Rabu, 14 Julai 2021 | 10:30am

Ahli Parlimen kena sepakat kumpul idea tangani COVID-19

KITA sedar rakyat resah dengan situasi hari ini disebabkan masa yang lama berhadapan COVID-19. Selama 16 bulan kita 'berperang'.

Ramai kehilangan pekerjaan, anak tidak dapat bersekolah dan terpaksa berkurung di rumah. Pada permulaan pandemik, kita tidak menjangkakan ia akan berlarutan.

Realitinya, kita menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi. Ada menghadapi tekanan sosial. Kita juga berhadapan cabaran politik. COVID-19 menyebabkan keruntuhan beberapa sektor ekonomi umpamanya pelancongan.

Suatu masa COVID-19 mula reda, tetapi kini mengganas semula. Lihat sahaja Thailand, Britain dan Sydney, Australia yang kembali kepada lockdown. Kadar jangkitan di Indonesia juga naik berlipat ganda sejak awal Jun.

Keadaan masih mencabar dan sukar diramal dengan tepat. Harapan rakyat dan golongan perniagaan kepada kerajaan terlalu tinggi. Krisis sekarang tidak pernah dialami mana-mana kerajaan sebelum ini.

Apa pun, kerajaan amat prihatin serta berusaha sedaya upaya meringankan beban rakyat dan akan terus buat yang terbaik.

Sejak Mac 2020, sebanyak RM530 bilion diperuntukkan di bawah lapan pakej rangsangan. Daripada jumlah itu, RM83 bilion berbentuk suntikan fiskal oleh kerajaan. Selebihnya moratorium bank, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tanggungjawab utama kerajaan untuk melindungi rakyat. Alhamdulillah, kerajaan negeri juga ada pakej bantuan. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan semua majlis agama Islam negeri, pihak swasta, individu dan korporat turut membantu meringankan beban rakyat.

Bagi kerajaan, paling penting adalah memastikan ada makanan di atas meja semua rakyat. Kerajaan berusaha mempertahankan pekerjaan dan memastikan syarikat dapat meneruskan perniagaan mereka melalui program subsidi upah dan beberapa bantuan lain.

Kerajaan juga mengagihkan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas COVID-19 sebanyak RM4.7 bilion antara Januari hingga Jun. Sebanyak RM5.3 bilion lagi akan diagihkan bermula Julai sehingga Disember ini.

Sejak Mac 2020, lebih 20 juta rakyat dan semua perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat bantuan. Walaupun banyak dibelanjakan, oleh kerana kesan kepada ekonomi cukup besar, mungkin ada rakyat yang terlepas pandang.

Sebenarnya, tidak sepatutnya ada yang tercicir daripada menerima bantuan kerajaan kerana kita mempunyai sistem yang agak baik di akar umbi. Pada peringkat bawah ada penghulu atau ketua kampung, imam, ketua balai polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wakil rakyat yang boleh menjadi tempat rujukan bagi mereka yang memerlukan bantuan.

Malah, bantuan dihulurkan semua pihak membuktikan keprihatinan rakyat terhadap apa yang berlaku sekarang. Inilah semangat kebersamaan kita.

Dalam isu ini, seluruh jentera kerajaan perlu mencari kaedah memastikan mereka yang layak menerima bantuan, tidak tertinggal. JKM perlu menjadi 'mata dan telinga' kerajaan bagi memastikan agihan bantuan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sudah menyeru orang ramai yang berhadapan masalah supaya menghubungi JKM atau pusat khidmat ahli Parlimen berdekatan.

Kita dalam krisis, sedang berperang dan perlu mengambil berat setiap aduan diterima. Kita tidak boleh leka dan membiarkan rakyat tidak mendapat bantuan diperlukan.

Realitinya, kita berhadapan cabaran politik sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga kestabilan negara terganggu.

Demi rakyat dan negara, saya mencadangkan beberapa ahli Parlimen mewakili parti kerajaan dan pembangkang, duduk semeja mengumpul idea bagaimana dasar dan strategi menangani COVID-19 dengan lebih baik.

Ahli Parlimen perlu mengetepikan seketika politik kepartian. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta juga perlu bersama Kerajaan Pusat dan negeri untuk membantu rakyat yang sedang menghadapi krisis ini.

Kementerian dan jabatan perlu lebih responsif terhadap setiap perkembangan berlaku. Kita perlu beri perhatian serius terhadap isu dibangkitkan PMKS, pelabur tempatan dan antarabangsa.

Kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk menjaga negara. Kerajaan juga sentiasa mendengar keluhan rakyat dan mana-mana cadangan munasabah akan dilaksanakan.

Pada masa ini, keutamaan kita adalah vaksinasi. Kadar vaksinasi kini secara purata melebihi 300,000 dos suntikan sehari. Jumlah keseluruhan pemberian vaksin di seluruh negara kini melebihi 11.5 juta dos.

Pada kadar vaksinasi sekarang, dalam tempoh kira-kira enam minggu lagi mungkin kebanyakan negeri dapat melangkah ke Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN). Sekarang pun, lapan negeri sudah beralih ke Fasa Dua.

Semua pihak - kerajaan, pembangkang, swasta dan organisasi masyarakat sivil (CSO) - perlu bersama memastikan krisis yang kita hadapi ini dapat ditangani sebaik mungkin.

Kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan biasa. Kita memerlukan tindakan yang radikal dalam menangani krisis ini.

Kita menaruh harapan tinggi terhadap kemajuan vaksinasi untuk beralih ke Fasa Keempat apabila negara berhasil melepasi 60 peratus kadar vaksinasi populasi pada suku keempat tahun ini.

Kita merancang tetapi, Allah jua menentukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

Berita Harian X