Ahad, 6 March 2022 | 12:20pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, minggu lalu. Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas 745.93 kilogram dan 283.6 liter pelbagai jenis dadah bernilai RM10.38 juta di penempatan FELDA dan kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam operasi selama tiga hari. - NSTP/Rohanis Shukri
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, minggu lalu. Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas 745.93 kilogram dan 283.6 liter pelbagai jenis dadah bernilai RM10.38 juta di penempatan FELDA dan kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam operasi selama tiga hari. - NSTP/Rohanis Shukri

Dadah sintetik beri cabaran lebih besar, dorong jenayah berat

BERTINDAK luar kawal hingga membawa jenayah membunuh. Demikian situasi membelenggu masyarakat khususnya penagih kesan penyalahgunaan dadah sintetik atau tiruan.

Meskipun perlakuan tidak berperikemanusiaan itu boleh dikatakan bukan datang daripada sifat semula jadi, kesan halusinasi dan delusi akibat pengambilan dadah jenis baharu menjadikan mereka tidak waras serta hilang pertimbangan.

Jika dahulu kesan penyalahgunaan dadah tradisional seperti ganja dan heroin mengakibatkan ketagihan, tidak produktif, selekeh dan berpenyakit, namun trend terkini tidak seumpama itu. Kesannya lebih dahsyat.

Hanya dalam bentuk pil (pil kuda atau yaba); kristal atau hablur (syabu, ice serta batu) dan ekstasi, tetapi implikasinya bukan sekadar gila, malah boleh membawa jenayah berat.

Justeru, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyokong penuh tindakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang dilihat semakin agresif memerangi penawaran dadah dengan mematahkan penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini.

Bukan soal nilai rampasan diutamakan, sebaliknya kesan kemudaratan bahan itu jika terlepas dan disalahgunakan khususnya belia.

Situasi ini benar-benar memberi tekanan kepada banyak pihak baik pihak berkuasa atau masyarakat, malah lebih bahaya kepada institusi keluarga jika ada ahlinya menyalahguna bahan terlarang.

Buktinya, beberapa kes bunuh kebelakangan ini cukup menyedihkan kerana mangsanya ahli keluarga terdekat.

Lebih malang, kesan halusinasi menjerat penagih bertindak di luar kawalan hingga berlaku pembunuhan kejam terhadap ibu sendiri.

Belum dihitung tindakan memukul dan memeras ugut kerana tidak diberi wang untuk mendapatkan bahan itu.

Situasi sedemikian berlaku ekoran dadah sintetik atau tiruan mengandungi 100 peratus bahan kimia itu, bukan sahaja mudah didapati di pasaran atau dibeli dalam talian, malah dijual lebih murah dan boleh dihasilkan, waima di rumah sendiri.

Ini cabaran besar kerajaan dan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK yang bertanggungjawab memerangi penyalahgunaan dadah, sekali gus mencegah masyarakat terjebak dalam penagihan dadah.

Jika penularan penyalahgunaan dadah sintetik tidak segera dibendung, ia dibimbangi akan merosakkan keharmonian Keluarga Malaysia.

Di negara ini, bahan terlarang jenis berkenaan digunakan meluas sejak tiga tahun kebelakangan ini berikutan kesukaran mendapatkan bekalan heroin.

Dadah jenis perangsang terbabit terkenal dalam kalangan penagih baharu yang menyifatkannya 'selamat' tanpa sebarang kesan ketagihan.

Hakikatnya, dadah sintetik memberikan implikasi lebih teruk hingga mengakibatkan kerosakan kekal pada otak menyumbang permasalahan mental dan penggunaan berlebihan boleh membawa maut.

Walaupun AADK berkemampuan memulihkan penagih dadah sintetik ini, cabaran merawat pulih lebih rumit dan tinggi kosnya khususnya individu dalam kategori dual diagnosis.

Melalui Model i-Pulih AADK, individu mengalami masalah penagihan dadah boleh dirawat pulih melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti di 109 fasiliti AADK atau melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi di 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

Model i-Pulih AADK menyediakan program rawatan dan pemulihan merangkumi aspek biologi, psikologi, spiritual serta sosial sesuai keperluan kepulihan seseorang.

Penekanan diberikan untuk membimbing individu berkenaan keluar daripada masalah ketagihan dan menjadi insan berfungsi serta produktif kepada keluarga, masyarakat dan negara.

AADK juga memantau individu tamat menjalani program rawatan dan pemulihan melalui Program After Care Services AADK bagi memastikan mereka terus mendapat bimbingan serta panduan.

Ini dengan menyediakan latihan kemahiran dan vokasional, prapenempatan pekerjaan, jagaan lanjutan, program hijrah serta pembabitan orang siginifikan dan masyarakat setempat bagi membantu proses kepulihan sepanjang hayat.

Memandangkan program rawatan dan pemulihan ini hanya boleh mengurangkan jumlah penagih sedia ada, AADK melaksanakan program pencegahan untuk meningkatkan kesedaran awam serta mendidik masyarakat menjauhi dadah.

Kesedaran awam dan sikap benci dadah akan membendung kes penagihan baharu serta mengurangkan permintaan bahan terlarang.

Melalui Model i-Cegah AADK, tumpuan diberikan untuk mendidik warga Malaysia bahawa 'Dadah Itu Masih Musuh Nombor Satu Negara.'

Oleh itu, Kempen Lebih Baik Cegah AADK turut dijayakan Skuad Antidadah AADK memberikan penekanan mencegah masih lagi pendekatan terbaik dan kos efektif.

Tumpuan pendidikan pencegahan dan kempen kesedaran awam dijalankan melalui program berbentuk omnipresence, outreach, community empowerment, bimbingan dan kaunseling keluarga, murid sekolah dan penuntut pusat pengajian/kemahiran dan masyarakat awam serta Program Tempat Kerja Bebas Dadah di sektor swasta dan awam di seluruh negara.

Kawasan berisiko tinggi turut dikenal pasti di seluruh negara dan usaha diambil menjadikannya bebas ancaman penagihan dadah. Kementerian Dalam Negeri menetapkan sasaran supaya 155 Kawasan Berisiko Tinggi di seluruh negara dipulihkan menjelang 2025.

AADK juga menambah baik proses pengesanan individu terbabit masalah penagihan dadah. Pejabat AADK Daerah membuat pengesanan secara aktif ke atas orang yang disyaki (OYDS) menagih dadah di setiap kampung, mukim, taman dan penempatan.

Tindakan penguatkuasaan melalui Model i-Prihatin AADK akan membabitkan usaha mengesan OYDS bagi membantu mereka menjalani program rawatan dan pemulihan di fasiliti AADK berpandukan undang-undang.

Program Intervensi Awal dan Program Outreach juga dilaksanakan bagi memujuk kumpulan ini mengikuti program rawatan serta pemulihan secara sukarela.

Walaupun diberi kuasa menahan individu disyaki menagih dadah untuk dirujuk ke mahkamah bagi mendapatkan perintah menjalani rawatan dan pemulihan, AADK sebenarnya mempelawa dan menggalakkan individu menjalani program pemulihan di PUSPEN secara sukarela.

Sampai masanya masyarakat dan ahli keluarga lebih terbuka serta menerima kembali individu menjalani program rawatan dan pemulihan penagihan dadah di fasiliti awam serta swasta. Sokongan dan dorongan berterusan akan membantu proses kepulihan individu terbabit.

Kebanyakan kes individu kembali menagih semula (relapse) dikesan AADK berlaku berikutan stigma masyarakat dan penolakan ahli keluarga. Disebabkan berasa tersisih dan dibiarkan bersendirian, mereka memilih jalan menagih dadah semula.

Ahli keluarga dan kepemimpinan masyarakat juga perlu cakna memujuk individu dalam masalah penagihan dadah untuk menjalani rawatan dan pemulihan sama ada di fasiliti AADK, Kementerian Kesihatan atau pusat pemulihan dadah persendirian berdaftar.

Ahli keluarga dan masyarakat juga boleh merujuk kepada perkhidmatan dalam talian AADK melalui Hotline AADK 03-8911 2233 untuk aduan, khidmat nasihat, advokasi, bimbingan dan kaunseling.

Sampai bilakah kita perlu berdepan situasi seumpama ini? Jika tidak dibendung bersama, dibimbangi bahana najis dadah membawa kemudaratan kepada negara.

Ayuh Keluarga Malaysia, marilah bersama menentang Musuh Nombor Satu Negara ini. Lebih Baik Cegah!

Penulis adalah Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)

Berita Harian X