Isnin, 10 Mei 2021 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Perumah 'lalai' SOP tingkat penularan pandemik COVID-19

KRISIS COVID-19 di India memberikan pengajaran penting kepada dunia termasuk Malaysia. Sebarang kealpaan atau cepat berpuas hati dengan 'kemenangan' terhadap pandemik itu sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) membawa padah.

Awal Mac lalu, Menteri Kesihatan India, Harsh Vardhan mengumumkan negara itu berada pada status akhir dalam menangani COVID-19. Ini berdasarkan fakta India pernah mencatat jumlah jangkitan tertinggi sehingga 93,000 kes purata harian, awal September tahun lalu.

Kemudian, kes menurun pantas iaitu 11,000 sehari pertengahan Februari lalu. Pada waktu sama, jumlah kematian menurun sehingga kurang 100 kes sehari.

Perdana Menteri India, Narendra Modi juga memutuskan untuk memberi bekalan vaksin COVID-19 kepada beberapa negara lain iaitu inisiatif dikenali sebagai 'vaksin diplomasi.' Ia boleh dilakukan kerana India sebelum pandemik ialah pengeluar vaksin terbesar dengan lebih 60 peratus dihasilkan di negara itu.

Akhir Februari lalu juga, pihak berkuasa pilihan raya India mengumumkan pilihan raya di lima negeri membabitkan 186 juta penduduk untuk merebut 824 kerusi diadakan pada Mac lalu.

Kempen berskala besar dianjur membabitkan ribuan penduduk tanpa mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal seperti sebelum ini.

Malah, India menganjurkan perlawanan kriket antarabangsa dihadiri lebih 130,000 penonton di Stadium Narendra Modi, Gujarat dengan kebanyakannya tidak memakai pelitup muka. Pada masa sama kehadiran di upacara Kumbh Mela juga membabitkan ratusan ribu pengunjung.

Akibat aktiviti berskala besar yang tidak mematuhi arahan dan pencegahan penularan, kurang sebulan atau sekitar pertengahan April lalu, India mencatatkan kes positif COVID-19 sebanyak 100,000 sehari, bahkan terus naik mendadak hingga lebih 330,000 sehari awal Mei.

Kematian pula mencapai lebih 1,600 kes sehari dan menurut laporan The Lancet COVID-19 Commission, ia boleh mencapai lebih 2,300 kes pada Jun nanti jika penularan tidak dibendung segera.

Negara jiran dan pihak berkuasa kesihatan pelbagai negara, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang dengan perkembangan di India kerana penduduk terkesan sangat ramai, sekali gus memberi impak negatif kepada dunia.

Pada 27 April lalu, WHO mengenal pasti varian B.1.617 COVID-19 menyumbang lonjakan kes baharu di India. Varian baharu ini berdasarkan maklumat lebih 1,200 jujukan dimuat naik di pangkalan data Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID).

WHO juga memaklumkan kebanyakan jujukan itu dimuat naik berasal dari India, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat dan Singapura.

Seperkara sangat membimbangkan daripada varian B.1.617 ialah tahap kebolehjangkitan agak tinggi dan menyumbang keseriusan pesakit apabila dijangkiti. Ini membabitkan beberapa subturutan dengan ciri dan mutasi sedikit berbeza daripada COVID-19 asal, dikenali sebagai 'varian penting' tetapi tidak sehingga tahap ditakrifkan sebagai varian merisaukan.

Varian B.1.617 juga lebih berbahaya kerana amat mudah berjangkit, membunuh atau dapat menghindari kesan daripada perlindungan vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti beberapa varian baharu berdasarkan suvelan genomik ke atas 59 sampel COVID-19 dari 24 April hingga 2 Mei.

Ini termasuk 27 kes baharu tempatan COVID-19 dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351, manakala tiga kes baharu tempatan dijangkiti varian UK B.117 dan satu kes import baharu dijangkiti varian Indian B.1.617.1.

Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian dari India dengan mutasi berganda, iaitu Indian B.1.617.1. Kes pertama ini dikenal pasti mempunyai sejarah perjalanan ke Mumbai.

Varian mutasi berganda, B.1.617.1 yang mula ditemui di India, kini dikesan tersebar ke hampir 30 negara di seluruh dunia, termasuk Singapura.

Perkembangan jumlah kes COVID-19 di negara kita sejak 2 minggu lalu berada pada trend menaik dengan jumlah kes harian masih empat angka dan terkini melebihi 4,500 kes harian dicatatkan.

Lebih banyak kluster baharu pelbagai sektor dikenal pasti. Sektor pengilangan dan pembangunan menyumbang hampir 60 peratus kes aktif COVID-19 di negara kita.

Kes positif juga dikenal pasti daripada penularan komuniti termasuk dari sektor pendidikan, gerai atau bazar, perhimpunan sosial serta kem tahanan. KKM juga melaporkan sehingga 6 Mei, negara mencatatkan 500 kes kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU), iaitu jumlah tertinggi sejak pandemik bermula. Ini menunjukkan tahap keseriusan pesakit akibat COVID-19.

Semakin ramai juga memerlukan rawatan segera dan hospital kerajaan perlu menyediakan tempat untuk rawatan, manakala sistem sokongan wajar disediakan segera di hospital lain.

Kadar kebolehjangkitan (Rt) di seluruh negara pada waktu ini adalah 1.14. Nilai Rt pada sesetengah daerah dan negeri masih tinggi. Justeru, pengawalan penularan dengan memberi kategori berbeza sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Pemulihan, PKP Bersyarat atau PKP Diperketat amat perlu dilakukan.

Faktor lain menyumbang kepada peningkatan kes ialah musim perayaan dan liputan vaksinasi masih rendah, iaitu kurang 3 peratus penduduk Malaysia menerima vaksin melalui Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Mengambil kira semua situasi semasa, peranan setiap rakyat dalam memastikan pengawalan penularan COVID-19 sangat ditagih pada setiap masa dan keadaan tanpa mengira siapa mereka.

Apa yang sedang berlaku di India seharusnya mengajar untuk kita terus patuh arahan pihak berkuasa dan senantiasa mengambil inisiatif untuk menyekat penularan.

Perhimpunan dan majlis sosial, pergerakan individu keluar dari rumah ke bazar Ramadan, kawasan perniagaan, pusat keagamaan dan individu berisiko turut menjadi kontak kepada pelbagai individu terdedah kepada COVID-19, ini menyumbang langsung kepada kenaikan kes.

Sifat virus COVID-19 ini yang sangat mudah merebak dan mencari perumah 'lalai' serta rantaian penularan akan terus bersambung apabila pendedahan kontak individu tidak disekat.

Justeru, arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melarang rentas daerah dan negeri di seluruh negara walaupun Aidilfitri bakal disambut minggu ini, wajar dipatuhi dan disokong.

SOP untuk ziarah raya perlu dipatuhi seketatnya dan sebarang perhimpunan atau pertemuan sempena hari raya jika tiada keperluan mendesak, sangat wajar dielakkan. Jika kita leka, COVID-19 akan mengambil kesempatan, sebaliknya jika kita tegas dan berdisiplin, ia pula mudah dikawal.

Timbalan Pengarah, Institut Kajian, Pembangunan dan Inovasi (IRDI), International Medical University (IMU) dan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-MEDIK)

Berita Harian X