Sabtu, 11 Jun 2022 | 11:56am
Strategi ekonomi perlu mementingkan keuntungan jangka panjang, tidak terpengaruh dengan pandangan populis untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek. Gambar hiasan. Foto NSTP
Strategi ekonomi perlu mementingkan keuntungan jangka panjang, tidak terpengaruh dengan pandangan populis untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek. Gambar hiasan. Foto NSTP

Strategi ekonomi jangka panjang tak boleh dipengaruhi pandangan populis

SEMASA saya membentangkan pendapat di Forum Ekonomi Dunia (WEF) hujung Mei lalu, saya menyatakan manusia sentiasa bergelut mencapai keseimbangan antara keuntungan jangka pendek dan pulangan jangka panjang kerana naluri kita sentiasa cenderung untuk memilih kepuasan serta merta.

Oleh itu, tidak mudah untuk meyakinkan orang ramai untuk bertindak sekarang bagi kesenangan masa depan, walaupun manfaatnya sangat jelas. Jika ia semudah itu, semua orang akan menjual insurans!

Semasa saya menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah bank serantau, saya sentiasa membentangkan perspektif jangka panjang kepada pemegang saham kami. Pemegang saham lazimnya lebih cenderung kepada pandangan jangka pendek, yang boleh menyukarkan pelaksanaan rancangan penstrukturan semula yang mengambil masa berbilang tahun.

Apabila berada dalam kerajaan, tanggungjawab untuk meyakinkan pihak berkepentingan mengenai pemikiran jangka panjang ternyata berpuluh kali lebih sukar, terutama sekali apabila berjuta-juta nyawa dan mata pencarian terancam akibat pandemik. Tekanan inflasi semasa disebabkan faktor luaran meningkatkan lagi kebimbangan jangka pendek.

Tiada formula atau panduan bagi mengharungi situasi ini untuk mengimbangi seratus peratus antara keperluan semasa dengan masa hadapan. Sebagai penggubal dasar bertanggungjawab ke atas kewangan negara, Kementerian Kewangan (MOF) mesti membuat pertimbangan berdasarkan pelbagai faktor dan kepentingan saling bersaing.

Penggubalan dasar bertanggungjawab akan memastikan sebarang langkah adalah berbaloi dan menghasilkan pulangan baik, sama ada dalam jangka panjang atau segera. Namun apabila COVID-19 melanda - meragut lebih enam juta nyawa, menjangkiti lebih setengah bilion populasi dunia dan meranapkan pelbagai aspek ekonomi - kerajaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia tidak mempunyai pilihan selain memberi tumpuan kepada langkah bantuan jangka pendek untuk rakyat masing-masing, terutama golongan miskin dan mudah terkesan.

Di negara ini, mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan terjejas diberikan bantuan melalui lapan pakej rangsangan serta bantuan nasional bernilai keseluruhan RM530 bilion. Penggunaan rizab negara untuk melaksanakan vaksinasi segera dan kritikal untuk 32 juta rakyat juga bermakna kerajaan terpaksa menangguhkan beberapa rancangan pembaharuan fiskal dan jangka panjang.

Krisis buka pelbagai peluang laksana agenda reformasi

Namun, saya sentiasa mengingatkan rakan sekerja di MOF bahawa krisis juga membuka pelbagai peluang untuk melaksanakan agenda reformasi fiskal. Sebenarnya, inilah masa terbaik untuk sebuah titik tolak baharu atau 'The Great Reset.'

Sejak 2020, MOF menumpukan kepada pembinaan daya tahan sosioekonomi supaya rakyat dan perniagaan kita boleh bangkit semula dengan lebih kukuh berbanding sebelum ini, lebih-lebih lagi sekiranya krisis seperti COVID-19, atau lebih serius, datang melanda pada masa hadapan. Apa yang penting ialah pengukuhan daya tahan fiskal, kerana tanpanya kita tidak akan mampu untuk membantu rakyat kembali pulih dan berkembang maju.

Untuk membina asas bagi pembaharuan jangka panjang melalui keputusan yang dibuat pada hari ini, MOF dipandu tiga prinsip utama: RESPONSIF; BERTANGGUNGJAWAB dan REFORMIS. Seboleh-bolehnya, pelbagai dasar adalah berasaskan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pertimbangan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Oleh itu, langkah RESPONSIF jangka pendek dikendalikan MOF juga mesti memenuhi kriteria BERTANGGUNGJAWAB. Dalam tempoh dua tahun yang lalu, kami juga memetakan kebanyakan langkah belanjawan terhadap SDG tertentu untuk memastikan kesejahteraan masa depan negara.

Satu contoh baik ialah dasar meluaskan liputan program perlindungan sosial kepada kumpulan lebih terdedah seperti ibu tunggal dan sektor tidak formal/gig. Di bawah bajet tahun ini, kerajaan juga memperuntukkan RM80 juta untuk melanjutkan perlindungan sosial kepada suri rumah dan balu daripada risiko hilang upaya, sakit, atau usia tua melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Semua ini adalah keputusan dasar semasa untuk kesejahteraan masa depan rakyat.

Satu lagi contoh adalah bagaimana kita berjaya mendaftarkan kebanyakan golongan B40 dan M40 ke dalam sistem apabila kita mula memberikan bantuan tunai langsung pada 2020-2021. Ramai penerima lega kerana bantuan dikreditkan terus ke dalam akaun bank mereka.

Guna pangkalan data berpusat, minimumkan kesilapan pelaksanaan dasar

Bagi langkah bantuan langsung seterusnya, kita menggunakan pangkalan data pusat sama, yang sentiasa dikemas kini dan disemak silang terhadap data 27 agensi kerajaan untuk meminimumkan ralat dalam pelaksanaan dasar masa hadapan.

Langkah seperti Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran HRD Corp juga adalah berdasarkan pandangan jangka sederhana dan jangka panjang kerana penting untuk kita mengekalkan kemahiran seseorang walaupun semasa mencari pekerjaan. Jika tidak, kemahiran hilang akan lebih sukar untuk dipupuk kembali kemudian.

Walaupun kami bersikap RESPONSIF dalam jangka pendek, MOF juga BERTANGGUNGJAWAB dari segi fiskal. Kami merancang untuk membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) kepada Parlimen menjelang akhir tahun ini. Ia akan turut merangkumi strategi hasil jangka sederhana dan prinsip panduan mengenai aspek seperti asas hasil lebih luas serta had hutang statutori.

Dari segi kewangan, sesebuah negara mesti diselia dan dikawal dengan ketat, supaya kita mempunyai sumber mencukupi untuk melaksanakan program REFORMASI sesuai dan memenuhi agenda ESG negara. Semua ini, dan banyak lagi, juga dikongsikan dalam Kenyataan Pra-Bajet diterbitkan baru-baru ini, yang menetapkan keutamaan kami untuk Bajet 2023.

REFORMASI berlandaskan ESG mampu membina daya tahan sosioekonomi jangka panjang, dan ini adalah pertahanan terbaik terhadap kejutan dan pandemik masa depan. Malah, usaha negara ke arah kelestarian sudahpun bermula dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Khazanah, KWSP dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang sudahpun melancarkan rangka kerja dan sasaran kemampanan masing-masing.

Dari segi pembiayaan, sektor perbankan turut mempunyai rangka tindakan sektor kewangan baharu bagi lima tahun akan datang untuk menggalakkan pembiayaan menyokong, antara lain, matlamat kemampanan Malaysia.

Pembangunan ibarat maraton, perlu fiskal kukuh sebelum berlumba

Bagaimanapun, komunikasi berterusan adalah penting untuk menyampaikan mesej bahawa pembangunan jangka panjang adalah seperti maraton, kita perlu menyiapkan diri kita secara fizikal. Untuk itu, kekukuhan fiskal adalah ibarat badan sihat untuk memulakan perlumbaan.

Reformasi adalah lebih sukar, umpama memotong anggota dijangkiti barah (contohnya, subsidi menyeluruh) dan menjalani kemoterapi (perbelanjaan bertanggungjawab) untuk kita terus hidup.

Dalam menyesuaikan keperluan jangka pendek dan faedah jangka panjang, MOF sentiasa mencuba untuk mencari penyelesaian dasar terbaik yang akan memanfaatkan bilangan penerima terbesar dan mempertimbangkan kepentingan pelbagai pihak.

Setakat ini, saya percaya MOF membuktikan ia cukup RESPONSIF untuk memastikan bukan sahaja kemenangan pantas, tetapi juga kestabilan jangka sederhana dan perubahan jangka panjang BERTANGGUNGJAWAB yang akan membantu kita menangani landskap sentiasa berubah untuk REFORMASI berkekalan.

Sudah pasti akan sentiasa ada cabaran di sepanjang jalan ke arah pembangunan mampan tetapi saya optimis terdapat ramai Keluarga Malaysia bertanggungjawab, dengan keazaman dan pandangan jauh, tidak mudah terpengaruh dengan pandangan jangka pendek dan populis yang boleh menjejaskan masa depan anak-anak kita dan generasi akan datang.

Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Penulis adalah Menteri Kewangan

Berita Harian X