Sabtu, 22 Januari 2022 | 12:50pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Perkasa agama, institusi keluarga tangani isu salah guna dadah

NEGARA digemparkan dengan berita penagih dadah memenggal kepala ibu kandung berusia 56 tahun di Kuala Selangor, 15 Januari lalu, setelah gagal mendapatkan wang untuk membeli barang terlarang itu.

Kejadian sebegini menunjukkan betapa besarnya pengaruh dadah ke atas masyarakat ketika ini. Penyalahgunaan dadah dalam sistem masyarakat menjadi ancaman terutama kepada golongan belia yang mudah terpengaruh. Namun, penyalahgunaan dadah tidak mengenal faktor usia kerana sesiapa sahaja boleh terjerat ke kancah itu sekiranya tidak berwaspada dan menjaga diri.

Faktor globalisasi mengubah hidup masyarakat masa kini yang lebih bersifat terbuka, liberal dan bercorakkan gaya hidup Barat menjadikan golongan muda lebih mudah terpengaruh dengan perkara tidak baik bersifat negatif serta tidak bermoral.

Ketika ini, terdapat kes kanak-kanak seawal 8 tahun mula menunjukkan tanda awal terjebak ke kancah penagihan dadah apabila terbabit dengan aktiviti menghisap rokok dan menghidu gam akibat sifat ingin tahu dan faktor pengaruh rakan sebaya. Aktiviti menghisap rokok menjadi permulaan kepada golongan muda untuk terbabit dalam kancah penyalahgunaan dadah.

Penggunaan dadah dalam kalangan belia dan remaja bukanlah asing. Sejak 1980, sudah terdapat kes penyalahgunaan dadah oleh pelajar universiti awam (UA) yang menggunakan dadah sebagai alat penenang perasaan dalam menghadapi kehidupan sibuk di kampus.

Dadah juga digunakan sebagai bahan mengelakkan kepenatan dan mengantuk ketika menjalani kuliah serta persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester, sekali gus menyebabkan berlaku peningkatan jumlah penagih dadah membabitkan pelajar universiti di seluruh negara.

Dalam konteks etnik pula, Statistik Bilangan Penagih Dadah Dikesan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Mengikut Kaum Bagi 2016-2020 menunjukkan bilangan penagih dadah dalam kalangan masyarakat Melayu adalah 102,513 orang; Cina (8,047); India (8,615); Pribumi Sabah (5,218); Pribumi Sarawak (1,058) dan kaum lain, iaitu Punjabi, Siam, Serani serta Orang Asli (939).

Keadaan ini menunjukkan orang Melayu lebih ramai terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah. Berdasarkan maklumat daripada kajian dijalankan AADK, keadaan ini disebabkan beberapa faktor utama seperti pengaruh rakan, perasaan ingin tahu, keseronokan dan tekanan jiwa hingga mudah terjebak dengan jenayah itu. Ia bertambah serius apabila terdapat penjawat awam turut terbabit dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Masalah ketagihan dadah melampau menyebabkan penagih dadah hilang kawalan atau gagal untuk mengawal nafsu diri mereka. Keadaan ini menyebabkan ada dalam kalangan penagih dadah sanggup melakukan kegiatan jenayah seperti mencuri, merompak, menyamun serta dalam sesetengah kes membunuh sebagai jalan mudah mendapatkan sumber kewangan.

Peningkatan jenayah dalam negara membabitkan kegiatan mencuri dan merompak berlaku seiring dengan faktor pertambahan bilangan penagih dadah di negara ini. Pembabitan penagih dadah dalam aktiviti jenayah seperti merompak dan mencuri tidak dapat dipisahkan sebagai cara mendapatkan wang untuk membeli dadah bagi mengurangkan kesan ketagihan dadah dialami mereka.

Penagih dadah mempunyai kecenderungan tinggi untuk terbabit dalam aktiviti jenayah mencuri dan merompak sebagai jalan pintas untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Disebabkan kawalan emosi lemah ketika berada di bawah pengaruh dadah, ia juga menyebabkan berlakunya pergaduhan hingga terjadinya pembunuhan. Kesan ini secara tidak langsung menimbulkan perasaan rasa tidak selamat dalam negara terutama komuniti masyarakat kerana berlakunya jenayah seumpama ini.

Kehancuran institusi kekeluargaan turut berlaku apabila terdapat ahli keluarga terbabit dengan ketagihan dadah. Ini kerana ketagihan dadah berupaya menyebabkan seseorang manusia itu hilang pertimbangan dalam melakukan sesuatu keputusan.

Perubahan emosi penagih dadah mengakibatkan berlakunya ketidaktenteraman dalam sistem kekeluargaan hingga menjadi masalah kerapuhan rumah tangga lalu menyebabkan perceraian. Individu dilanda ketagihan dadah mengalami perubahan emosi tidak stabil menjadikan mereka mudah marah dan panas baran, kemurungan, berhalusinasi, kurang berat badan secara mendadak serta hilang selera makan lantas menyebabkan mereka menyendiri dan mengasingkan diri daripada keluarga.

Kebanyakan daripada masalah kehancuran institusi kekeluargaan di negara ini, berlaku disebabkan penagih dadah disisihkan ibu bapa, adik beradik serta saudara-mara.

Masalah penyalahgunaan dadah juga menyebabkan berlakunya peningkatan kes perceraian. Contohnya, terdapat kes penagih dadah yang sedang dilanda fasa ketagihan memukul isteri untuk mendapatkan wang dan mencuri barang kemas serta duit ahli keluarga kandung.

Kehancuran institusi keluarga turut berlaku disebabkan faktor pengabaian nafkah isteri dan anak-anak memandangkan penagih dadah menghabiskan wang mereka untuk membeli dadah. Keadaan ini menyebabkan isteri terabai dari segi nafkah bertindak dengan memfailkan perceraian. Perceraian rumah tangga membabitkan masalah kewangan kesan dari penagihan dadah menjadi masalah biasa sering berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini.

Statistik dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2019 menunjukkan sebanyak 83 peratus atau 309 kes keganasan rumah tangga dilaporkan berpunca penagihan dadah dalam keluarga. Kajian Victor Issaacs bertajuk Hubungan Antara Penagihan Dadah dengan Keganasan Rumah Tangga pada tahun itu turut membuktikan berlakunya keganasan rumah tangga oleh penagih dadah terhadap pasangan mereka setelah terjebak dengan kancah penyalahgunaan dadah.

Oleh itu, langkah pencegahan perlu dimulakan daripada peringkat awal lagi. Rakyat juga perlu berganding bahu dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah dengan memperkasakan institusi kekeluargaan dan agama.

Di peringkat institusi pendidikan, penerapan budaya 'benci kepada dadah' perlu disemai dengan mendidik generasi muda akan bahayanya dadah kepada negara melalui pengenalan mata pelajaran pencegahan dadah di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Pada masa sama, pihak kerajaan serta masyarakat perlu berganding bahu secara bersama-sama dalam usaha membasmi kegiatan penyeludupan dadah, bagi memastikan negara Malaysia berada dalam keadaan selamat, aman dan sejahtera daripada dihancurkan oleh ancaman dadah pada masa akan datang.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Pengajian Strategi, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Berita Harian X