Selasa, 18 Januari 2022 | 9:30am
Manfaatkan kaitan antara tumbuh-tumbuhan dengan kitaran air untuk meningkatkan kualiti hidup di bandar. - Foto hiasan
Manfaatkan kaitan antara tumbuh-tumbuhan dengan kitaran air untuk meningkatkan kualiti hidup di bandar. - Foto hiasan

Infrastruktur 'biru, hijau' tingkatkan daya tahan bandar

Infrastruktur biru dan hijau menjadi latar belakang utama pembangunan struktur bandar span secara mampan serta berdaya huni. Biru merujuk kepada unsur air seperti sungai, terusan, kolam, tanah lembap, dataran banjir dan kemudahan rawatan air, manakala hijau pula menunjukkan pokok, rumput, taman, padang serta hutan.

Perancangan dan reka bentuk infrastruktur biru serta hijau ini akan mewujudkan struktur alam sekitar cantik yang pasti sangat dihargai masyarakat.

Ia bukan sahaja sebahagian punca kawasan rekreasi awam di bandar, bahkan dapat menampilkan taman hujan yang menjadi penapis semula jadi untuk hujan lebat dan deras.

Manfaat gabungan ini memenuhi nilai interaksi alam sekitar, sosial dan ekonomi bandar sensitif air, sekali gus dapat meminimumkan kerugian jangka pendek serta panjang akibat banjir.

Dalam kejadian banjir di 50 daerah seluruh negara bulan lalu, kerugian dianggar mencecah RM6.5 bilion membabitkan kerosakan kediaman, premis perniagaan, kenderaan, pertanian, pembuatan serta aset awam dan infrastruktur, termasuk RM2 bilion merangkumi kerosakan struktur awam.

Di samping pelaksanaan projek tebatan banjir oleh pihak berwajib, banyak bandar di dunia sudah beralih daripada pertahanan banjir semata-mata kepada konsep ketahanan air lebih besar dengan melaksanakan pendekatan berpusat.

Contohnya, reka bentuk bandar sensitif terhadap air, sistem perparitan mampan, infrastruktur hijau dan konsep bandar span. Pendekatan ini berbeza namun semuanya merangkumi kerangka infrastruktur hijau dan biru di bandar.

Perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar mendorong bandar ke arah penyelesaian infrastruktur biru dan hijau untuk meningkatkan daya tahan iklim serta memulihkan kesihatan ekosistem, seterusnya meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental penduduk.

Takrifan bandar berdaya tahan banjir sebagai kapasiti bandar untuk mengekalkan risiko banjir masa depan pada tahap boleh diterima dengan mencegah kematian dan kecederaan, meminimumkan kerosakan serta gangguan semasa banjir, sekali gus memulihkan segera selepas itu.

Ia juga perlu menguruskan kualiti air dan ekosistem, selain memastikan kesaksamaan sosial serta daya hidup ekonomi, alam sekitar dan budaya masyarakat setempat terjejas.

Infrastruktur biru dan hijau berfungsi baik memerlukan pendekatan bersepadu untuk mewujudkan rangkaian menghalang banjir serta kemarau dan mempunyai kualiti air baik. Ini penting kerana air ialah bahan dinamik menyejat dan mengalir dari permukaan dan larut. Kualiti air bandar mungkin berbeza bergantung kegunaannya.

Di samping itu, aspek utama infrastruktur biru dan hijau ialah kepelbagaian fungsi, khususnya keupayaan menyampaikan pelbagai manfaat alam sekitar, ekonomi dan sosial, termasuk kualiti air lebih baik dalam kawasan yang sama.

Ini bermakna infrastruktur itu memanfaatkan kaitan antara tumbuh-tumbuhan dengan kitaran air untuk memperbaiki keadaan hidup di bandar. Seterusnya, ini meningkatkan kedua-dua pembangunan mampan dan perkhidmatan ekosistem yang berkaitan dengan air serta kehijauan.

Infrastruktur biru dan hijau bukan sahaja meningkatkan daya tahan terhadap iklim ekstrem, bahkan menyediakan ruang untuk manusia serta alam semula jadi berkembang maju pada pelbagai skala.

Banyak bandar di negara maju sensitif kepada air, melaksanakan infrastruktur biru dan hijau daripada lorong hijau ke tanah lembap dibina serta denai pejalan kaki untuk meningkatkan kebolehdiamannya sambil mencipta pelbagai faedah sosial dan alam sekitar.

Melbourne, Australia contohnya, menggunakan infrastruktur biru dan hijau dalam mewujudkan bandar raya lestari sensitif terhadap air, bermula dengan projek perintis Laluan Hijau Anda (Green Your Laneway) pada 2017 untuk memberikan empat lorong perintis pengubahsuaian semula jadi.

Projek ini mengubah jalan raya terkenal menjadi kawasan lebih menarik dan boleh didiami, iaitu dengan gabungan dinding dan bumbung hijau, tangki pengumpulan air hujan serta kotak penanam. Ia bukan sahaja bertindak melalui fungsi semula jadinya, bahkan menjadi daya tarikan kepada penghuni Melbourne kepada kemudahan rekreasi baharu dan mesra alam.

Kesan aplikasi konsep infrastruktur itu di Porltand, Amerika Syarikat (AS) pula dapat mengurangkan kejadian banjir, meningkatkan kualiti air dan menambah habitat lebih baik untuk hidupan air seperti ikan.

Inisiatif ini memperkenalkan projek grey to green yang mengurangkan beban pada sistem infrastruktur paip, sekali gus merendahkan risiko kesan buruk terhadap saluran air bandar. Ia juga mewujudkan projek bioswales atau jalan hijau yang lebih 900 bioswales dibina bagi mengurus dan menjadi tempat untuk aliran air hujan yang deras.

Di Rotterdam, Belanda pula pendekatan infrastruktur biru dan hijau melalui pengekalan infrastruktur sedia ada (dikes, halangan dan pembetung); mewujudkan lebih banyak ruang untuk simpanan air dan memperkenalkan projek bumbung hijau yang juga berfungsi sebagai ejen penyerapan air bandar.

Seperti disenaraikan itu, jelas terdapat banyak kesan dan faedah terhadap pelaksanaan infrastruktur biru dan hijau di bandar sensitif air, antaranya dapat meningkatkan kapasiti untuk mengawal luruan air hujan lebat dan deras yang secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko banjir kilat.

Ia dapat meningkatkan daya tahan bandar sensitif air terhadap potensi berlaku banjir kilat dan perubahan iklim. Malah pada jangka masa panjang, infrastruktur ini boleh diguna sebagai kaedah mengurangkan jumlah air memasuki pembetung, sekali gus dapat menjimatkan kos infrastruktur.

Selain itu, sebagai sistem bersepadu, infrastruktur biru dan hijau dapat menjadi ruang untuk komuniti dan hidupan liar, menyediakan pelbagai manfaat kesihatan mental dan fizikal kepada komuniti, meningkatkan biodiversiti bandar serta tempat perlindungan untuk flora dan fauna bandar.

Oleh itu, infrastruktur ini menyasarkan pengurusan kawasan air dan hijau bandar secara bersepadu dan bekerjasama untuk mencipta semula kitaran air dan kawasan hijau berorientasikan semula jadi untuk membantu menguruskan risiko banjir sambil memberikan pelbagai faedah kepada alam sekitar, masyarakat dan ekonomi setempat.

Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Seni Bina Landskap, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X