmen terhadap institusi perlu diambil kira dalam mengukur kecemerlangan dan prestasi. Ini akan memberikan keseimbangan kepada KPI.

Keempat, aspek kesejahteraan warga universiti boleh juga ditingkatkan melalui galakan dan promosi gaya hidup sihat.

Dalam aspek ini, universiti boleh menyusun beberapa program dan aktiviti riadah secara berkumpulan di sebelah petang selepas waktu pejabat.

Aspek ini sangat penting kerana hanya warga universiti sihat dan cergas, dapat bekerja dengan baik dan optimum.

Kelima, universiti wajar terus membaja budaya kasih sayang, prihatin dan empati dalam kalangan warganya.

Nilai kemanusiaan tanpa mengira latar belakang menjadi asas kepada pembinaan warga sejahtera di kampus.

Kesejahteraan warga universiti adalah suatu hal sangat penting. Universiti tidak wajar terlalu ghairah mengejar kemasyhuran tanpa melihat perkara asas ini.

Kesejahteraan warga universiti adalah nadi kecemerlangan, al-Falah (kejayaan) dan kelangsungan institusi yang tidak boleh dikompromikan.

Menjadi tanggungjawab kepemimpinan universiti menyediakan ekosistem bekerja kondusif supaya warga universiti boleh menjalani kehidupan selesa bagi melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X