Rabu, 16 Jun 2021 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pelan Pemulihan Negara strategi peralihan keluar krisis pandemik

KEJAYAAN negara memulihkan ekonomi daripada keadaan krisis akibat pandemik sangat bergantung kepada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Sekiranya program vaksinasi berjaya mencapai imuniti kelompok dengan kadar 80 peratus penduduk Malaysia menerima vaksin, semua aktiviti ekonomi dan sosial dapat dijalankan semula seperti biasa dan krisis ekonomi dapat dipulihkan.

Keadaan ini boleh dicapai sekiranya 26 juta rakyat Malaysia beramai-ramai mendapatkan suntikan bagi mencapai sasaran imuniti berkelompok.

Ini terbukti di beberapa negara yang sudah berjaya menjalankan program vaksinasi seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Hungary. Kadar kes positif harian COVID-19 mereka menurun mendadak, begitu juga kadar kematian yang berkurang.

Menurut statistik terkini, sebanyak 13.8 juta individu sudah pun mendaftar untuk vaksin di negara ini. Daripada jumlah itu, lebih 4.5 juta diberikan vaksin di mana 3.2 juta menerima suntikan vaksin pertama dan 1.4 juta lagi lengkap menerima dua dos suntikan.

Dengan itu, kadar terkini sebanyak 13.7 peratus penduduk Malaysia sudah pun divaksin. Negara akan menerima lebih banyak stok vaksin pada akhir bulan ini dan kadar ini pasti meningkat lebih cepat lagi. Mengikut data vaksinasi semalam, sebanyak 190,000 vaksin sudah diberikan. Kadar pemberian vaksin ini meningkat dan dapat dipercepatkan lagi.

Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sudah menjalankan kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan.

Kerajaan juga memperluaskan kaedah dan tempat pemberian vaksin seperti membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk membabitkan lebih banyak hospital swasta, serta mengguna pakai kaedah pemberian vaksin secara bergerak ke kawasan pedalaman dan pandu lalu.

Di Selangor sendiri, kadar vaksinasi dijangka meningkat sehingga 135,000 dan 165,000 dos suntikan sehari untuk Julai dan Ogos.

Dengan ini, Selangor yang mempunyai populasi penduduk dan kadar kes positif harian tertinggi akan mencapai imuniti berkelompok 80 peratus menjelang September depan.

Terkini semalam, kerajaan mengumumkan strategi Pelan Pemulihan Negara yang membabitkan empat peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Semua fasa ini akan meliputi peralihan prosedur operasi standard (SOP) untuk PKP sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat, bergantung tiga indikator dicerap berdasarkan data dan sains.

Secara keseluruhannya, terdapat empat fasa pemulihan berpaksikan data tiga indikator ambang utama.

Pertama, kadar jangkitan COVID-19 dalam komuniti; kedua, keupayaan sistem kesihatan iaitu kadar penggunaan katil dan wad kecemasan Unit Rawatan Rapi (ICU); manakala ketiga, peratus kadar populasi yang sudah menerima dua dos vaksin lengkap.

Buat masa kini, kita masih dalam fasa pertama, di mana tahap jangkitan tinggi, kadar penggunaan katil terutama ICU pada paras kritikal dan jumlah penerima vaksin yang agak rendah iaitu kurang 15 peratus. Negara boleh bergerak ke fasa kedua apabila purata kes harian COVID-19 menurun kepada bawah 4,000 kes sehari, sistem kesihatan awam terutama ICU ke paras sederhana dan 10 peratus populasi menerima suntikan vaksin.

Lebih banyak sektor ekonomi akan dibuka, namun aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Fasa ketiga pula boleh dicapai apabila nilai ambang purata kes positif turun kepada bawah 2,000 sehari, sistem kesihatan pada peringkat selesa dan 40 peratus menerima dua dos vaksin.

Dijangka paling awal mencapai fasa ini adalah pada Ogos depan dan semua aktiviti ekonomi dibenarkan kecuali sektor ekonomi yang berisiko tinggi masih kekal ditutup dan aktiviti membabitkan keramaian yang sukar menjalankan penjarakan sosial. Menariknya, pada fasa ini, sidang Parlimen boleh mula dibuka.

Peringkat terakhir iaitu fasa keempat diunjurkan akhir Oktober apabila nilai ambang purata turun bawah 500 kes, sistem kesihatan pada peringkat selamat dan 60 peratus menerima dua dos suntikan vaksin.

Pada waktu ini, kita kembali ke norma asal harian di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan, pelancongan serta aktiviti rentas negeri juga dibenarkan.

Jika dilihat, pengumuman Pelan Pemulihan Negara secara berfasa ini dapat membantu kerajaan memberikan penjelasan secara telus kepada rakyat mengenai perancangan kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19 di negara ini.

Dengan adanya perancangan ini, kerajaan dapat meningkatkan kredibiliti dan keyakinan orang ramai yang pada masa ini masih dalam keadaan samar bilakah situasi pandemik akan pulih dan rakyat boleh kembali menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial.

Dari segi ekonomi, pengumuman kerajaan menangani pandemik secara berfasa diharap dapat memberikan signal positif kepada peniaga dan syarikat yang terjejas akibat pandemik dan memulihkan keyakinan pelabur.

Contohnya, bagi syarikat terjejas, mereka boleh menjangkakan berapa lama lagi harus bertahan untuk kembali kepada keadaan sebelum pandemik.

Bayangkan tanpa vaksin, keadaan PKP yang dialami sebelum ini oleh peniaga dan syarikat terjejas tentunya satu mimpi ngeri kerana ketidakpastian mengenai berapa lama pandemik akan berlanjutan.

Akibatnya, ramai terpaksa memilih menutup perniagaan mereka atau membuang pekerja.

Justeru, Pelan Pemulihan Negara ini dapat memberikan satu penjelasan telus kepada rakyat mengenai perancangan kerajaan dalam menangani pandemik, khususnya melalui program vaksinasi.

Semakin tinggi fasa berdasarkan kadar vaksinasi, maka semakin longgar sektor ekonomi dan negara dapat pulih daripada kemelesetan ekonomi.

Secara keseluruhannya, Pelan Pemulihan Negara adalah strategi peralihan keluar kemelut pandemik COVID-19 berdasarkan indikator tertentu.

Namun, tidak mustahil kita boleh pulih lebih awal daripada jangkaan sekiranya setiap daripada kita menjaga SOP ditetapkan sepenuhnya.

Selain kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kejayaan melandaikan keluk COVID-19 serta memulihkan ekonomi memerlukan usaha bersama secara kolektif semua lapisan masyarakat.

Pensyarah Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X