Isnin, 25 Julai 2022 | 2:25pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

RUU bantu bendung gangguan seksual

Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 yang sudah lebih 10 tahun diperjuangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat antara usul 'mewarnai' persidangan Dewan Rakyat minggu lalu.

RUU itu adalah akta untuk mengadakan peruntukan bagi hak tebus rugi bagi orang diganggu secara seksual; penubuhan tribunal bagi anti-gangguan seksual; menggalakkan kesedaran mengenai gangguan seksual dan mengadakan peruntukan bagi perkara berhubungan dengannya.

Namun, kejayaan manis kelulusan RUU itu 'dibayar' dengan beberapa insiden panas sehingga menyebabkan Dewan Rakyat gamat apabila Ahli Parlimen cuba mempertahankan hujah masing-masing. Ia menyebabkan petugas media tidak lekang daripada tempat duduk masing-masing bagi merekodkan setiap detik peristiwa itu.

Apabila diimbas kembali, di sebalik kejayaan meluluskan RUU Antigangguan Seksual, timbul isu dibangkitkan Ahli Parlimen wanita mempertikai sama ada Akta Antigangguan Seksual itu terpakai di Dewan Rakyat khususnya terhadap beberapa wakil rakyat didakwa gemar mengeluarkan kenyataan berunsurkan seksis.

Isu seksis mula dibangkitkan di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan RUU terbabit apabila Teo Nie Ching (PH-Kulai) mendakwa terdapat tiga Ahli Parlimen sambil merujuk dari Pasir Salak (Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman), Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) dan Kinabatangan (Datuk Seri Bung Moktar Radin) sering membuat kenyataan berbaur seksis.

Peristiwa tegang itu sudah berakhir dan RUU berkenaan juga diluluskan. Apa diharapkan dalam usaha kerajaan menimbulkan kesedaran terhadap 'bahaya' gangguan seksual dalam kalangan rakyat melalui pelaksanaan undang-undang terbabit, contoh yang baik perlu ditunjukkan dari institusi dihormati khasnya Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Wakil rakyat sama ada pembangkang ataupun kerajaan perlu saling menghormati peranan masing-masing dengan tidak mengheret 'perbincangan' isu rakyat sehingga membangkitkan elemen berunsurkan seksis.

Tindakan itu kelihatan bertentangan dengan dasar kerajaan yang komited melaksanakan kesaksamaan gender dalam pemerkasaan politik, kesihatan, pencapaian pendidikan dan peluang ekonomi melalui komitmen Malaysia di Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.

Di sebalik kelulusan RUU ini, menjadi tanggungjawab kementerian, jabatan dan agensi kerajaan atau swasta untuk mengadakan penjelasan definisi gangguan seksual, kesan dan akibatnya kepada mangsa, kaedah membuat laporan, mendapatkan bantuan dan sistem sokongan diperlukan mangsa.

Masyarakat Malaysia pada asasnya memahami konteks gangguan seksual, mengetahui bentuk gangguan seksual berlaku, sama ada ke atas diri mereka mahupun ke atas orang lain.

Namun mungkin ramai tidak menyedari bentuk gangguan dan medium yang kini aktif digunakan pelaku. Kecanggihan teknologi menyaksikan pelaku kini lebih terarah menggunakan media sosial dalam melakukan gangguan seksual. Ia boleh dilakukan sesiapa saja, termasuk golongan remaja atau budak sekolah apatah lagi golongan dewasa.

Justeru, penekanan terhadap penguatkuasaan bagi membendung gangguan seksual ini tidak boleh diketepikan begitu saja jika kerajaan benar-benar berhasrat 'membersihkan' masyarakat daripada perbuatan tidak sihat ini.

Paling utama, kewujudan akta ini diharap tidak menjejaskan kedudukan negara pada mata masyarakat antarabangsa apabila ada isu gangguan seksual membabitkan golongan mengalami kecelaruan gender.

Wartawan BH

Berita Harian X