Rabu, 9 March 2022 | 11:20am
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media mengenai Op Tapis Siri 2, Sasaran FELDA dan PPRT di IPK Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media mengenai Op Tapis Siri 2, Sasaran FELDA dan PPRT di IPK Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Kaji punca sebenar penyalahgunaan dadah di FELDA, PPRT

BARU-BARU ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menjalankan Operasi Tapis Khas Siri 2 bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah di FELDA dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara pada 23 hingga 25 Februari lalu.

Di bawah kepemimpinan Pengarah JSJN, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, tindakan ini satu usaha perlu dipuji dalam menunjukkan ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas pencegahan anti-dadah di negara ini.

Isu penyalahgunaan dadah bukan satu isu terpencil sebaliknya dibincang dan dibahaskan dengan mendalam oleh ahli akademik. Ketika ini, bekalan dadah memasuki negara adalah satu bentuk ancaman kepada keselamatan nasional.

Kemasukan dadah dari negara jiran terutamanya dari kawasan sempadan utara dan pantai timur Malaysia berlaku dengan pesat disebabkan kedudukan geografi negara yang hampir dengan Segi Tiga Emas, yang menjadi kawasan utama pengeluaran dadah di rantau Asia Tenggara.

Kegiatan penyeludupan dadah tidak dapat dibendung secara habis-habisan walaupun pasukan keselamatan seperti JSJN, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Rejimen Sempadan Tentera Darat Malaysia bertungkus-lumus menyekat kemasukan dadah ke dalam negara.

Masalah penyalahgunaan dadah menjadi isu besar dalam masyarakat. Tambahan pula, berdasarkan Operasi Tapis Khas Siri 2, dapat dilihat masalah penyalahgunaan dadah mendominasi kawasan FELDA dan PPRT.

Persoalan di sini, mengapa kegiatan penyalahgunaan dadah berlaku di kawasan FELDA. Terdapat beberapa faktor mengapa FELDA menjadi 'port' penyalahgunaan dadah antaranya kedudukan FELDA yang terpencil menyebabkan ia menjadi lokasi strategik pengedar menjual dadah kepada penagih.

Penagih dadah di kawasan FELDA sering menjadikan ladang kelapa sawit sebagai 'port' atau lokasi menghisap dadah. Tambahan pula, terdapat kawasan FELDA bersempadan dengan lokasi kemasukan dadah dari luar negara terutamanya berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand seperti di negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Keadaan ini menjadikan masyarakat di kawasan itu lebih terdedah dengan kegiatan penyalahgunaan dadah disebabkan mudah untuk mendapatkan bekalan dadah jika dibandingkan dengan kawasan bandar.

Disamping itu, faktor tekanan ekonomi mendorong individu terbabit menghisap dadah, sama ada menggunakan dadah bagi menghilangkan tekanan perasaan atau menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai satu pekerjaan bagi menjamin sumber pendapatan.

Faktor tahap sosial-ekonomi penduduk yang rendah juga turut menyumbang kepada aktiviti penyalahgunaan dadah dalam masyarakat. Hal ini dapat dibuktikan apabila individu tidak mempunyai pekerjaan terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Keadaan terus membimbangkan apabila kegiatan penyalahgunaan dadah turut membabitkan pelajar sekolah menengah serta pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS.

Terdapat pelajar menggunakan dadah untuk mencari keseronokan bagi menghilangkan tekanan ketika belajar. Pada masa yang sama, dadah juga digunakan sebagai alat berjaga lewat malam untuk mengulang kaji bagi menghadapi peperiksaan.

Oleh yang demikian, usaha dijalankan JSJN Bukit Aman adalah satu inisiatif besar dalam usaha pasukan keselamatan membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di Malaysia.

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut terbabit membantu kerajaan menjalankan program pemulihan penagih dadah di Malaysia.

Bagaimanapun, masyarakat perlu berganding bahu dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di Malaysia. Ibu bapa perlu sentiasa memantau pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak ke kancah penyalahgunaan dadah.

Pada masa yang sama, kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) boleh merangka kursus pengajian anti-dadah kepada pelajar sekolah dan mahasiswa untuk dijadikan silibus mata pelajaran umum.

Inisiatif ini penting kerana kebanyakan masalah penyalahgunaan dadah ketika ini membabitkan pelajar dan belia. Pengenalan silibus anti dadah di sekolah dan universiti dapat mendedahkan mereka bahaya dadah kepada diri, masyarakat dan negara.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Berita Harian X