Jumaat, 30 April 2021 | 12:00pm
Ramai pesakit COVID-19 di India tidak mendapat rawatan sewajarnya akibat kekurangan kemudahan dan prasarana kesihatan. - Foto AFP
Ramai pesakit COVID-19 di India tidak mendapat rawatan sewajarnya akibat kekurangan kemudahan dan prasarana kesihatan. - Foto AFP

Jadikan tsunami COVID-19 di India iktibar menginsafkan

INDIA dengan populasi 1.4 bilion penduduk kini teruk dilanda COVID-19 dengan negara itu kini menjadi ground zero dalam peperangan menentang musuh halimunan.

Infrastruktur kesihatan dan keperluan asas perubatan untuk merawat COVID-19 sangat tidak mencukupi, dengan kes harian mencatat ratusan ribu.

Pada 23 April lalu 332,730 kes dicatatkan di India, kes harian tertinggi dunia sejak COVID-19 melanda.

Di bandar besar seperti Mumbai dan Delhi, satu daripada tiga atau empat individu disahkan positif COVID-19. Jika ini berterusan, India bakal menghadapi peningkatan setengah juta kes sehari pada Mei ini.

Penyebaran wabak kini paling pantas di dunia. Jumlah kes aktif di India melepasi 2.7 juta orang. Kes harian meningkat dua kali ganda daripada 8 peratus kepada 16.7 peratus sejak dua minggu lalu. Tsunami ini tidak akan surut dalam masa terdekat.

Pada Mac lalu, Menteri Kesihatan India, Harsh Vardhan, mengisytiharkan wabak di negara itu sudah mula berakhir. India cukup yakin dengan program vaksinasi rakyat yang dimulakan sejak Januari.

Mereka beranggapan mempunyai bekalan vaksin yang cukup, memandangkan India negara pembuat vaksin terbesar dunia.

Cukup ironi, India yang digelar pusat farmasi dunia yang membekalkan vaksin COVID-19 kepada 62 negara, dibadai pandemik sehingga lunyai menyembah tanah.

Menelusuri asbab kejadian, kepincangan sektor kesihatan memberi kesan sangat dahsyat kepada India. Negara itu antara paling pesat membangun dalam ekonomi dunia, namun perbelanjaan untuk sektor kesihatan awam sangat rendah, hanya 1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

India pada tangga yang corot, iaitu kedudukan 179 daripada 189 negara yang mengutamakan sektor penjagaan kesihatan dalam bajet perbelanjaan negara. Fasiliti kesihatan sangat kurang menyebabkan hanya tiga hingga empat peratus pesakit mendapat rawatan di hospital, berbanding lapan hingga sembilan peratus di negara berpendapatan sederhana lain.

Perdana Menteri, Narenda Modi lebih mengutamakan pembangunan hospital swasta dengan memberi keistimewaan dalam bentuk cukai. Maka, penduduk kebanyakannya bergantung kepada rawatan mahal daripada hospital swasta.

Ini sangat membebankan kebanyakan isi rumah. Tambahan lagi, kebanyakan bajet kerajaan dibelanjakan untuk tujuan subsidi bagi sektor kesihatan swasta dan mereka tidak mengutamakan pembangunan untuk masa depan penjagaan kesihatan rakyat secara menyeluruh.

Perhimpunan besar-besaran di tempat awam seperti aktiviti keagamaan dan politik, sukan dan sosial juga dibenarkan berlangsung. Penduduk bebas berhimpun di tempat awam tanpa mempedulikan COVID-19.

Aktiviti keagamaan Kumbh Mela sejak Mac lalu menyaksikan jutaan penganut Hindu berkumpul dan mandi di Sungai Gangga. Hasilnya 1,700 disahkan positif selepas lima hari ujian dijalankan di kawasan perayaan.

Perhimpunan besar-besaran juga diadakan parti politik untuk pilihan raya, walaupun kes meningkat naik. India juga menghadapi varian baharu COVID-19 dengan mutasi berganda dikenali B.1.617.

Ahli virologi menyatakan mutasi ini mengakibatkan penyebaran wabak lebih cepat dan gagah melawan sistem imun tubuh badan manusia.

Simptom penyakit juga lebih teruk. Ia dikesan pada 65 peratus kes di bandar Maharastra, di mana lokaliti paling tinggi mencatatkan kes COVID-19.

Pertengahan Februari lalu, kes harian dicatatkan kurang 10,000, tetapi meningkat drastik menjelang April dengan purata 25,000 sehari. Gelombang COVID-19 melanda India lebih cepat merebak dengan kesan lebih teruk.

Populasi muda dan kanak-kanak juga mudah dijangkiti varian baharu. Hasilnya, sebaran lebih mudah dan cepat disebabkan golongan muda lebih banyak melakukan aktiviti sosial dan keluar bekerja.

Hospital di Delhi merekodkan lebih 65 peratus kes dicatatkan pesakit bawah usia 45 tahun. Program pemvaksinan di India sangat perlahan dengan cuma 7 peratus populasi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin ketika ini.

Bekalan vaksin dunia dijangka terkesan kerana India terpaksa membekalkan lebih banyak vaksin kepada rakyat sendiri terlebih dahulu. India juga terpaksa mengimport lebih banyak vaksin luar dan mempercepatkan kelulusan penggunaan vaksin.

Apa sedang berlaku di India - ramai pesakit COVID-19 tidak mendapat peluang penjagaan kesihatan sewajarnya, disebabkan kegagalan kerajaan membekalkan perubatan dan alatan secukupnya.

Situasi di India sangat kritikal dan memerlukan keperluan asas dalam perubatan untuk pesakit terus hidup seperti bekalan oksigen. Kebanyakan hospital dilanda masalah ketiadaan bekalan perubatan asas yang cukup untuk pesakit COVID-19.

Bekalan oksigen hanya mampu bertahan beberapa jam, alat bantuan pernafasan tidak mencukupi, unit rawatan rapi tidak mampu menerima pesakit kritikal, kehabisan stok ubat-ubatan dan katil hospital padat dengan pesakit.

India juga mengalami masalah data kes COVID-19 dengan jumlah ujian saringan rendah berbanding populasinya yang ramai dan ratusan ribu masih menjadi penyebar virus tanpa sedar ke dalam komuniti.

Lebih sadis, kebanyakan pesakit disuruh pulang kerana hospital tidak mampu menampung jumlah pesakit terlampau ramai. Ada kes pesakit mati di luar hospital kerana tidak dapat meneruskan rawatan.

Pada 21 April lalu, seramai 22 pesakit di sebuah hospital di bandar Nashik maut hanya kerana bekalan oksigen terputus. Purata kematian sehari akibat COVID-19 adalah 1,100 orang, namun senario semasa menjangkakan lebih tinggi.

Jumlah upacara pembakaran mayat juga meningkat dan terpaksa dilakukan besar-besaran.

Dalam erti kata lain, sistem kesihatan India semakin kritikal dan semakin ramai pesakit tidak mendapat peluang pun untuk diberi rawatan, menyumbang kepada kumulatif kes kematian.

Fasiliti kesihatan di India runtuh dan gagal melaksanakan kewajipannya.

Bagi rakyat Malaysia, tsunami COVID-19 di India sewajarnya menginsafkan. Kita sendiri melihat peningkatan kes bermula 1 Oktober 2020 daripada 260 kes sehingga mencapai kemuncak 5,728 kes pada 30 Januari lalu.

Setakat hari ini, kes masih dalam lingkungan purata 2,000 sehari. Walaupun banyak isu dalam peperangan menentang COVID-19 di Malaysia - perbalahan politik tidak berkesudahan, Parlimen ditutup, pengisytiharan darurat seakan tidak mampu mengekang penularan COVID-19, proses vaksinasi perlahan, rentas negeri, bangsawan kayangan, double standard, kompaun melampau, pengangguran dan sebagainya - hanya Allah SWT sebaik-baik penghukum dan pemberi balasan bagi yang bersabar.

Paling penting, pihak bertanggungjawab perlu lebih efisien berbanding hanya menyalahkan rakyat semata-mata atas peningkatan kes. Rakyat Malaysia jauh lebih baik dibandingkan penduduk tanah seberang dan Barat yang melaungkan slogan kebebasan hidup tanpa sekatan.

Semoga Ramadan ini menginsafkan dan hari raya bakal mendatang dikorbankan demi menutup pintu mudarat lebih besar kepada negara. Malaysia tidak layak hancur akibat badai COVID-19.

Mohd Farhan adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala Nurul Syahadah adalah calon Doktor Falsafah (PhD)

Berita Harian X