Khamis, 4 Ogos 2022 | 12:15pm
Serpihan roket Long March 5B milik China yang memasuki ruang udara Sarawak, baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca
Serpihan roket Long March 5B milik China yang memasuki ruang udara Sarawak, baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca

Ratifikasi segera undang-undang ganti rugi serpihan dari angkasa

SERPIHAN roket Long March 5B (CZ-5B) milik China dikesan melintasi ruang udara Malaysia dan jatuh di beberapa lokasi termasuk Sepupok, Batu Niah, Miri menimbulkan persoalan undang-undang terutama membabitkan ganti rugi sekiranya menyebabkan kerosakan.

Dalam insiden CZ-5B itu, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan berlaku kemasukan semula (re-entry) serpihan roket CZ-5B itu ke ruang udara bumi pada jam 12.55 tengah malam Ahad lalu.

Sisa serpihan itu terbakar dan melintasi ruang udara Malaysia termasuk Sarawak hingga penduduk negeri itu diminta tidak memegang dan menjauhi sisa objek kerana dipercayai boleh menjejaskan kesihatan kerana terdapat bahan radioaktif.

Bagaimanapun, pemeriksaan awal Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) terhadap serpihan roket CZ-5B di Sepupok itu, mendapati tiada radiasi radioaktif di lokasi terbabit.

Setakat ini, Malaysia bernasib baik kerana tidak ada lagi laporan kerosakan atau kemusnahan berlaku di negara ini akibat sisa serpihan angkasa lepas. Namun, perlu diingatkan keadaan ini boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Kepadatan objek di angkasa lepas sudah berada di tahap membimbangkan.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Urusan Angkasa (UNOOSA) mengeluarkan data setakat 1 Ogos lalu, 13,350 objek dilancarkan ke angkasa lepas dengan 9,254 objek masih berada di orbit mengelilingi bumi.

Sisa serpihan di angkasa lepas

Objek dilancarkan ini bagaimanapun menghasilkan sejumlah sampah atau sisa serpihan di angkasa lepas. Menurut sumber, setakat 19 Ogos tahun lalu, bumi sedang diorbit lebih 128 juta objek lebih besar daripada objek berdiameter 1 milimeter.

Ini termasuk serpihan pecah dan objek sudah luput serta tidak digunakan lagi dan ditinggalkan di angkasa lepas. Keadaan ini membahayakan objek lain, manusia dan alam sekitar kerana boleh menyebabkan perlanggaran dan kerosakan besar kepada manusia dan alam sekitar.

Malaysia sebagai negara penyumbang kepada teknologi angkasa lepas, disaran bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan akan terkena sisa serpihan ini.

Setakat hari ini, Malaysia didapati masih tidak lagi menjadi ahli kepada mana-mana Perjanjian atau Konvensyen Angkasa Lepas PBB.

Boleh dirumuskan Malaysia masih belum bersedia menghadapi keadaan ini dari sudut undang-undang antarabangsa sekiranya berlaku kerosakan kepada negara rentetan terkena sisa serpihan daripada angkasa lepas.

Pada masa ini, walaupun negara berjaya menggubal Akta Lembaga Angkasa Negara 2022 (Akta 834), keadaan negara masih belum menjadi ahli kepada undang-undang antarabangsa angkasa lepas seperti Triti Angkasa Lepas 1967 dan Konvensyen Liabiliti 1972, boleh menjadi penyebab kepada ketidaksediaan negara menghadapi keadaan ditimpa sebarang kerosakan sisa serpihan ini.

Apatah lagi hal ini akan menyukarkan proses negara untuk membuat tuntutan ganti rugi pada peringkat antarabangsa, terutama jika berlaku sebarang kemusnahan atau kerosakan kepada negara dan juga rakyat akibat daripada serpihan ini.

Oleh itu, Malaysia disarankan bertindak segera meratifikasi undang-undang antarabangsa angkasa lepas pada peringkat PBB. Diharap dengan tindakan dan usaha ini, ia akan merancakkan lagi pembabitan negara dan juga sektor swasta dalam industri ini.

Ia juga akan menjamin negara dan rakyat Malaysia melangkah dengan lebih yakin dalam arena ini pada peringkat antarabangsa, malah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X