Sabtu, 12 November 2022 | 12:30pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Utamakan pembangunan bandar untuk semua

Kemunculan pandemik COVID-19 jelas menyedarkan kita masih ramai rakyat terutama golongan rentan seperti miskin bandar mempunyai akses terhad terhadap bekalan makanan dan sistem kesihatan seperti klinik atau hospital.

Isu akses kepada sumber ini antara petunjuk menilai daya tahan masyarakat untuk berdepan dengan apa juga krisis termasuk bencana alam, inflasi dan kemelesetan, kemiskinan dan wabak penyakit.

Tidak kira apa juga bencana dan ancaman sukar dijangka, namun mangsa paling mudah terjejas ialah seperti komuniti miskin bandar.

Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan dan Rancangan Fizikal Negara ketiga, kadar perbandaran di Malaysia direkodkan sebanyak 77 peratus membabitkan 25 juta rakyat pada 2020 dan akan melonjak ke 85 peratus iaitu 46.1 juta pada 2040.

Data Kementerian Wilayah Persekutuan juga menunjukkan miskin tegar di Kuala Lumpur melonjak 270 peratus iaitu 3,865 keluarga pada 2021 berbanding hanya 1,048 keluarga pada 2019, pasca COVID-19. Data ini menunjukkan peri pentingnya memperkasa komuniti bandar ke arah mencapai matlamat bandar dan negara lestari.

Komuniti miskin bandar lebih berisiko apabila berdepan kerentanan kerana golongan ini mempunyai akses terhad dari segi sumber pendapatan dan kewangan, bekalan makanan dan kemudahan infrastruktur teruk di kawasan perumahan.

Justeru, memahami aspek kerentanan seperti banjir kilat, pandemik, kegagalan infrastruktur, kemelesetan ekonomi dan bagaimana ia meningkatkan risiko kepada komuniti adalah langkah awal ke arah membina komuniti berdaya tahan.

Lokasi rumah, perniagaan dan perkhidmatan juga penting bagi memastikan bandar bersedia menghadapi kesan kepada ekonomi dan keselamatan, kesihatan dan kebajikan penduduk jika berlaku sesuatu kejutan atau tekanan.

Rangka pelan lebih strategik

Membina daya tahan memerlukan langkah mengenal pasti kawasan fizikal paling terdedah dan membuat keputusan strategik bagi melindungi mereka berada dalam bahaya dan merangka pelan strategik jangka panjang ke arah pelaburan di tempat dan infrastruktur lebih berdaya tahan.

Selain itu, penting untuk mengenal pasti dan memanfaatkan aset sedia ada bagi membolehkan komuniti bangkit dengan lebih baik. Aset itu boleh dikategorikan sebagai aset manusia, aset fizikal, aset kewangan, aset semula jadi dan aset sosial.

Contohnya, penekanan kepada pembangunan kemahiran seperti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, pengurusan kewangan dan hutang, pembangunan perusahaan berasaskan komuniti dan sosial dilihat antara usaha yang perlu dilaksanakan bagi mempertingkatkan kelestarian kehidupan golongan miskin bandar ini.

Langkah proaktif perlu dilaksanakan segera adalah memperkukuh peluang pekerjaan dan perumahan. Bandar perlu dibangun dengan memiliki kepelbagaian pekerjaan dan pilihan perumahan lebih berdaya tahan serta lebih bersedia untuk perubahan ekstrim.

Sebagai contoh, peningkatan ketara sektor ekonomi tidak formal dan ekonomi gig pasca pandemik membantu meningkatkan produktiviti serta pertumbuhan ekonomi.

Ini memerlukan penggubalan dasar perlindungan sosial bagi melindungi pekerja sektor ini yang kebanyakannya terdiri daripada golongan mudah terjejas.

Seterusnya, perancangan bandar perlu menekankan konsep 'bandar untuk semua' dan 'tiada yang tercicir' bagi menggalakkan ekuiti iaitu menangani ketidakadilan kaum, sosial, alam sekitar dan ekonomi bagi membina komuniti lebih kuat dan menyokong komuniti paling terdedah bagi mengurangkan risiko.

Apa yang utama, membina komuniti berdaya tahan perlu menjadi keutamaan pemimpin jika kita berhasrat membina Malaysia berdaya tahan dan lestari seiring dengan negara maju.

Pensyarah Kanan, Jabatan Senibina (Perancangan Bandar dan Wilayah dan Pembangunan Komuniti), Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X