Rabu, 23 Jun 2021 | 8:15am
Garis panduan pengudaraan dalam bangunan fasiliti kesihatan seperti yang dikeluarkan WHO sangat penting untuk diaplikasikan di mana-mana hospital atau PKRC yang merawat pesakit COVID-19. - Foto hiasan NSTP
Garis panduan pengudaraan dalam bangunan fasiliti kesihatan seperti yang dikeluarkan WHO sangat penting untuk diaplikasikan di mana-mana hospital atau PKRC yang merawat pesakit COVID-19. - Foto hiasan NSTP

Perbanyakkan wad isolasi, elak sebaran COVID-10 di udara

KUALA LUMPUR: Situasi pandemik yang tidak menentu dengan kes jangkitan harian yang masih lagi tinggi iaitu sekitar 4,000 ke 5,000 kes setiap hari, cukup membimbangkan walaupun sudah tiga minggu sekatan pergerakan penuh dilaksanakan di seluruh negara.

Usaha memastikan fasiliti kesihatan negara mencukupi bagi menampung pesakit COVID-19, penambahan lebih banyak hospital COVID-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) terpaksa dilakukan untuk memenuhi keperluan kesihatan awam.

Bagi memenuhi keperluan sama ada hospital COVID-19 atau membuka PKRC, satu perkara yang tidak boleh dipandang enteng sebelum membenarkan rawatan ke atas pesakit COVID-19, adalah aspek pengudaraan di bilik/ wad atau dewan yang digunakan.

Ini kerana, bawaan udara atau airborne telah dikenal pasti berisiko sebagai pengantara penyebaran virus SARS-CoV-2, sekiranya sistem pengudaraan dalam bilik/wad rawatan COVID-19 tidak mengikut spesifikasi serta penyelenggaraan yang baik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyatakan sebelum ini, bangunan tertutup yang mempunyai pengudaraan tidak baik boleh berisiko merebaknya COVID-19 berbanding luar bangunan.

Keadaan ini berlaku kerana virus COVID-19 mampu terampai di udara selama lapan jam dan boleh tersebar sejauh dua meter malah melangkaui sehingga enam meter sepertimana dapatan kajian pakar udara daripada universiti tempatan baru-baru ini.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir, virus SARS-CoV-2 yang melekat pada permukaan zarahan halus boleh disebarkan melalui udara dan sekiranya langkah pencegahan tidak dilakukan boleh memberi risiko penularan virus kepada pesakit serta kakitangan hospital di wad yang bukan pesakit COVID-19.

Ia bukan sahaja akan mengganggu operasi hospital yang terpaksa menutup wad berkenaan bagi tujuan dekontaminasi, malah menyulitkan pesakit di wad berkenaan apabila terpaksa menjalani isolasi dan kontak rapat pula perlu menjalani ujian saringan serta kuarantin.

"Justeru, garis panduan pengudaraan dalam bangunan fasiliti kesihatan seperti yang dikeluarkan WHO sangat penting untuk diaplikasikan di mana-mana hospital atau PKRC yang merawat pesakit COVID-19 bagi memastikan penyebaran melalui udara tidak memberi kesan mudarat kepada pesakit lain mahupun petugas kesihatan," katanya.

Jelas beliau, ruangan tertutup serta operasi penghawa dingin yang mengitar semula udara akan memudahkan penyebaran virus dalam udara melalui aerosol.

WHO mengeluarkan satu rujukan bertajuk, Roadmap To Improve And Ensure Good Indoor Ventilation In The Context Of COVID-19 yang dikhususkan kepada tiga jenis bangunan iaitu fasiliti kesihatan, kediaman dan bukan kediaman.

Mengulas perkara itu, Pakar Kualiti Udara Dalaman, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Nor Mohd Razif Noraini, menyatakan sistem pengudaraan khas yang bersamaan dengan wad isolasi perlu untuk ruang di hospital bagi mengendalikan wad penyakit berjangkit seperti COVID-19.

Walau bagaimanapun, untuk ruang dan wad biasa yang ditukarkan kepada wad penyakit berjangkit seperti wad COVID-19, langkah-langkah menyediakan dan menambah baik sistem pengudaraan sedia ada perlu dilakukan bagi memudahkan aliran keluar bahan cemar, seperti bakteria dan virus.

"Ini akan mengurangkan risiko penyebaran seperti bakteria dan virus, antaranya dengan mewujudkan perbezaan tekanan (tekanan negatif) dalam kawasan wad tersebut.

"Langkah lain yang boleh dipraktiskan seperti mewujudkan ruang isolasi sementara dengan menggunakan pembahagi di dalam kawasan wad yang besar agar dapat membantu aliran bahan cemar dengan baik," katanya.

Penggunaan teknologi seperti penghapusan dan penapisan udara tercemar juga dapat mengurangkan virus itu terampai di udara di dalam kawasan berkenaan.

Ini kerana, kebanyakan hospital sedia ada di Malaysia direka dan dibina berdasarkan keperluan semasa terhadap tahap kesihatan dan populasi rakyat.

"Bila situasi pandemik berlaku, ruang isolasi seperti wad isolasi yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik sangat diperlukan dan jumlahnya sedikit di semua hospital di Malaysia," katanya.

Justeru, bagi menyediakan kemudahan isolasi ini pada masa akan datang, langkah mereka bentuk, membina dan menambah baik hospital baharu serta sedia ada dengan jumlah wad isolasi yang lebih banyak berbanding wad biasa, perlu dilakukan.

Selain itu, langkah menyediakan wad biasa kepada wad isolasi sementara yang boleh dipraktiskan dengan membuat penetapan awal wad dan ruang hospital yang sedia ada dengan sistem pengudaraan boleh ubah.

"Penggunaan ruang lain seperti PKRC juga perlu mengadaptasikan sistem isolasi sementara untuk pengudaraan yang baik.

"Antaranya, dengan menggunakan 'exhaust fan' dan lain-lain teknik pengudaraan seperti kelengkapan pengalihudaraan eksos setempat (LEV)," katanya.

Daripada pemerhatian yang dibuat katanya, langkah yang dinyatakan telah dipraktiskan untuk wad bagi rawatan COVID-19. Walau bagaimanapun, sejauh mana langkah itu mengikut spesifikasi yang dicadangkan dan keberkesanannya, masih lagi tidak diketahui.

Ini berikutan, tidak ada mana-mana badan mahupun individu profesional yang mengesahkannya selain tiada garis panduan atau polisi sementara di Malaysia yang berkaitan dengan pengudaraan berkesan untuk ruang isolasi semasa pandemik, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X