Sabtu, 5 Februari 2022 | 10:00am
Sudah tiba masa kita membina semula sumber serta hasil negara kearah masa depan negara lebih cemerlang.
Sudah tiba masa kita membina semula sumber serta hasil negara kearah masa depan negara lebih cemerlang.

Pembaharuan fiskal lindungi masa depan negara, rakyat

Kita kini di ambang tahun ketiga krisis COVID-19 dan ekonomi sedang menunjukkan tanda menggalakkan tetapi juga membimbangkan. Ekonomi global kini berhadapan ancaman varian baharu COVID-19, peningkatan kadar inflasi, tahap hutang meningkat serta ketidaksamaan agihan pendapatan.

Selain itu, dengan permintaan terpendam mula mereda dan pengurangan sokongan fiskal oleh kerajaan di serata dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia meramalkan pertumbuhan global akan menyederhana dari 5.9 hingga 5.5 peratus pada 2021 kepada 4.4 hingga 4.1 peratus pada 2022.

Namun, berdasarkan petunjuk ekonomi memberangsangkan baru-baru ini, unjuran pertumbuhan Malaysia kekal antara 5.5 hingga 6.5 peratus, didorong Bajet 2022 bersifat mengembang.

Prospek cerah ini turut didorong langkah kerajaan berulang kali meningkatkan usaha dan mengatasi pelbagai rintangan demi membantu negara pada saat paling getir. Secara keseluruhan, kerajaan melaksanakan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion untuk membantu rakyat serta perniagaan, terutama golongan B40 dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Di samping itu, saya berpeluang membentangkan bajet tahunan negara untuk dua tahun berturut-turut dengan peruntukan berjumlah RM322.5 bilion bagi 2021 dan RM332.1 bilion (2022).

Bagaimanapun, ketika negara baru sahaja melabuhkan tirai 2021 dengan sinar cerah susulan kes COVID-19 mula stabil dan ekonomi beransur pulih, kita diuji musibah banjir luar biasa, yang memerlukan bantuan tambahan berjumlah RM2 bilion.

Susulan cabaran pandemik COVID-19 dan musibah banjir, sudah tiba masanya kita membina semula sumber serta hasil negara.

Namun, apakah tindakan susulan terbaik? Mungkin kita harus mulakan dengan bertanya satu soalan mudah, iaitu apakah bentuk tanah air kita mahu anak cucu kita warisi pada masa hadapan?

Jika kita benar-benar prihatin masa hadapan mereka, kita perlu menggubal dasar akan memperkasakan rakyat menjadi makmur, bukannya miskin; diberi peluang, bukannya dihalang dan diperkasa, bukannya dianaktirikan di tanah air sendiri. Kita juga mahu mereka berupaya menikmati keindahan bumi Malaysia, bukannya melarikan diri akibat bencana alam ekoran perubahan iklim.

Bagi menentukan masa depan cerah bagi anak-anak, kita mesti pastikan kemampanan fiskal supaya mereka boleh mewarisi negara bebas daripada hutang-piutang amat membebankan. Pendek kata, kemampanan fiskal negara penting bagi menjayakan inisiatif penyusunan semula dan pembaharuan ekonomi negara.

Walaupun Kementerian Kewangan (MOF) melakukan terbaik bagi memastikan perbelanjaan bajet berhemat, subsidi bersasar, pinjaman bertanggungjawab dan tiada pengurangan ketara bagi perbelanjaan pembangunan, tanggungjawab ini semakin mencabar susulan pandemik COVID-19.

Ini kerana kita perlu mengimbangi hasil dan keperluan perbelanjaan semakin bertambah sejak dua tahun lalu bagi menyokong ekonomi serta golongan rentan Keluarga Malaysia.

Apa akibatnya jika satu lagi wabak melanda negara sebelum kita boleh membina semula sumber kewangan negara dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN)? Adakah kita mempunyai sumber mencukupi untuk mempertahankan pengurusan kesihatan awam kita daripada hampir lumpuh sekali lagi?

Mampukah kita melindungi nyawa dan mata pencarian rakyat serta perniagaan sekiranya ekonomi terpaksa ditutup sekali lagi? Mampukah kita wujudkan jaringan keselamatan untuk golongan B40 dan sektor PMKS tanpa simpanan atau rizab negara mencukupi?

Jelas, kita memerlukan penyelesaian lebih mampan untuk membina semula sumber kewangan negara termasuk tabung KWAN yang RM5 bilion daripadanya digunakan untuk membeli vaksin COVID-19.

Dalam kita menyambut kedatangan Tahun Harimau ini, banyak boleh kita pelajari daripada haiwan zodiak Cina ini. Harimau bersifat gagah dan berani. Daripada perspektif dasar, kita juga mesti mempunyai kekuatan dan keberanian bak haiwan keramat ini demi masa depan anak-anak dan kesejahteraan sosioekonomi negara tercinta.

Sebab itulah MOF memulakan inisiatif pembaharuan fiskal, termasuk membangunkan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) untuk memastikan ruang fiskal yang amat-amat diperlukan.

Kepentingan pembaharuan fiskal ini tidak boleh disangkal dan perlu dilakukan segera untuk memulihkan kesan sosioekonomi terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan isu struktur yang sudah bertapak serta menjadi lebih ketara akibat wabak.

Antara aspek utama MTRS ialah sasaran pendapatan jelas dan sistem cukai lebih saksama serta telus berlandaskan data raya, sejajar amalan global terbaik.

Lebih penting, kita perlu mengimbangi usaha ini dengan prinsip pinjaman dan perbelanjaan berhemat. Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan data ekonomi beransur pulih, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan defisit negara antara 3 hingga 3.5 peratus menjelang hujung 2025 merangkumi pengurusan dua aspek penting kewangan negara, iaitu hutang dan hasil.

Dari segi hasil, kita perlu mengelakkan situasi sebahagian besar pendapatan negara digunakan untuk membayar hutang, contohnya membayar faedah bagi hutang negara. Kita juga perlu sedar lebih banyak kita meminjam hari ini, lebih banyak hutang perlu ditanggung anak dan cucu kita nanti.

FRA dirancang untuk diperkenalkan tahun ini juga kunci strategi MOF untuk meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan fiskal negara. Ini termasuk kajian semula perbelanjaan awam untuk memastikan perbelanjaan lebih berkesan serta melaksanakan pembaharuan institusi dan tadbir urus berterusan.

Semua ini akan menyumbang kepada bajet lebih seimbang dan mampan serta pengurusan risiko fiskal dan hutang berhemat.

September lalu, MOF menerbitkan kertas rundingan berkenaan FRA dan disokong pelbagai pihak. Bagi saya, ini kesedaran bahawa sekiranya usaha menambah baik tadbir urus fiskal tidak dilaksanakan secepat mungkin, negara akan berhadapan kekangan hasil dalam masa terdekat.

Dari segi ketelusan, MOF berulang kali memaklumkan kepada orang ramai mengenai manfaat diterima rakyat dan perniagaan melalui pelbagai pakej bantuan serta rangsangan ekonomi dan bajet tahunan. Ini dilaksanakan melalui laporan mingguan MOF yang mencapai 85 jilid sejak April 2020.

Tahun ini, usaha itu ditingkatkan melalui penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif Bajet 2022.

Malaysia sudah melalui perjalanan amat berliku, maka kita memerlukan pembaharuan fiskal untuk memperkasakan ekonomi untuk memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia. Umpama seekor harimau akan mempertahankan anaknya daripada pemangsa yang menjadi ancaman di hutan, kita harus meneladani keberanian sama untuk melaksanakan pembaharuan fiskal.

Anak dan cucu kita hanya boleh dilindungi daripada kemusnahan kewangan masa depan jika kita bertindak awal berdasarkan dasar betul dilaksanakan penuh tanggungjawab serta berhemat.

Penulis adalah Menteri Kewangan Malaysia

Berita Harian X