X
Ahad, 4 Oktober 2020 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bersatu landaikan keluk penularan wabak, elak PKP kedua

NEGARA kini berada dalam gelombang ketiga penularan COVID-19 dengan peningkatan bilangan kes pandemik itu secara mendadak.

Semalam, negara mencatat bilangan tertinggi 317 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 12,088. Keadaan ini membimbangkan kerana penularan kali ini banyak membabitkan warga tempatan dan turut merebak di kebanyakan negeri.

Jika bilangan ini terus-menerus meningkat, kerajaan tiada pilihan lain kecuali sekali lagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi melandaikan keluk COVID-19. Ini tidak mustahil berlaku.

Kita semua sudah lalui detik sukar akibat penguatkuasaan PKP. Hampir keseluruhan sektor ekonomi terpaksa ditutup untuk menyekat penularan dan ia memberi impak sangat besar.

Selepas PKP dilaksanakan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya merekodkan 0.7 peratus pertumbuhan untuk sukuan pertama 2020. Keadaan ini turut disumbang gangguan rantaian bekalan penawaran dan ketidakpastian dalam ekonomi global akibat pandemik.

Jadi bayangkan dalam tempoh cuma dua minggu, kesan kepada KDNK menyusut sehingga 0.7 peratus. Sukuan kedua pula mencatatkan kadar lebih teruk apabila KDNK merosot -17.1 peratus dan ia kadar terendah sejak krisis kewangan pada 1998, iaitu sebanyak -11.2 peratus.

Berbeza krisis ekonomi sebelum ini, punca kemelesetan kali ini kerana PKP menutup hampir semua sektor ekonomi yang menyebabkan KDNK menyusut lebih teruk.

Malah, kadar pengangguran juga meruncing apabila PKP dilaksanakan yang mana kadar pengangguran pada April naik mendadak kepada lima peratus dan pada Mei, meningkat lagi kepada 5.3 peratus, iaitu seramai kira-kira 826,000 kehilangan pekerjaan ketika PKP dilaksanakan.

Kadar ini tertinggi dalam tempoh 30 tahun jika dibandingkan pengangguran ketika krisis kewangan Asia 1997 dan krisis kewangan sub-prima 2008, iaitu masing-masing 3.2 peratus dan 3.7 peratus.

Selepas PKP ditamatkan pada 4 Mei lalu dan digantikan dengan PKP Bersyarat (PKPB), kebanyakan sektor ekonomi mula dibuka semula. Alhamdulillah, kadar pengangguran menurun kepada 4.9 peratus pada Jun dan 4.7 peratus pada Julai.

Dalam usaha memulihkan ekonomi dan membantu individu atau syarikat terjejas akibat pandemik, kerajaan menjalankan pelbagai inisiatif, termasuk sasaran dasar fiskal dan monetari.

Ia bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion, disusuli RM10 bilion lagi melalui PRIHATIN Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Tambahan.

Suntikan fiskal diberi secara langsung ini bertujuan memberi kelegaan kepada individu isi rumah yang terjejas akibat kehilangan sumber pendapatan ketika PKP.

Bagi memulihkan ekonomi pula, kerajaan mengumumkan suntikan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan dana RM35 bilion untuk melonjak semula perniagaan dan merangsang ekonomi.

Bukan jumlah kecil suntikan diberikan dan kerajaan mengambil tindakan cukup proaktif serta berani dalam merangka pakej rangsangan terbesar ini demi menangani antara cabaran terbesar pernah dihadapi sejarah negara.

Secara keseluruhannya, pakej bantuan ini, terutama melalui program subsidi upah dan geran khas PRIHATIN sedikit sebanyak membantu meringankan beban ditanggung syarikat serta dapat mengurangkan kadar pengangguran.

Bagaimanapun, keberkesanan pemulihan ekonomi berbeza dengan krisis ekonomi sebelum ini. Usaha memulihkan semula ekonomi akibat pandemik kali ini dijangka lebih sukar memandangkan wujudnya elemen ketidakpastian yang membabitkan rantaian ekonomi global dan bergantung kepada keadaan kes COVID-19 semasa.

Justeru, usaha kerajaan memulihkan ekonomi akan sia-sia jika penularan kes COVID-19 gagal dikekang dan kembali melonjak.

Ibarat kita sudah berjalan hampir ke garisan penamat, tiba-tiba saja terpaksa berpatah balik ke garis mula dan melalui kembali segala cabaran serta liku mendatang.

Jika ini ditakdirkan berlaku, mampukah negara menanggung suntikan pakej rangsangan baharu untuk kembali memulihkan dan menjana semula ekonomi rakyat serta negara?

Pastinya kemelesetan ekonomi untuk sukuan berikutnya sukar dielak dan proses memulihkan ekonomi akan menjadi lebih lama lagi.

Dari segi pendapatan negara, KDNK dijangka menguncup lagi untuk sukuan berikutnya. Kedudukan fiskal negara juga akan lebih meruncing dan dijangka mencatatkan defisit lebih teruk.

Bagi rakyat, mereka yang terjejas adalah golongan yang bergantung kepada perniagaan dan menerima pendapatan harian. Realitinya, sukar untuk golongan ini meneruskan perniagaan sekiranya PKP kembali dikuat kuasakan, lantas berisiko untuk sekali lagi terputus sumber pendapatan.

Sektor tertentu yang sedang mengalami kemerosotan akibat pandemik seperti pelancongan dan penerbangan juga mungkin lebih parah keadaannya. Tambah dahsyat, lebih ramai dijangka menganggur jika sektor ekonomi ditutup semula.

Justeru, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk sama-sama melandaikan keluk penularan COVID-19.

Sikap individu atau kumpulan yang mementingkan diri dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) akan menyumbang peningkatan atau 'spike' kepada kes COVID-19.

Justeru, tepuk dada tanya selera. Apakah kita mahu kembali kepada waktu 'sukar' itu apabila semua pergerakan terhalang, sektor ekonomi terpaksa ditutup dan rakyat hidup dalam ketakutan akibat risiko penularan virus pembunuh.

Ingatlah, kadar kecepatan pemulihan ekonomi sangat bergantung sejauh mana kita dapat mengekang penularan COVID-19 daripada terus meningkat, begitu juga langkah pemulihan pada peringkat pembuat dasar atau kerajaan.

Sebagai rakyat dan pemimpin, kita harus sama-sama berganding bahu melandaikan keluk COVID-19 supaya kesihatan dan pemulihan ekonomi dapat dikecapi.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X