X
Isnin, 12 Julai 2021 | 10:30am
Saringan dan ujian bagi mengenal pasti pesakit COVID-19 serta kontak rapat perlu dilakukan dengan cepat dan ditingkatkan dalam usaha membendung penularan.
Saringan dan ujian bagi mengenal pasti pesakit COVID-19 serta kontak rapat perlu dilakukan dengan cepat dan ditingkatkan dalam usaha membendung penularan.

Penting perkukuh kesiapsiagaan sistem kesihatan di Lembah Klang

SEBANYAK 9,353 kes COVID-19 dicatatkan kelmarin, sekali gus jumlah tertinggi pernah direkodkan di negara kita sejak pandemik bermula Mac tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan peningkatan kes sejak kebelakangan ini sudah dijangka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Lembah Klang dan tindakan saringan besar-besaran.

Kelmarin juga, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan penubuhan Pasukan Bertindak Khas untuk 'Greater Klang Valley' diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Pasukan ini bertujuan memperkukuhkan kesiapsiagaan sistem kesihatan di Lembah Klang bagi menangani situasi semasa penularan COVID-19 khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

Kes positif baharu dicatatkan di Kuala Lumpur, Selangor dan juga Negeri Sembilan adalah melebihi 6,000 kes. Ini jelas menunjukkan lebih separuh kes positif harian baharu dilaporkan adalah daripada kawasan ini.

Justeru, ia bertepatan dengan sempadan pandemik 'Greater Klang Valley' diumumkan kelmarin yang merangkumi Lembah Klang dan kawasan sekitarnya termasuk di bahagian utara Negeri Sembilan, Perak selatan dan bahagian barat Pahang.

Dengan sempadan pandemik merangkumi beberapa kawasan negeri ini, aktiviti kawalan pandemik dan pemusatan pusat arahan dapat dilakukan. Dengan penubuhan badan ini, pengurusan pandemik dapat dijalankan dengan berkesan merentas sempadan pentadbiran negeri.

Selain itu, sekatan perjalanan adalah perlu untuk mengehadkan penularan kes kerana perjalanan manusia menyebabkan virus tersebar meluas. Tambahan pula, aktiviti menyebabkan perkumpulan manusia, baik aktiviti bersifat ekonomi seperti pekerjaan dan sosial seperti keramaian berupaya menjadi punca jangkitan.

Dalam mengawal pandemik COVID-19, kawalan penyakit adalah merangkumi aktiviti saringan penyakit, baik di lapangan mahupun secara berpusat di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).

Selain itu, pengamal perubatan swasta terpilih juga diberikan kuasa untuk membenarkan mereka mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Saringan dan ujian bagi mengenal pasti pesakit COVID-19 serta kontak rapat adalah perlu dilakukan dengan cepat dan banyak untuk membendung penularan. Selain itu, pengesanan kontak secara menyeluruh dan bersepadu penting bagi mengasingkan pesakit positif supaya tidak menjangkitkan kepada orang lain.

Kecepatan untuk bertindak dalam kawalan penyakit perlu melebihi kecepatan penularan kes. Dengan wujudnya varian baharu yang mudah berjangkit, kawalan penyakit cepat dan berkesan amat penting.

Peningkatan kes harian turut menyaksikan pertambahan kes dalam kategori 3 hingga 5 yang memerlukan rawatan di hospital. Peningkatan jumlah ini sekali gus menyumbang kepada situasi kritikal katil hospital termasuk katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital terutama di Lembah Klang.

Tular di media sosial mengenai kepadatan di hospital. Rata-rata rakyat termasuk netizen bersimpati dengan pesakit dan memberikan kata-kata semangat kepada warga barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertungkus-lumus memberikan rawatan kepada pesakit.

Tidak dinafikan pandemik ini menguji sistem kesihatan negara kita dan pada masa sama mengajar kita supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kecukupan peralatan perubatan juga penting untuk memberikan rawatan kepada pesakit.

Penggunaan sumber sama ada dalam bentuk fasiliti mahupun sumber manusia optimum di kawasan 'Greater Klang Valley' serta pengagihan semula sumber daripada negeri yang menginjak kepada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) perlu dilakukan untuk menangani masalah ini.

Seperti kita semua maklum, Ordinan Darurat (Kuasa- kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 14 Januari lalu. Ordinan ini antara lainnya memberikan kuasa untuk Penempatan Semula Sumber Manusia dan Aset Sektor Awam serta Penyumberluaran dan Pengambilalihan Sumber bagi menangani pandemik ini dengan berkesan.

Kita dapat lihat aset awam seperti hospital pengajar milik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan beberapa hospital swasta turut digunakan bagi memberikan rawatan untuk orang awam. Sumber ini bukan hanya membantu, bahkan amat diperlukan untuk merawat pesakit COVID-19 dan juga pesakit bukan menghidapi jangkitan COVID-19 tetapi memerlukan rawatan.

Dengan tempoh kuat kuasa ordinan ini akan tamat pada Ogos ini, penyambungan perkhidmatan melalui persetujuan bersama diperlukan untuk meneruskan rawatan dengan berkesan.

Penubuhan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bertaraf mega, PPV di klinik swasta di bawah Protecthealth, pemberian vaksin secara bergerak dan program outreach di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan ini diyakini dapat menyumbang kepada penurunan kes.

Bilangan mereka yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 adalah tertinggi jika dibandingkan negeri lain. Oleh itu, dengan memberikan tumpuan dan pengagihan semula sumber kepada kawasan 'Greater Klang Valley' ini, diharapkan agar kadar vaksinasi di kawasan ini dicapai dengan segera kepada semua.

Keseimbangan dari sudut kesihatan awam di lapangan termasuk promosi kesihatan, pengesanan penyakit, saringan, pengasingan dan kuarantin serta menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 berserta keupayaan perubatan klinikal di hospital yang memberikan rawatan kepada pesakit memainkan peranan besar dalam kejayaan menangani pandemik ini.

Dengan tumpuan diberikan kepada kawasan dalam sempadan pandemik 'Greater Klang Valley' ini, pemulihan dari sudut mengurangkan kadar jangkitan, kemasukan ke hospital dan kematian dapat dilakukan dengan berkesan.

Profesor Madya Perubatan dan Pakar Kesihatan Awam dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X