Jumaat, 18 Jun 2021 | 11:30am
Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto NSTP
Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto NSTP

Hasrat Seri Paduka junjung prinsip semak dan imbang

TEKA-TEKI susulan majlis menghadap diadakan sepanjang 9 hingga 15 Jun lalu, juga perbincangan khas Yang di-Pertuan Agong dengan Raja-Raja Melayu terjawab apabila Datuk Pengelola Bijaya Diraja dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja masing-masing mengeluarkan kenyataan media, kelmarin.

Dalam kenyataan media Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membolehkan ordinan darurat dan pelan pemulihan negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Secara keseluruhannya baginda turut menyentuh proses pelaksanaan pemvaksinan yang masih perlu diperkemaskan bagi mengawal penularan wabak COVID-19, keperluan pentadbiran kerajaan stabil dan mampu berfungsi secara efektif untuk memulihkan ekonomi negara serta pengurusan perbelanjaan untuk membantu rakyat dalam kesempitan hidup.

Kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pula menzahirkan penghargaan Raja-Raja Melayu kepada Yang di-Pertuan Agong atas rundingan diadakan serta untuk memaklumkan pandangan baginda kepada rakyat.

Di samping itu, Raja-Raja Melayu turut menzahirkan pendirian mengenai kepentingan mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif serta kehakiman untuk menjamin pelaksanaan tadbir urus telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat, terutama dalam hal ehwal pengurusan kewangan negara.

Raja-Raja Melayu juga berpandangan tidak ada keperluan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos depan.

Hakikatnya darurat diproklamasikan pada 11 Januari lalu tidak menggantung sidang Parlimen. Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 hanya menggantung had tempoh untuk Parlimen dipanggil kembali bersidang.

Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan persidangan Parlimen boleh dipanggil pada tarikh sebagaimana difikirkan sesuai Yang di-Pertuan Agong.

Disebabkan belum ada ordinan digubal untuk menggantung Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, maka baginda masih perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau seorang menteri bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri.

Perkara 40(1) berbunyi: "Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini."

Pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah sekata dalam isu untuk memanggil persidangan Parlimen dengan secepat mungkin.

Perenggan (b) kepada Subseksyen 14(1) Ordinan Darurat membolehkan Parlimen dipanggil pada bila-bila masa difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri.

Peruntukan 'Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong' menunjukkan tempoh notis di bawah Peraturan Maj- lis Mesyuarat Parlimen tidak terpakai dalam tempoh darurat.

Parlimen boleh dipanggil melalui notis lebih pendek daripada tempoh 28 hari. Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri boleh menetapkan tempat, hari dan waktu melalui perisytiharan baginda bermulanya penggal baharu persidangan Parlimen bagi 2021.

Selanjutnya Perkara 150(9) memperuntukkan Parlimen hendaklah dikira sebagai bersidang hanya jika ahli setiap majlis itu masing-masing berhimpun bersama dan menjalankan urusan majlis terbabit perlu diperjelaskan ordinan darurat. Kehadiran secara hibrid boleh digubal melalui ordinan darurat.

Dalam menentukan asas kiraan tarikh secepat mungkin atau segera bagi persidangan Parlimen, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri perlu mendapatkan tempoh masa dihasratkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Tarikh berkenaan penting kerana pelbagai pandangan dan tuntutan diperhalusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sendiri sebelum hasrat terbabit dizahirkan.

Jika sekiranya Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, baginda boleh menggunakan kuasa diperuntukkan Fasal-Fasal (2A) dan (2B) kepada Perkara 150 untuk membuat proklamasi darurat kestabilan negara dan menggubal ordinan bagi menggantung Perkara 40(1).

Langkah ini membolehkan Yang di-Pertuan Agong bertindak tanpa nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk memanggil sidang Parlimen demi mengembalikan prinsip semak dan imbang dalam pentadbiran Persekutuan dalam tempoh secepat mungkin.

Penggantungan Perkara 40(1) seperti pendekatan di atas tidak boleh ditohmahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong ingin berkuasa mutlak kerana proklamasi dan ordinan diisytiharkan baginda perlu dibentang sebaik sahaja Parlimen bersidang.

Kedua-duanya masih tertakluk pada resolusi diluluskan kemudian oleh kedua-dua Majlis Parlimen. Justeru, persidangan Parlimen dititahkan Yang di-Pertuan Agong boleh menimbangkan mana-mana proklamasi dan ordinan darurat dibuat baginda, tanpa menjejaskan kuasa budi bicara baginda untuk mengeluarkan proklamasi dan memasyhurkan apa-apa ordinan baharu di bawah Fasal (2B).

Hakikatnya, Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh darurat mempunyai kuasa di luar amalan biasa melalui proklamasi dan pemasyhuran ordinan.

Namun, kuasa terbabit boleh disemak melalui resolusi Majlis Parlimen.

Amalan semak dan imbang bukan sahaja berlaku pada peringkat tiga cabang kuasa, iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman.

Bahkan, ia berlaku pada peringkat lebih tinggi, iaitu Yang di-Pertuan Agong, Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kedaulatan yang menjamin pelaksanaan tadbir urus baik selaras prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Kesimpulannya, hasrat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu dihormati semua pihak agar amalan semak serta imbang dapat dipelihara dan semua pihak berkuasa dapat sama-sama menjaga amanah diberikan.

Penulis adalah Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), Universiti Malaysia Pahang

Berita Harian X