Rabu, 17 Ogos 2022 | 1:12pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Rokok penyebab 'senyap' kerosakan mata, kebutaan

Pada 27 Julai lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat (Generational Endgame; GEG) dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

RUU ini diusul bermatlamat mengawal individu yang lahir dari 2007 dan selepasnya daripada terbabit dalam aktiviti merokok sama ada membeli, memiliki atau menggunakan rokok atau vape.

Dewan Rakyat bersetuju RUU ini dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) bagi memperhalusi dan menambah baik usul terkandung di dalamnya. Kementerian Kesihatan (KKM) dilihat mendapat tekanan, termasuk daripada kalangan Ahli Parlimen sendiri dalam usahanya meluluskan RUU ini. Hakikatnya, merokok diketahui boleh menjadi penyebab penyakit kepada manusia antaranya
buta.

Dalam aspek kesihatan penglihatan, rokok antara punca mata boleh menjadi buta. Penglihatan manusia berisiko untuk hilang disebabkan pelbagai penyakit mata berpunca daripada amalan merokok. Kesan kepada tahap penglihatan akibat merokok ini menjadi cabaran kepada pakar mata untuk memberi rawatan kerana ia menjadi bertambah rumit dan kompleks. Kos merawat penyakit ini juga menelan belanja besar, sedangkan ia boleh dicegah daripada awal.

Bancian Mata Kebangsaan Ke-2 (2014) menyatakan kadar kebutaan dalam kalangan masyarakat berusia 50 tahun ke atas di Malaysia adalah 1.2 peratus. Majoriti kes buta ini disebabkan katarak (58 peratus), diikuti Diabetik Retinopati (10 peratus) dan lain-lain penyakit.

Rokok menjadi antara faktor menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada penyakit mata ini. Di samping itu, perokok berisiko mengalami strok mata (ocular ischemia), kemerosotan makula (Age-related Macula Degeneration) dan penyakit tiroid mata (Graves Ophthalmopathy).

Tingkat risiko glaukoma, kanser mata

Terdapat laporan kes yang mana rokok berisiko menjuruskan seseorang itu menghidap penyakit glaukoma, kanser mata, juling, serta 'mata malas'. Kanta pada mata manusia boleh terdedah kepada kesan oksidatif berpunca daripada merokok, yang mana mana fungsi kanta menyahkan bahan oksidatif berkurangan lalu menyebabkan perokok mengalami penyakit katarak.

Bahan logam berat dalam rokok seperti kadmium, plumbum dan kuprum juga boleh termendap di dalam kanta dan merubah ia menjadi struktur toksik.

Merokok juga boleh menyebabkan sel darah menjadi lebih pekat, menyebabkan pembuluh darah berisiko tersumbat. Hal ini dirumitkan lagi dengan kesan bahan kandungan nikotin di dalam rokok yang boleh mengecutkan saluran darah lantas merencatkan pengaliran darah ke mata.

Kepekatan karbon monoksida dalam darah juga turut mengurangkan kapasiti sel darah merah membawa oksigen ke mata. Pembuluh darah juga lebih mudah rosak dan menjadi keras (atherosclerosis) jika seorang perokok turut menghidapi penyakit kolestrol.

Faktor ini seterusnya menyumbang kepada keadaan mata 'hipoksia' lalu strok boleh terjadi pada urat saraf mata (ischemic optic neuropathy) dan juga salur darah mata (retinal vascular occlusion).

Masalah aliran pada salur darah koroid
(choroidal vessel), ditambah pula dengan kehadiran bahan oksidatif akibat merokok turut menjejaskan fungsi pusat peka cahaya pada mata, iaitu makula. Makula boleh merosot, terutama pada mereka yang agak berusia, lantas pesakit berisiko untuk buta.

Keadaan ini dipanggil Age-related Macula Degeneration yang mana kos rawatan menjadi tinggi kerana pesakit perlu menerima ubat suntikan mata yang mahal harganya.

Bagi mereka menghidap penyakit tiroid mata, merokok boleh menjadikan keadaan bertambah parah serta merencatkan kadar pemulihan serta membantutkan rawatan diberi. Ini berikutan perubahan terhadap hormon tiroid yang terjejas secara langsung akibat bahan kandungan dalam rokok, menyebabkan keradangan dan kecederaan kepada otot mata. Jika keadaan ini berterusan, penghidap penyakit ini berisiko mengalami kerosakan pada urat saraf mata, glaukoma, serta ulser pada kornea.

Semua penyakit ini mampu menjejaskan tahap ketajaman penglihatan seseorang, lantas mengehadkan jarak penglihatan mereka atau lebih teruk menyebabkan mata menjadi buta.

Kesan jangka panjang dari sudut ekonomi dan pembangunan bakal ditanggung oleh negara jika perkara ini dibiarkan tanpa ada kaedah pencegahan tuntas, iaitu menghindari bahaya rokok.

Justeru, semua pihak daripada peringkat akar umbi hingga ke pucuk pimpinan kerajaan perlu memainkan peranan serta berganding bahu bagi memastikan RUU ini diluluskan.

Kita berharap generasi hari ini serta akan datang dapat berfungsi secara optimum dan menyumbang kemahiran mereka di samping dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih terurus dengan adanya tahap penglihatan yang baik.

Berita Harian X