Khamis, 17 March 2022 | 11:30am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pembangunan hartanah wakaf bantu B50 miliki rumah, elak tanah terbiar

WAKAF adalah instrumen kewangan sosial Islam yang mampu berperanan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Namun, sejak beberapa abad lalu, peranan wakaf hanya tertumpu kepada aktiviti keagamaan dan kebajikan sahaja. Apabila seseorang mewakafkan tanah, kebiasaannya dikhususkan, sama ada untuk pembinaan masjid, tanah kubur atau sekolah pondok.

Ia menyebabkan banyak tanah wakaf tidak dapat dimajukan. Ini disebabkan tanah wakaf yang diniatkan untuk pembinaan masjid tidak direalisasikan pihak berkuasa agama kerana masjid sudah wujud berhampiran.

Mengikut kajian Yayasan Waqaf Malaysia, hanya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah wakaf yang wujud di seluruh negara sudah diusahakan.

Pada masa sama, masyarakat Islam di negara kita berdepan dengan isu kos pemilikan rumah yang meningkat saban tahun.

Kini, harga rumah di pasaran tidak sepadan dengan pendapatan diterima setiap bulan. Majoriti golongan B50 tidak mampu mempunyai rumah kediaman sendiri. Justeru, timbul saranan supaya tanah wakaf dimanfaatkan untuk membantu masyarakat memiliki kediaman yang diidamkan.

Sebenarnya, projek perumahan di atas tanah wakaf sudah dilaksanakan di negara ini. Kejayaan pembangunan wakaf Seete Aisah di Seberang Jaya, Pulau Pinang boleh dijadikan model untuk meneroka lebih banyak projek perumahan yang serupa.

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bekerjasama dengan UDA Holdings Bhd untuk membangunkan 27 unit rumah kedai dan 76 unit rumah teres dua tingkat pada 2012.

Berdasarkan kejayaan projek rintis ini, kedua-dua pihak meneruskan kerjasama pembangunan fasa kedua yang akan membina 150 unit kediaman asnaf, 422 unit kondominium dan 35 lot kedai empat tingkat dengan kos RM210 juta.

Terbaru, Wakaf Pulau Pinang juga sedang mengusahakan projek pembangunan perumahan dan lot komersial di Seberang Perai serta Bayan Lepas dengan kos RM170 juta.

Projek perumahan di atas tanah wakaf ini akan menawarkan harga rumah jauh lebih rendah berbanding pasaran semasa. Ini akan memberi peluang kepada masyarakat memiliki kediaman sendiri di lokasi strategik.

Namun, timbul beberapa persoalan dalam kalangan segelintir masyarakat mengenai pelaksanaan projek sebegini di atas tanah wakaf. Bagaimana mungkin rumah yang dibina di atas tanah wakaf dijual kepada pembeli individu?

Terdapat hadis masyhur melarang harta wakaf daripada dijual, diwarisi atau dihadiahkan kepada pihak lain. Bukankah sepatutnya harta wakaf perlu dikekalkan pemilikannya kepada majlis agama Islam negeri (MAIN) selaku pemegang amanah tunggal?

Perkara ini sudah dibahaskan secara mendalam oleh Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang. Sebagai penyelesaian kepada permasalahan ini, kontrak sewaan jangka panjang atau lebih dikenali dengan pegangan pajakan (leasehold) diaplikasikan dalam projek pembangunan hartanah wakaf.

Ini bermakna, pihak MAIN masih kekal sebagai entiti didaftarkan sebagai pemilik unit kediaman berkenaan. Cuma, ia disewakan kepada individu dalam tempoh 99 tahun misalnya.

Dengan kata lain, pemilikan tanah wakaf berkenaan akan kekal di bawah MAIN, namun manfaatnya akan dinikmati penyewa kediaman selama tempoh dipersetujui.

Ini juga tidak menghalang untuk penyewa asal memindahkan manfaat kediaman kepada pihak lain sekiranya mereka tidak mahu lagi tinggal di rumah berkenaan.

Bagaimanapun, model pelaksanaan ini berdepan dengan cabaran pada peringkat permulaannya. Kesukaran dihadapi orang ramai untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi perbankan Islam untuk menyewa secara pegangan pajakan rumah didirikan di atas tanah wakaf.

Bagi kebanyakan institusi perbankan Islam, pembiayaan kepada aset sebegini adalah berisiko tinggi kerana rumah berkenaan tidak boleh dicagarkan.

Sekiranya, individu mendapatkan pembiayaan gagal melunaskan ansuran bulanan, maka bank sebagai pihak pembiaya tidak boleh sewenang-wenangnya melelong rumah wakaf berkenaan.

Setakat hari ini, hanya pihak Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank al-Rajhi menyahut cabaran dengan cara pengurusan risiko mereka tersendiri untuk membantu projek perumahan wakaf.

Diharapkan lebih banyak institusi perbankan Islam bersedia untuk menyediakan pembiayaan akhir supaya projek perumahan di atas tanah wakaf dapat dilaksanakan dengan lebih rancak lagi.

Apakah faedah diterima pihak MAIN daripada pembangunan projek perumahan di atas tanah wakaf? Adakah kerjasama dengan pemaju hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja?

Sebenarnya, pihak MAIN mendapat beberapa keuntungan daripada projek pembangunan hartanah wakaf seumpama ini.

Pertama, nilai hartanah wakaf akan meningkat secara mendadak apabila tanah berkenaan dibangunkan. Tanah wakaf tidak lagi dilihat terbiar dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada masyarakat setempat.

Kedua, kekangan dana yang sering dihadapi pihak MAIN dapat diatasi apabila pemaju membiayai sepenuhnya keseluruhan kos projek pembangunan. Kebiasaannya sejumlah lot komersial akan diserahkan kepada pihak MAIN sebagai peluang untuk menjana pendapatan daripada hasil sewaan premis perniagaan.

Hakikatnya, potensi pembangunan hartanah wakaf untuk membantu pemilikan rumah dalam kalangan masyarakat amat besar. Namun, projek perumahan di atas tanah wakaf belum rancak dilaksanakan.

Sinergi antara pihak MAIN selaku pemegang amanah wakaf dengan pihak pemaju perlu lebih giat digerakkan supaya manfaat hartanah wakaf dapat dioptimumkan.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Waqaf Malaysia

Berita Harian X