Rabu, 5 Mei 2021 | 10:00am
Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. - NSTP/Asyraf Hamzah
Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pendekatan lebih sistematik bendung rasuah secara holistik

Sejak akhir-akhir ini, kes rasuah membabitkan jutaan ringgit kian menjadi-jadi. Antaranya, kartel tender projek kerajaan, tuntutan palsu kontrak pembekalan makanan dan kartel daging.

Masalah ini seolah-olah tiada pengakhiran, malah sindiket rasuah terancang semakin licik dan cekap hingga jenayah ini tidak dapat dihidu walaupun sekian lama dijalankan.

Di mana silapnya? Apakah langkah boleh diambil untuk menangani isu rasuah terancang ini? Mereka seakan-akan tidak gentar dengan undang-undang dan hukuman yang bakal dikenakan.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memerangi rasuah termasuk pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 pada Januari 2019. Ia pelan merealisasikan aspirasi Malaysia untuk dikenali kerana integriti, bukan kerana rasuah.

Sudah pasti ramai tertanya-tanya sama ada objektif utama pelan ini boleh dicapai menjelang 2023. Apa yang pasti, kejayaan pelan ini terletak pada komitmen semua rakyat dan agensi terutama yang menjadi peneraju utama.

NACP selaku pelan jangka panjang ialah dokumen utama kerajaan menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah.

Pelan ini merangkumkan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu.

Tidak dinafikan, pelancaran NACP sedikit sebanyak memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2019. Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama.

Pada 2020, Malaysia menduduki tangga ke-57, iaitu jatuh enam anak tangga berbanding sebelumnya dengan skor 51/100. Penurunan ini dipengaruhi pelbagai faktor.

Lebih penting, komitmen semua pihak untuk melaksanakan 115 inisiatif termaktub dalam NACP dan mengukur serta melaporkan tahap keberkesanan inisiatif dilaksanakan.

Tidak mustahil semua kartel rasuah dan penjenayah kolar putih akan menemui jalan buntu juga akhirnya nanti.

Antara inisiatif penting digariskan dalam NACP ialah keperluan untuk setiap agensi kerajaan membangun dan menggubal Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) masing-masing.

OACP ialah dokumen dasar dan pelan strategik antirasuah pada peringkat organisasi bertujuan menangani permasalahan serta kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam organisasi.

Lebih menarik, pembangunan OACP tidak terhad kepada agensi kerajaan, bahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat terhad menurut jaminan (CLBG) dan sektor swasta juga tidak terlepas disarankan untuk membangunkan pelan ini.

OACP juga menyediakan platform komprehensif dan sistematik dalam menangani isu rasuah dengan mekanisme pelaporan kepada pengurusan tertinggi organisasi secara berkala.

OACP juga meliputi isu dalaman organisasi berkaitan kelemahan tadbir urus, integriti dan antirasuah yang harus ditangani serta membabitkan semua bidang dan aktiviti dalam organisasi.

Antara keperluan penting dalam membangunkan OACP ialah mempersiapkan organisasi komersial supaya mempunyai tatacara mencukupi selaras peruntukan seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bukan itu saja, OACP dapat memastikan pembangunan organisasi lestari dan bebas rasuah dengan mengambil kira situasi kini serta masa hadapan.

Penulisan oleh Pengarah Bahagian Dasar dan Strategik, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) pada Mac lalu menyatakan; "Membangunkan dan memiliki dokumen OACP adalah satu usaha penting.

"Bagaimanapun dokumen ini hanya akan berjaya dan 'bernyawa' sekiranya didukung sokongan serta komitmen tinggi semua pihak dalam organisasi berkenaan."

Kenyataan ini berasas dan harus diingati semua agensi sudah dan akan membangunkan pelan ini.

Organisasi bukan sahaja berjaya membangunkan OACP, malah lebih berjaya dan cemerlang sekiranya dapat melaksanakan inisiatif dirancang serta dapat mewujudkan transformasi budaya governans, integriti dan antirasuah lebih mantap.

Selain sokongan semua, sistem pengurusan kukuh dan menyeluruh juga perlu dibangunkan bagi merealisasikan pelan termaktub dalam OACP.

Antara sistem pengurusan lengkap dan menyeluruh ialah MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) yang juga sistem bertaraf antarabangsa.

Secara ringkasnya, ABMS ialah sistem menggunakan pendekatan pencegahan awal dengan mengenal pasti risiko rasuah di sesebuah organisasi berdasarkan fungsi sesebuah jabatan, unit mahupun bahagian yang sama sekali akan menutup ruang serta peluang rasuah.

Pensijilan ABMS ini tidak menjamin unsur rasuah akan bebas sepenuhnya, kerana rasuah membabitkan faktor manusia.

Namun, apa boleh dikatakan dengan adanya sistem pengurusan, adalah menjadi semakin sukar untuk amalan rasuah dilakukan.

Kombinasi kedua-dua elemen ini diyakini dapat membanteras rasuah di segenap agensi lebih sistematik dan menyeluruh.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, juga menyeru semua agensi kerajaan untuk membangunkan OACP dan ABMS, serta dijadikan sasaran CPI bagi 2021.

Usaha ini pasti akan membuahkan hasil seandainya lebih banyak agensi kerajaan dan swasta menyahut seruan ini.

Kedua-dua elemen ini ialah evolusi dalam memerangi rasuah di negara ini selari dengan evolusi jenayah rasuah dilihat semakin sofistikated saban hari.

Pendekatan lama atau biasa sudah tidak memadai dan sudah boleh dibaca perasuah di luar sana.

Oleh itu, tidak ada salahnya menggunakan pendekatan lebih sistematik dalam menangani rasuah, malahan ia akan memantapkan lagi sistem kawalan kendiri.

Masih banyak agensi belum membangunkan OACP dan ABMS. Jangan berlengah lagi, mulakan langkah pertama. Jika tidak pasti daripada mana hendak bermula, Institut Integriti Malaysia (IIM) sentiasa bersedia untuk membantu, apa yang penting adalah tindakan.

Jika tiada sebarang tindakan proaktif diambil, perasuah akan terus bebas merencanakan aktiviti rasuah yang akan memusnahkan negara.

Namun, apa jua pelan dirancang dan sistem dibangunkan, ia memerlukan komitmen semua pihak bagi melaksanakannya.

Tanpa pelaksanaan, pelan menjadi sia-sia, sistem akan tergendala, rasuah akan berleluasa semula dan terus bermaharajalela.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM)

Berita Harian X