Isnin, 14 Jun 2021 | 11:45am
Laporan akhbar BH semalam.
Laporan akhbar BH semalam.

Tidak wajar merumitkan proses pelantikan naib canselor

KETIKA hampir selesai menulis rencana ini, wawancara dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Raduan Che Rose disiarkan di BH Ahad, semalam.

Tepat sekali pandangan Menteri Pendidikan Tinggi mengenai naib canselor perlu mempunyai ciri serba boleh.

Pertama, calon perlu datang daripada tokoh akademik berwibawa atau sekiranya dalam kalangan masyarakat industri seperti lumrah berlaku di universiti luar negara, individu terbabit setidak-tidaknya tahu selok-belok urusan kepemimpinan akademik.

Di samping berwibawa dan berintegriti tinggi, calon mesti bijak dalam 'pengurusan manusia,' iaitu mesra kakitangan dan pelajar sebagai pemegang taruh utama.

Dalam konteks keperluan semasa, universiti diharap bijak menjana pendapatan untuk mengurangkan beban kewangan kepada kerajaan. Apapun, naib canselor dipermudahkan tugas hariannya oleh barisan pengurusan tertinggi universiti yang membantu dalam membuat keputusan penting secara kolektif.

Di samping itu, pandangan Raduan juga amat wajar, iaitu naib canselor mesti bebas daripada pengaruh politik kepartian dan kelihatan tidak memihak kepada parti politik tertentu.

Namun, penjawat awam biasanya perlu mendukung prinsip 'kesetiaan kepada kerajaan memerintah.' Bagi dibebaskan daripada 'kuasa lantikan menteri,' ia sesuatu ideal, tetapi sukar dicapai dalam amalan dan tradisi di negara ini.

Pada masa sama, terima kasih juga kepada Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin yang sebelum ini menyeru Kementerian Pengajian Tinggi melantik segera naib canselor di lima universiti.

Adalah tidak wajar jawatan tertinggi dalam perkhidmatan kerajaan seperti Ketua Setiausaha Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera, malah Ketua Setiausaha Kementerian dibiarkan kosong terlalu lama, begitu juga sepatutnya jawatan naib canselor.

Ini boleh menimbulkan pelbagai tanda tanya dan prasangka termasuk kepada menteri dan pegawai kanan di kementerian terbabit.

Sebagai seorang yang lebih 40 tahun berkhidmat dengan dua universiti, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1974 hingga 2004 dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selama 12 tahun sejak 2009, saya boleh merumuskan proses melantik naib canselor bagi sesebuah universiti bukan sukar dan kompleks.

Dalam sejarahnya, ia melalui kaedah berbeza-berbeza. Apapun, keputusan akhirnya berada dalam tangan menteri selepas mendapat pandangan pelbagai pihak termasuk Lembaga Pengarah Universiti berkenaan.

Jika menteri sendiri menghadapi kesukaran membuat keputusan, adalah wajar wibawa seseorang menteri dipersoalkan.

Lazimnya, Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) akan dimaklumkan sekitar tiga bulan sebelum tamat tempoh naib canselor. Pada masa itu, LPU perlu membuat keputusan sama ada khidmat naib canselor sedia ada akan disambung atau diganti. Hal ini, ia perlu dimaklumkan kepada Menteri atau Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi.

Jika timbul keperluan naib canselor diganti, amalan masa lalu ialah penyandangnya akan diganti antara seorang sedang menyandang timbalan naib canselor atau dalam kalangan pengarah Pusat Kecemerlangan Universiti.

Dalam keadaan unik dan istimewa serta berdasarkan meritokrasi, penjawat dekan yang dikira cemerlang boleh dipertimbangkan.

Prosesnya tidak begitu rumit kerana LPU diberi tanggungjawab membuat pencalonan sekurang-kurangnya tiga calon untuk dipilih menteri.

Dalam kaedah lain, jawatankuasa pemilih diwujudkan kementerian untuk menemu duga calon dan jawatankuasa terbabit akan menyenaraikan calon difikirkan paling layak mengikut merit.

Penulis pernah dua kali menduduki jawatankuasa itu bagi dua universiti, iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UKM. Pemilihan cara ini juga tidak menimbulkan apa-apa masalah.

Amalan sekarang adalah mengeluarkan iklan kepada semua universiti untuk mendapatkan pencalonan. Cara ini memakan masa dari segi pengurusan.

Namun, dirasakan iklan ke luar bagi universiti menghadapi kekosongan jawatan naib canselor dan timbalan naib canselor hanya wajar dibuat untuk universiti baharu sahaja yang belum mencapai katakan 10 tahun kewujudannya.

Bagi institusi sudah berusia, adalah amat wajar calon dipilih daripada universiti itu sendiri. Masakan universiti yang cukup matang dan dewasa memerlukan naib canselor diimport?

Beberapa pengalaman terbaru menyerlahkan hakikat komuniti cerdik pandai umumnya menolak kepemimpinan baharu yang didatangkan dari luar dan memilih untuk tidak memberi kerjasama atas alasan pemimpin 'import' sukar memahami roh dan hala tuju universiti akan beliau pimpin.

Dari segi ketetapan waktu pelantikan naib canselor, UPNM umpamanya mempunyai rekod terbaik dan boleh dijadikan contoh kerana lantikan enam naib canselornya sebelum ini tidak pernah terlambat walaupun sehari.

UPNM membuat persiapan awal mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat ala-ketenteraan untuk mengisi kekosongan jawatan naib canselor yang dipilih Majlis Angkatan Tentera dipengerusikan Menteri Pertahanan.

Ia dianggap sebagai 'Universiti Angkatan Tentera' kerana sebahagian mahasiswanya adalah pegawai kadet dibiayai Kementerian Pertahanan dan bakal berkhidmat dalam ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), iaitu tentera darat, laut dan udara.

Ini amalan mengikut persefahaman antara Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Kementerian Pertahanan ketika tertubuhnya UPNM pada 2006. Cara kerja angkatan tentera adalah berdisiplin ketat dengan mengutamakan ketepatan waktu.

Namun, untuk mengisi kekosongan jawatan timbalan naib canselor, ia pernah mengambil masa kadang-kadang seperti pengalaman baru-baru ini, enam bulan lamanya. Lantikan timbalan naib canselor dikendalikan Kementerian Pengajian Tinggi.

Walau apapun, semua pihak bertanggungjawab mesti berusaha dan membaiki keadaan agar apa sudah berlaku tidak lagi berulang. Gejala COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau amalan bekerja dari rumah sejak setahun lalu, tidak wajar dijadikan alasan.

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Penulis adalah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Berita Harian X