Rabu, 13 Julai 2022 | 12:00pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kumpulan, individu hina Islam perlu kena hukum maksimum

Di saat umat islam meraikan kedatangan Zulhijjah dan menunggu detik kegembiraan menyambut Hari Raya Aidiladha, kita dikejutkan insiden penghinaan terhadap agama Islam yang tular di media sosial dengan kelakuan menjijikkan.

Lebih mendukacitakan apabila ia dilakukan individu menggelar dirinya sebagai seorang Muslim. Jika diteliti isu sebegini, didapati ia sudah berulang kali berlaku dan tidak menampakkan akan terhenti pada masa akan datang.

Islam amat menekankan agar kesucian agama ini terus dipertahankan sehingga ia turut melarang umat Islam dari menghina agama lain bagi mengelakkan Islam dihina kembali sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 108 bermaksud: "Janganlah kamu mencerca benda yang mereka sembah selain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan".

Bagi mengelakkan perkara sebegini terus berulang, sudah tiba masa umat Islam bersatu memikirkan langkah pencegahan efektif dan proaktif. Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah mengenakan hukuman maksimum terhadap pelaku.

Menyentuh isu penghinaan yang berlaku baru-baru ini, penghargaan harus diberikan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pantas bertindak.

Namun, mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika disahkan terbabit dengan perlakuan menghina agama Islam.

Namun begitu, tindakan perundangan sivil juga perlu diambil terhadap pelaku ini bagi memaksimumkan hukuman kerana ia kesalahan membabitkan kepentingan awam dan keselamatan negara.

Jika dilihat pada kes 'Lelaki memijak al-Quran' pada 2020, ia disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 295, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Didik kesedaran generasi muda

Seksyen 298 pula boleh dihukum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya manakala hukuman di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. Ini sekali gus memberikan pengajaran buat pelaku dan orang lain yang terbabit dengan isu berkenaan.

Kedua, tindakan yang wajar dilakukan adalah menerusi pendidikan dan pembangunan sahsiah holistik terutama kepada generasi muda umat Islam sedang bersekolah atau menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut kajian kumpulan penyelidik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di dalam kertas kerja bagi geran penyelidikan bertajuk 'Pembangunan Model Baharu Pencegahan Penghinaan Agama Islam Di Media Sosial' merumuskan antara faktor berlakunya penghinaan agama disebabkan kurang kefahaman Islam.

Ia termasuk kekurangan didikan daripada ibu bapa dan keluarga mengenai agama Islam kepada anak-anak ataupun golongan terbabit dalam penghinaan agama ini.

Aliran pemikiran seperti sekularisme, liberalisme dan ekstremisme juga antara aspek membentuk kefahaman dan tindakan menghina agama di Malaysia. Oleh itu, pendidikan dan pembangunan sahsiah perlu bergerak seiring bagi membendung budaya yang tidak bermoral dan keji ini.

Pada masa sama, solidariti umat Islam di Malaysia bagi menghadapi isu seperti ini amat diperlukan. Bermakna, semua pihak perlu berganding bahu menzahirkan solidariti terhadap isu penghinaan terhadap agama Islam dengan mengenepikan perbezaan ideologi atau politik.

Solidariti ini penting bagi memberikan amaran kepada pihak melakukan provokasi ke atas umat Islam supaya tidak mengulangi kesilapan sama dan menarik perhatian pihak kerajaan supaya mengambil berat isu serta dan tidak membiarkan agama Islam dihina begitu sahaja.

Pensyarah Kanan Jabatan Undang-undang Islam, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X